Kuala Lumpur: Peningkatan gred Malaysia University English Test (MUET) ke tahap 2 bagi kemasukan pelajar ke universiti bermula tahun depan dilihat mampu menangani masalah lepasan graduan yang sukar mendapat pekerjaan kerana tidak mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris (BI) dengan baik.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Rosna Awang Hashim berkata, langkah itu bukan saja mampu menempatkan lepasan graduan ke pasaran pekerjaan yang lebih baik malah pelajar juga berkemampuan untuk bersaing dengan pasaran luar.

"Sejajar dengan pelaksanaannya, sekolah perlu memainkan peranan untuk meningkatkan lagi penguasaan BI dalam kalangan murid dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Saya rasa tempoh persekolahan selama 11 tahun sepatutnya mencukupi untuk melahirkan pelajar yang bukan saja boleh menguasai bahasa itu, malah mampu bertutur dengan baik.

"Bagaimanapun, kini kemasukan pelajar ke universiti majoritinya mendapat tahap 3 ke bawah manakala separuh daripadanya hanya memperoleh tahap 1 dan 2," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pendekatan aktiviti dan program pembelajaran di luar bilik darjah bagi meningkatkan keupayaan BI dalam kalangan murid dan pelajar wajar dilaksanakan terutamanya bagi sekolah luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM