Adam Salleh

SELEPAS Subuh semalam terlihat kelibat Aimi Jarr dalam drama Assignment di TV1. Sekalipun drama arahan Yusuf Kelana, dibintangi Zulkifli Ismail, Eira Syazira dan Khairil Anwar itu ulangan, kesannya ada pada penulis kerana Aimi Jarr sebagai kenalan keluarga sejak di Singapura dan antara penulis dan beliau, kami pernah sebumbung bekerja di Majalah Pesta.

Tidak lekang di ingatan sebagai wartawan muda dan Aimi Jarr pula veteran ‘berlaga angin’ juga kami salah satunya insiden penulis dan jurugambar, Izi Yahya (Allahyarham) ketinggalan bas menyertai rombongan promosi Sudirman Haji Arshad. Sebaik penulis menerima tawaran Harian Metro pada 1991, Aimi Jarr membalas tawaran pintas untuk menaikan gaji penulis RM100 menjadi RM600, seterusnya mahu melantik penulis menjadi Editor Majalah Pesta. Namun bukan jawatan diburu penulis, sebaliknya pengalaman bekerja di akhbar harian itu lebih utama.

Pejam celik, hari ini 10 Mei, genaplah enam tahun pemergian Aimi Jarr pada 2011 dalam usia 72 tahun. Biarpun Aimi Jarr pernah berlakon filem dan drama, tetapi penggiat hiburan tanah air lebih maklum Aimi Jarr sinonim dalam kewartawanan hiburan. Beliau mencipta nama besar sebagai wartawan hiburan sejak di Gelanggang Filem selama tiga dekad, 60-an, 70-an dan 80-an.

Di kala ini, FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dalam proses menerbitkan buku karya terakhir Aimi Jarr iaitu 3 Dekad Filem Malaysia. Buku itu tidak dapat beliau siapkan kerana keuzurannya dan agak terharu kepercayaan diberikan kepada penulis untuk mengemaskini buku berkenaan terutama ketepatan fakta sebelum memasuki pasaran pada tahun ini.

Bukan mudah menyiapkan buku sekerat jalan kerana apa yang difikir penulis asal sudah pasti berbeza daripada apa yang ada di minda penulis. Bagaimanapun amanah haruslah dilaksanakan, apatah lagi buku berkaitan filem pastinya akan jadi rujukan generasi akan datang terutama di kalangan mereka yang menuntut dalam jurusan perfileman.

Sebelum ini Aimi Jarr pernah hasilkan buku antaranya P Ramlee Dari Kaca Mata Aimi Jarr (1984), P Ramlee Lagenda Yang Terus Hidup (1991), Malaysian Film: The Begining (menulis bersama Zamberi A Malek, 2005), Jejak Terbilang (2007) dan bermulanya Filem Melayu (menulis bersama Zamberi A Malek, 2009). Majoriti bukunya diterbitkan FINAS.

Beliau pernah berkhidmat di FINAS tiga tahun (2003-2006) selaku Pegawai Penerangan, Pegawai Media, Penasihat Skrip dan Pegawai Penerbitan seterusnya kembali berkhidmat dengan Skop Production pada 2007 sehingga meninggal dunia. Komitmen beliau bersama penerbitan Utusan Melayu Kuala Lumpur pada 1970 sehingga 1983.

Skrip dihasilkan Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagimu, Detik 12 Malam (1979), Jejak Bertapak, Esok Masih Ada (1980), Bukit Kepong, Dia Ibuku, (1981), Esok Untuk Siapa, Kabus Tengahari (1982) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983). Ikut menjadi wartawan, kita tidak sunyi daripada dihambat waktu, anehnya Aimi Jarr boleh mencuri waktu untuk kerja kreatif.

Suatu ketika penulis yang memanggil beliau ‘abang’ bertanya bagaimana boleh ada masa menulis buku, novel dan skrip filem? Jawab Aimi Jarr sebagai penulis kita kena lawan diri untuk mencuri masa menulislah walau satu perenggan sehari (jika menulis novel) dan jika ada masa sambung kembali tulisan yang cuma dapat disiapkan satu para itu. Lama kelamaan ia selesai.

Berasal dari Kuala Terengganu, Aimi Jarr dilahirkan pada 26 Julai 1936 dengan nama Omar bin Puteh @ Abdul Majid bin Puteh. Nama Aimi Jarr itu diberi P Ramlee ketika beliau memohon kerja di Gelanggang Filem kerana selaku penerbit majalah itu, P Ramlee berasakan nama Omar itu lebih sesuai digunakan di kampung sebaliknya mahukan satu nama ada nilai komersial.

“Begini ya, kau dengar baik-baik, aku sebutkan satu nama dan kau tambahkan satu nama lagi, tambah dengan cepat bila aku sebut nama itu,” kata P Ramlee.

P Ramlee termenung sebentar, muka Aimi Jarr diamati kemudian dia memandang sekeliling,” kau dengar baik-baik, eee...nama kau Aimi...Aimi...ya..kau tambah satu nama sekarang.”

Tidak semena-mena terkeluar perkataan Jarr di mulut Aimi Jarr. “Okey kalau begitu mulai hari ini nama kau ialah Aimi Jarr, bukan lagi Omar bin Putih datang dari kampung nelayan.”

Kekaguman Aimi Jarr pada P Ramlee membulatkan tekad Aimi Jarr meninggalkan kampung halaman pada 14 Jun 1957 ke pelabuhan Pulau Kambing, Kuala Terengganu menaiki kapal Rawang menuju pelabuhan Clifford Pier di Singapura. Pelbagai pekerjaan dilakukan di Singapura antaranya pencuci kereta di stesen minyak kawasan Paya Lebar sebelum bertemu P Ramlee.

Satu hal penulis ‘salute’ Aimi Jarr ini bagaimana beliau boleh berkawan rapat bagaikan famili bersama seniman dan sutradara hebat Melayu. Hubungan beliau dengan P Ramlee kemudian Jins Shamsuddin (Tan Sri, Allahyarham) dan Datuk Mustapha Maarof seterusnya Datuk Yusof Haslam membawa ke akhir hayat, walhal sebagai wartawan penulis sendiri sekalipun dibesarkan dalam keluarga filem, ibu seniwati dan ayah pula sutradara tetapi jauh di sudut hati tetap tersemat halangan antara hubungan kekeluargaan dan etika pekerjaan.

Sebagaimana dikait penulis di kolum ini sebelum ini, segarang-garang Jins Shamsuddin pun boleh cair dengan Aimi Jarr apabila meminta ‘James Bond Malaya’ itu berulang-alik dari Hulu Klang ke Taman Melawati bagi memberi kucingnya makan selama sebulan. Begitulah persahabatan insan seni lama berputik daripada keikhlasan bukan kebendaan semata-mata.

Aimi Jarr meninggalkan balu Noriah Ishak, 70, dan anak, Norimi Aimi, Norlizda Aimi dan Romy Jarr serta empat cucu. Selang setahun selepas kematian Aimi Jarr, penulis diminta menjadi pengerusi Dialog P Ramlee bersama panel Datuk Aziz Sattar, Zaiton, Kassim Masdor, Zainuri Misfar dan Prof Abu Hassan Hasbullah turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang di Klang, Selangor.

Sekiranya hayat Aimi Jarr ada, pastinya beliau hadir dalam program berkaitan P Ramlee hinggakan ketika minum, Aziz Sattar membisikkan sesuatu pada penulis, “ Terasa juga Aimi Jarr tiada.” Begitulah sebagai wartawan hiburan andai meninggalkan banyak jasa tetap dikenang orang. Al-Fatihah Allahyarham Omar Puteh @ Aimi Jarr.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 4:11 AM