NAJIB bersama Rosmah menaiki motosikal lama ketika melawat pameran MAHA 2014 di MAEPS, Serdang.
NAJIB bersama Rosmah menaiki motosikal lama ketika melawat pameran MAHA 2014 di MAEPS, Serdang.

Serdang: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat menjadi pengguna bijak bagi menangani isu harga barangan mahal setiap kali berlaku kenaikan harga minyak kesan penghapusan subsidi RON95 dan diesel.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha membendung pola berkenaan dengan menyediakan alternatif bagi rakyat memperoleh barangan keperluan.

Beliau memberi jaminan sekiranya harga minyak dunia melambung naik dan rakyat menerima tekanan, kerajaan akan membantu tanpa berbelah bagi.

Katanya, penghapusan subsidi minyak ialah kerana kerajaan mahu memindahkannya kepada bentuk penjimatan yang lebih menguntungkan iaitu supaya peruntukan lain dapat ditambah seperti bidang sosio ekonomi negara.

“Kerajaan juga ada kaedah dan undang-undang kerana kebanyakan barangan asas ada kawalan harga.

“Jadi apabila pengguna semakin bijak, mereka yang tidak bertanggungjawab tahu sekiranya mereka menaikkan harga sewenang-wenangnya, pengguna tidak akan membeli barangan mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Kelmarin kerajaan menetapkan tiada lagi subsidi untuk petrol RON95 dan diesel berikutan penetapan harga runcit mengikut kaedah pengapungan terkawal memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010.

Najib berkata, selama ini banyak ketirisan subsidi minyak berlaku termasuk mereka yang kaya mendapat lebih manfaat berbanding orang miskin.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menghapuskan subsidi lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), buku teks, bantuan persekolahan, insentif nelayan, perumahan rakyat, pendidikan percuma, klinik dan hospital kerajaan, Klinik 1Malaysia, pasar tani dan Kedai 1Malaysia.

“Jadi sesiapa dakwa kerajaan menghapuskan subsidi adalah tidak benar dan perbuatan untuk mengelirukan rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata, tujuan utama pelaksanaan pengapungan terkawal ialah kerana hasrat kerajaan menyalurkan faedah terus kepada rakyat.

“Kita boleh buat ubah suai dengan lebih cepat iaitu pada 1 hari bulan setiap bulan, kita akan ubah suai ikut harga pasaran dunia bulan sebelumnya. Cara ini kita boleh beri manfaat kepada pengguna dan rakyat dengan cara lebih pantas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:11 AM