FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kesucian Hari Raya Aidiladha dicemari kegiatan maksiat apabila sebuah premis di Jalan Tun HS Lee di sini, didapati menawarkan khidmat pelacuran termasuk kepada pelanggan beragama Islam.

Kegiatan persundalan itu ditawarkan lapan wanita warga asing berusia 21 hingga 51 tahun pada harga serendah RM50 setiap sesi.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang bertindak menyerbu premis itu semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada jam 6.30 petang itu turut menahan 11 pelanggan kebanyakannya warga asing dan enam penjaga premis.

"Hasil serbuan itu, polis merampas wang tunai RM900, 564 kondom, 108 tisu, lapan botol minyak dan 10 buku catatan aktiviti pelacuran.

"Semua tangkapan direman selama empat hari sehingga 14 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya semalam.

Menurutnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pelacuran di daerah ini kepada pihak polis.

"Orang ramai boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 4:35 PM