KEADAAN kereta Roslan yang remuk akibat kemalangan, kelmarin.
KEADAAN kereta Roslan yang remuk akibat kemalangan, kelmarin.

Kuantan: Seorang pekerja sambilan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki di Kilometer 23, Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Semangat, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 6.20 petang itu menyebabkan mangsa, Roswahasnida Ab Wahab, 28, dari Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan, meninggal di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari bandar menuju ke Pekan.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, Roswahasnida yang menunggang berseorangan di lorong kiri dipercayai tiba-tiba menukar haluan ke kanan untuk membuat pusingan U.

“Pada masa sama, kereta dipandu Roslan Amat, 46, dari FELDA Bukit Kuantan, di sini, gagal mengelak mangsa yang menukar laluan secara tiba-tiba menyebabkannya merempuh mangsa dari belakang.

“Akibat rempuhan itu, mangsa bersama motosikalnya dikatakan tercampak 10 meter dari lokasi kejadian manakala kereta berkenaan remuk di bahagian depan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba 15 minit kemudian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ganchong, pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati, Roslan yang juga Penghulu Mukim Hulu Kuantan, di sini, tidak sempat memberhentikan kenderaan apabila mang tiba-tiba menukar haluan.

“Kami mengambil sampel darah dan air kencing pemandu kereta untuk tindakan lanjut dan setakat ini ketika kejadian penunggang motosikal memakai topi keledar dan mempunyai lesen sah manakala keadaan jalan dan cuaca adalah baik.

Mohd Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 9:09 AM