Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Harga runcit petrol RON95 dan diesel dijangka berada di bawah paras RM2 seliter bermula 1 Januari depan jika purata harga minyak dunia terus menurun dalam tempoh 10 hari lagi.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, sejak 18 hari lalu, harga purata minyak dunia berada di bawah paras RM2 seliter berbanding harga runcit RON95 RM2.26 seliter dan RM2.23 seliter bagi diesel.

“Ini berita baik untuk rakyat dan saya berharap harga minyak dunia terus menurun bagi membolehkan rakyat di negara ini menikmati harga RON95 dan diesel di bawah RM2 mulai Januari ini,” katanya selepas Majlis Penerangan dan Dialog GST peringkat Parlimen Rembau di Dewan ILP Pedas, dekat sini, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris.

Ahmad Maslan berkata, pengumuman itu diharap dapat mengelak berlaku demonstrasi seperti dirancang pada 31 Disember ini bagi mendesak kerajaan menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 seliter.

Pada 21 November lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal dan tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan api itu.

Menerusi langkah pengapungan terkawal harga minyak, sistem itu lebih memberi manfaat kepada rakyat kerana harga minyak di negara ini turun mengikut harga pasaran dunia.

Berikutan itu, sejak Disember lalu harga jualan runcit RON95 diturunkan empat sen kepada RM2.26 seliter manakala diesel dinaikkan kepada RM2.23 seliter.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, 400 lagi program penerangan mengenai GST akan diadakan dan dijangka selesai pada Februari tahun depan di peringkat Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:16 AM