Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 75 suspek kegiatan militan Negara Islam (IS) sehingga 31 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut 24 orang didakwa di mahkamah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Enam orang sudah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sementara 25 orang lagi dibebaskan, dalam siasatan (7) dan 13 warga asing diusir keluar dari negara ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang mahu menteri menjelaskan kebekersanan tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani ancaman IS di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Mojigoh juga mahu tahu program pencegahan dirangka kerajaan bagi tujuan yang sama.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang menggubal Modul Pemulihan Khas bagi meneutralisasikan kumpulan militan semasa dalam tahanan.

Beliau berkata, kerajaan berharap dengan cara itu dapat mengembalikan mereka semula ke pangkuan masyarakat.

“Kerajaan juga dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan program penerangan sebagai langkah pencegahan melalui ceramah, khutbah Jumaat, perjumpaan, seminar, penerangan melalui surat khabar dan lain-lain medium,” katanya.

Katanya lagi, semua itu disasarkan kepada golongan tertentu bagi menerangkan konteks jihad sebenar dan bahaya fahaman ekstrem yang menjurus kepada kegatan militan.

Menjawab soalan tambahan Mojigoh yang bertanyakan adakah ideologi IS di negara ini bermula dari parti-parti politik, Ahmad Zahid berkata, terdapat enam orang daripada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyertai kumpulan militan.

“Lima daripada mereka dari Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan seorang Jemaah Islamiah,” jelasnya

Bagaimanapun beliau bersyukur mereka tidak disokong mana-mana parti politik di negara ini sama ada kerajaan atau pembangkang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) mengenai langkah mengenal pasti peringkat awal anasir keganasan itu beliau berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan mereka datangnya dari keluarga yang bermasalah.

“Selain taasub dengan organisasi atau kepimpinan organisasi berkenaan, mereka yang terbabit juga disebabkan kesempitan kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:35 AM