AWANG  menyerahkan sijil kepada graduan ILP Jitra dan ILP Kangar Perlis. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
AWANG menyerahkan sijil kepada graduan ILP Jitra dan ILP Kangar Perlis. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Jitra: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima 17,091 aduan menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) sehingga kelmarin, dengan 34 peratus atau 5,928 daripadanya mengenai gaji tidak dibayar dan pembayaran lewat gaji.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, sehingga tempoh itu sebanyak 16,562 aduan sudah diambil tindakan manakala selebihnya menunggu pemeriksaan (siasatan) dan pengesahan.

"Sebanyak 18 peratus atau 2,974 kes pula aduan mengenai majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita juga menerima aduan terdapat 10 peratus atau 1,651 kes kerana potongan upah tidak mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil sempena Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Kali ke-25 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.

Aplikasi WFW mula dilancarkan pada 3 Mei tahun lalu sebagai platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Mengulas lanjut, Awang berkata, daripada jumlah aduan itu sebanyak 1,390 kes atau lapan peratus aduan membabitkan pekerja dibuang kerja tanpa notis.

Selain itu, katanya 1,369 kes atau lapan peratus adalah tidak membayar kerja lebih masa dan faedah pemberhentian.

"Bagi aduan ini ada yang kita buka kertas siasatan ada yang kita kompaun ada yang kita panggil majikan supaya dibayar balik berdasarkan aduan, jika tidak ada kompromi antara majikan kita akan ambil tindakan berdasarkan akta-akta di bawah sistem perundangan perburuhan, khususnya Akta Pekerjaan 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 3:05 PM