PENDUDUK membeli bekas simpanan air berikutan  gangguan bekalan air mulai jam 6 petang ini. FOTO Aziah Azmee
PENDUDUK membeli bekas simpanan air berikutan gangguan bekalan air mulai jam 6 petang ini. FOTO Aziah Azmee
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah menggerakkan 84 lori tangki air ke premis kritikal serta kawasan perumahan yang terjejas berikutan gangguan bekalan air yang bermula jam 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata, pihaknya turut menyediakan 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi membolehkan pengguna terjejas mendapatkan bekalan air alternatif di kawasan masing-masing bermula jam 8 malam.

"Semua pengguna dinasihatkan agar mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki dan pili awam yang disediakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sehingga jam 7 malam tadi, tahap pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada tahap 4 ton.

"Tahap pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pula berada pada tahap 3 ton.

"Sehubungan itu, keempat-empat loji masih belum boleh beroperasi buat masa ini.

"Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,857 juta liter sehari menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna di 1,279 kawasan," katanya.

Beliau berkata, maklumat pemulihan bekalan air kesemua kawasan terjejas akan dimaklumkan setelah loji mula beroperasi.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 9:09 PM