Idris merasmikan  Pusat Komprehensif Pelajar, U Assist UUM, semalam.
Idris merasmikan Pusat Komprehensif Pelajar, U Assist UUM, semalam.
Oleh Mohamad Hussin

Sintok: Kementerian Pendidikan mahu semua Dewan Senat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini memberi kelonggaran terhadap kemasukan pelajar berdasarkan keperluan semasa berikutan keputusan kerajaan menyeragamkan kenaikan gred Malaysian University English Test (MUET) mengikut bidang pengajian sebelum ini.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan syarat baru kelayakan MUET tetap diteruskan mulai tahun depan namun kelonggaran diberi buat masa ini kerana mengambil kira keadaan semasa iaitu tempoh singkat pelaksanaannya.

“Buat masa ini ada kelonggaran kerana semua IPTA ada senat masing-masing dan mereka ada kuasa beri kelonggaran dalam hal ini. Pada dasarnya kita setuju melaksanakannya seperti dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun kita akur masalah dihadapi sesetengah IPTA.

“Tapi kelonggaran boleh diberi kepada senat (universiti) kerana mengikut akta universiti, senat mempunyai kuasa menentukan kemasukan pelajar, justeru pelaksanaan syarat baru itu boleh diguna pakai mengikut keselesaan senat,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Komprehensif Pelajar, U Assist Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri mengumumkan untuk menaikkan gred MUET bagi kemasukan ke IPTA bermula tahun depan.

Ketika ini, syarat kemasukan am memerlukan pelajar mencapai tahap minimum MUET Band 1.

Bagaimanapun mulai tahun depan, tahap minimum Band MUET untuk kemasukan ke IPTA ditingkatkan mengikut bidang seperti Pengajian Sastera dan Sains Sosial pada Band 2, Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Band 3 dan Band 4 bagi Pengajian Undang-undang dan Perubatan.

Sementara itu, Idris berkata, kementeriannya mengadakan perbincangan dengan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berhubung laporan kajiannya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mendapati ramai pelajar bukan Melayu tidak boleh langsung berbahasa Melayu walaupun lulus peperiksaan SPM.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan tokoh akademik yang juga ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk mendapatkan penjelasan terperinci berikutan perkara itu boleh dianggap serius kerana membabitkan sistem pendidikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:13 AM