Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi tidak hanya menjadikan kenderaan pengangkutan awam dibawa untuk mengambil penumpang, malah turut menjalankan kegiatan ‘tokan’ dadah secara sambilan.

Suspek berusia 40-an itu dikesan turut menggunakan teksi dipandu untuk menghantar dadah kepada penagih yang membuat tempahan darinya.

Penyamaran itu bagaimanapun terbongkar apabila suspek akhirnya ditahan polis ketika dalam perjalanan mengambil seorang penumpang di Jalan Ampang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.20 petang, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menahan suspek yang ketika itu bersama seorang lelaki.

Ketua JSJN IPK Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, suspek ditahan bersama kira-kira dua kilogram ganja yang disembunyikan di dalam sebuah beg.

Menurutnya, beg itu ditemui diletakkan di bahagian tempat letak kaki penumpang hadapan teksi.

“Suspek berjaya ditahan selepas pihak polis menjalankan intipan dan risikan terhadap suspek yang dipercayai menjalankan kegiatan mengedar ganja di ibu negara sejak beberapa bulan lalu.

“Ketulan mampat ganja itu dipercayai ingin diserahkan suspek kepada pelanggan tetapnya. Bagaimanapun polis berjaya mematahkan cubaan itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek turut positif dadah dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mengesan lokasi di mana suspek mengambil ganja itu dan tidak menolak kemungkinan suspek menjalankan aktiviti secara berseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:15 AM