SEORANG daripada dua suspek yang ditahan.
SEORANG daripada dua suspek yang ditahan.
 Selbaraju yang cedera dibantu penduduk kampung.
Selbaraju yang cedera dibantu penduduk kampung.
myMetro

Gombak: Seorang bekas pemain Dart Malaysia menumpaskan dua penjenayah bersenjatakan parang walaupun ditetak hingga cedera parah di belakang tubuh dan tangannya.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, mangsa, S Selbaraju berusia 50-an yang juga bekas kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diserang berhampiran rumahnya di Fasa 9, Taman Sri Gombak, di sini,

Kejadian itu menjadi viral apabila rakaman seorang suspek ditangkap mangsa tersebar meluas di media sosial.

Video rakaman mangsa menangkap suspek turut mendapat pujian netizen di laman sosial Facebook (FB).

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai menunggang motosikal model Yamaha 135LC dan berlegar di kawasan itu sebelum menghampiri mangsa yang berada di hadapan rumah.

“Kedua-dua suspek memberhentikan motosikal sebelum seorang suspek mengeluarkan parang dan menyerang mangsa.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek. Mangsa cuba mempertahankan dirinya namun suspek menetak mangsa berulang kali,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedera di bahagian tangan kanan dan belakang badannya ketika cuba menepis serangan suspek.

Jelasnya, jiran mangsa yang melihat mangsa bergelut dengan suspek turut memberi bantuan.

“Seorang suspek ditahan orang awam yang menyaksikan kejadian itu manakala rakannya melarikan diri.

“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis yang dipanggil ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 10:12 AM