GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Semua 1,292 kawasan di tujuh wilayah yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang sudah pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan, semua kawasan terjejas sudah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada 6 pagi ini.

"Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

"Air Selangor menyarankan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran-saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram, serta laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Sejak Isnin lalu, empat LRA terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor.

Henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:41 AM