Kuala Lumpur: Pihak polis Daerah Dang Wangi bertindak menggempur tiga lokasi ‘panas’ dalam usaha membersihkan daerah itu dari dikuasai pelacur jalanan di kalangan warga asing.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan operasi polis adalah sekitar di Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Dang Wangi dan Jalan P Ramlee.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, operasi [Ops Sepadu’ itu dilakukan bermula jam 11 malam kelmarin, dengan dibantu pihak Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan dan Sukarelawan Polis (PVR).

“Operasi diadakan selama empat jam ini berjaya menahan enam wanita warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Mereka dipercayai terbabit aktiviti pelacuran jalanan.

“Polis turut memeriksa seramai 240 individu termasuk 31 warga asing Vietnam, Uzbekistan, Filipina dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut berjaya menahan 15 individu lagi membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita yang dipercayai terbabit dengan kesalahan dadah dan aktiviti pelacuran.

“Secara keseluruhannya operasi ini berjalan dengan baik dan operasi Op Sepadu akan diteruskan bagi mengekang jenayah setrta mengurangkan masalah pelacuran jalanan ini,” katanya ketika majlis Hari Keluarga Daerah Dang Wangi bersempena dengan Hari Polis yang ke-208.

Difahamkan pelacur warga asing kerap berpeleseran di tepi jalan dan di sekitar pusat hiburan di Jalan P Ramlee bagi mendapatkan pelanggan terutama di kalangan pelancong warga asing.

Kehadiran mereka ini tidak hanya menjejaskan imej negara malah turut menyebabkan kawasan sekitar Jalan P. Ramlee dan Jalan Changkat Bukit Bintang di sini, dilabelkan sebagai ‘sarang’ maksiat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 5:58 AM