Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat sekiranya harga minyak dunia meningkat mendadak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, menerusi langkah pengapungan terkawal harga minyak yang diambil kerajaan kini, sistem itu lebih memberi manfaat kepada rakyat kerana harga minyak di negara ini turun mengikut harga pasaran minyak dunia.

“Langkah apungan terkawal harga minyak diambil kerajaan kerana harga minyak mentah dunia menurun ke paras di mana subsidi tidak diperlukan,” katanya dalam siaran radio laman blognya www.najibrazak.com semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pemansuhan subsidi pukal minyak itu mengelakkan negara kerugian berbilion ringgit akibat daripada aktiviti penyeludupan dan pembelian minyak oleh warga asing yang tidak layak menerima subsidi yang ditanggung pembayar cukai.

“Mekanisme apungan terkawal ini membawa penjimatan besar kepada kerajaan, dan penjimatan ini bakal disalurkan semula kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 21 November lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember.

Bermula dari tarikh berkenaan, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Pada Isnin lepas, harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:57 AM