Muhyiddin  menggulung perbahasan pada hari terakhir  Perhimpunan Agung Umno 2014.
Muhyiddin menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2014.

Kuala Lumpur

Kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Pendidikan bagi membeli tempat di sekolah swasta untuk menampung 10,000 pelajar terutama Melayu dan Bumiputera bagi memberi nilai tambah dalam bidang kemahiran vokasional dan teknikal.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aspek pendidikan vokasional dan teknikal agenda penting dalam dasar pendidikan negara serta sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan terdapat 80 peratus daripada 10 juta pekerja sektor awam dan swasta berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan pendapatan mereka begitu rendah dan tidak menjamin masa depan yang baik.

“Justeru, kita sudah melaksanakan inisiatif untuk perkenalkan Program Transformasi Pendidikan Vokasional dan Teknikal sebagai langkah menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran terutama untuk anak-anak Bumiputera dan Melayu.

“Kalau usaha ini diperbanyakkan pada masa depan, mereka bukan saja memperoleh kemahiran malah peluang pekerjaan menjadi lebih cerah dan mampu mendapat pendapatan lebih tinggi.

“Malah, dalam Bajet 2015 Kementerian Pendidikan, sebagai contoh turut diberi peruntukan besar iaitu RM1.2 bilion untuk sedia lebih banyak prasarana di sekolah vokasional dan kolej vokasional juga,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC di sini, semalam.

Beliau berkata, kementeriannya juga menambah baik sistem pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara kerana timbul isu terdapat murid-muridnya gagal bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

“Kita dapati sebahagian daripada mereka (di sekolah jenis kebangsaan) tidak berupaya untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan walaupun sudah lama berada dalam sistem pendidikan negara.

“Justeru, saya mengarahkan penghantaran guru terlatih ke sekolah berkenaan dipertingkatkan, baik dari segi jadual waktu, kandungan kurikulum atau peperiksaan supaya dalam satu tempoh munasabah daripada apa yang dilaksanakan akan dapat hasil serta kualiti bahasa Melayu yang tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga bersetuju menjadikan pembelajaran bahasa ketiga kepada murid Melayu sebagai subjek pilihan elektif supaya mereka mampu menguasai lebih dua bahasa termasuk bahasa Mandarin atau Tamil supaya memahami apa ditutur oleh anak-anak Cina mahupun anak-anak India.

Menurutnya, subjek bahasa ketiga ini termasuk bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Sepanyol dan Perancis sudah dilaksanakan, namun bilangan yang terbabit masih kecil.

“Ia akan menjadi sebagai ruang baru dan memerlukan pelantikan seramai 30,000 guru bahasa ketiga (dengan nisbah tiga guru di 10,000 sekolah di seluruh negara) di mana jumlah berkenaan amat besar dan berharap kerajaan dapat mewujudkan peluang jawatan baru pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:12 AM