TRELER  sarat muatan baja terbalik di tengah jalan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat.
TRELER sarat muatan baja terbalik di tengah jalan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat.

Pekan: Ribuan pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif apabila sebuah treler muatan baja terbalik dan melintang di tengah jalan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Paloh Hinai, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu turut menyebabkan laluan berkenaan ditutup hampir 10 jam apabila lalu lintas di kedua-dua arah ditutup sementara menunggu treler berkenaan dialihkan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila treler yang dipandu G Subramaniam, 60, dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Palong, Negeri Sembilan, terbabit kemalangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum treler itu terbabas ke kanan jalan menyebabkannya terbalik dan melintang di tengah jalan.

Katanya, ia menyebabkan sebahagian muatan baja bertaburan di atas jalan.

“Ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui laluan berkenaan. Tindakan pantas pemandu yang menghubungi polis dan memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, pengguna jalan raya dari arah Kuantan ke Segamat terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu melalui Jalan Ganchong-Pekan.

Manakala, pengguna dari arah Segamat menghala ke Kuantan pula terpaksa menggunakan laluan Paloh Hinai-Pekan.

“Laluan dibuka semula kira-kira jam 1 tengah hari tadi (semalam) selepas treler dan muatan baja itu dialihkan,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, Subramaniam dan kelindannya S Gunasakaram, 38, hanya cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Pekan, di sini.

“Polis mengambil keterangan daripada pemandu treler dan saksi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati keadaan jalan dan cuaca adalah baik ketika kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM