ANTARA barang yang dirampas susulan penahanan dua menahan dua lelaki di Taman Muda, Ampang Haya, hari ini. FOTO Ihsan polis
ANTARA barang yang dirampas susulan penahanan dua menahan dua lelaki di Taman Muda, Ampang Haya, hari ini. FOTO Ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Dua lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk sebuah rumah di di Taman Muda, di sini hari ini, ditahan kira-kira sejam selepas melakukan jenayah itu.

Suspek yang berusia 30 dan 31 tahun diberkas oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah selepas dimaklumkan oleh pemilik rumah yang juga suami mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek terbabit dipercayai memecah masuk jeriji di bahagian belakang untuk masuk ke dalam rumah mangsa.

"Suspek yang bersenjatakan sebilah parang dilaporkan mengacukannya ke arah isteri mangsa sebelum memaksanya menyerahkan barang berharga dan melarikan diri.

"Isteri mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang kemudian keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pemilik rumah kemudian melihat sebuah kereta MPV polis yang sedang menjalankan tugas rondaan sebelum mengejarnya dan cuba mendapatkan bantuan.

"Hasil maklumat daripada pemilik rumah pihak polis yang mengelilingi kawasan perumahan itu menemui dua lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.50 pagi sebelum menahan mereka.

"Pemeriksaan lanjut menemui semula barang berharga yang disamun ke atas isteri pemilik rumah terbabit," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek terbabit memiliki 38 rekod jenayah lampau serta dikehendaki pihak polis manakala seorang lagi tiada rekod jenayah.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan akan direman esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 10:58 PM