TAN Sri Jins Shamsuddin
TAN Sri Jins Shamsuddin
Adam Salleh

Melihat pelbagai gambar wartawan hiburan sekarang swafoto, memeluk mesra Tan Sri Jins Shamsuddin, beruntunglah mereka kerana boleh beraksi comel begitu di kala Jefri Zain @ ‘James Bond Malaya’ kita itu sudah terkena alzheimer. Andai Jins Shamsuddin seperti penulis kenali di era 80-an, kirim salam sajalah mereka boleh mendampingi atau berkunjung ke kediamaan Jins.

Bukan temberang, sebabnya bukan seorang dua wartawan hiburan ditempelak Jins Shamsudddin, bahkan ada wartawan hiburan perempuan menangis dikerjakan seniman itu, sebabnya bertanya soalan yang Jins Shamsuddin sendiri pantang atau menyampah mendengarnya seperti: “Berapa banyak filem dilakon Encik Jins? Berapa usia sekarang?”

Sekiranya soalan begitu ditanya wartawan hiburan, jawabnya ‘dipersilakan berambus’ atau diminta buat ‘home work’ dulu dan datang kembali. Perihal payahnya pihak media mendampingi Jins Shamsuddin inilah yang penulis kupas ketika ditanya pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar momen tidak boleh dilupakan sepanjang mengenali dan mendampingi insan seni itu.

Penulis sendiri ketika mula menjadi wartawan paling ‘berbulu’ jika diberi tugasan menemu ramah Jins Shamsuddin. Namun sebagai wartawan baru pertengahan 1980-an, menemu ramah Jins Shamsuddin dikira ‘training ground’ terbaik untuk membina keyakinan diri wartawan. Maknanya, berjaya menemu ramah Jins Shamsuddin, bertemu artis lain itu dikira ‘kacang” saja.

Pelbagai insiden benggang ada, lawak pun ada bersemuka insan seni unik ini. Sekitar 1991, penulis menulis berita muka depan di Harian Metro, mengenai operasi polis menyerbu sekumpulan karyawan seni sedang ‘berjudi’ di Studio Pancha Delima, Hulu Klang. Insiden itu tidak lekang di ingatan, malah rakan wartawan di pejabat jika mengusik penulis perihal Jins Shamsuddin pastinya mereka akan mengajuk cara percakapan Jins Shamsuddin ketika penulis mahukan kesahihan daripada mulutnya selaku pemilik studio berkenaan di sebalik operasi pihak polis itu.

Penulis yang dikehendaki membuat ‘follow-up’ di sebalik kejadian itu, tanpa berlengah terus ke Pancha Delima. Melangkah ala serbu tembok, bergantung pada nasib dan ternyata nasib menyebelahi penulis apabila terpandang kelibat Jins di tingkat bawah banggunan studio dua tingkat itu. Apalagi penulis terus menerpa seraya memperkenalkan diri sebagai wartawan.

Raut wajahnya berubah, barangkali Jins sudah dapat mengagak mesti mahu sensasikan lagi berita operasi itu. Dek kerana di sebalik insiden itu, ada keluarga penulis terbabit sama, ketika mula bersemuka dengan Jins untuk berita susulan itu, beliau menyindir penulis dengan kata-kata merangsangkan emosi. Sebelum itu di Kompleks FINAS, penulis sudah disindir Aziz Sattar gara-gara berita penangkapan itu, namun sudah namanya wartawan, lebih afdal diamalkan ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’ kerana yang penting mendapat berita untuk tatapan pembaca.

Situasi agak tegang ketika itu, lalu penulis bertanyakan pada Jins, apakah beliau mengetahui mengenai operasi polis tempoh hari. Dengan acuh tidak acuh dijawab Jins: “Mana saya tahu!” Penulis aju lagi soalan: “Macam mana uncle (ketika itu penulis memanggil beliau uncle) tidak tahu operasi polis di studio ini?” Dibalas Jins: “Itu bukan urusan saya!” Tidak puas hati mendengar jawapan Jins, penulis pun mengasak lagi soalan: “Macam mana uncle tidak tahu, kalau studio ini terbakar, macam mana?” Dijawab selamba Jins: “Itu bukan urusan saya, itu urusan bomba!”

Jawapan spontan Jins itu, apabila penulis ceritakan kembali pada rakan-rakan di pejabat, berderailah mereka ketawa. Bila difikirkan kembali, lojik juga jika studio terbakar, itu urusan bombalah. Melihat kesungguhan penulis, akhirnya Jins mengalah lalu mengajak penulis masuk ke pejabatnya di tingkat atas dan kami berbual di sebalik insiden serbuan itu.

Nyata Jins tidak senang dengan berita itu kerana ada pelbagai syarikat produksi di situ dan yang ditempelak Studio Pancha Delima. Perbualan kami ketika itu ditemani pembantu peribadi beliau dramatis Faridah Kassim. Menurut Jins, dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang penyewa di banggunan (studio) itu menjalankan sebarang kegiatan di dalam pejabat mereka.

“Setiap hari jam 6 petang saya pulang ke rumah. Selepas waktu itu saya tidak ambil tahu apa yang dilakukan penyewa di dalam pejabat mereka. Bagaimanapun ramai penyewa menunggu hingga larut malam di sini kerana urusan ‘dubbing’ dan editing filem. Sebolehnya saya tidak mahu tempat karyawan ini dicemari dengan cerita yang tidak baik,” jelas Jins pada penulis.

Untuk menjernihkan kembali, penulis melihat Jins datang ke pejabat Harian Metro di Jalan Riong, Bangsar, bertemu dengan Penolong Pengarang Kumpulan Berita Harian ketika itu, Yunus Said. Studio Pancha Delima yang ketika itu baru 12 tahun ditubuhkan adalah impian Jins untuk menghimpunkan pelbagai syarikat produksi menyewa di situ.

Menjadi wartawan ketika itu, Studio Pancha Delima umpama lubuk berita kerana ada sepuluh syarikat menyewa di situ, antaranya JD Production milik Julie Dhalan (Allahyarham), RJ Filem milik Rosnani Jamil (Datuk), Ogy’s Production milik Ogy Datuk Ahmad Daud, Ariff Skop, Persatuan Pengeluar Filem (PFM) dan studio latihan kumpulan rock terkenal ketika itu, Search.

Sesekali mencari berita di studio itu, penulis memerhatikan juga kelibat dan gelagat Jins. Setiap petang beliau menghala pandangannya di luar jendela dari tingkat dua studio itu memerhatikan remaja bermain bola sepak di padang Sekolah Hulu Klang (sekolah menjadi lokasi filem Masam-Masam Manis arahan P Ramlee). Untuk dikatakan Jins Shamsuddin antiwartawan sukar juga kerana filem pertama arahannya, Bukan Salah Ibu Mengandung adalah berdasarkan skrip wartawan terkenal, Harun Hassan (Allahyarham).

Apabila Jins mengarahkan filem Tiada Esok Bagimu (1979) dan Esok Masih Ada (1980), Jins menggunakan khidmat wartawan hiburan Aimi Jarr (Allahyarham) selaku penulis skrip. Untuk filem Esok Untuk Siapa (1982) dan Ali Setan (1985), Jins bekerjasama dengan wartawan veteran Osman Abadi (Allahyarham) selaku penulis skrip. Ironinya, Jins tetap menghargai wartawan berilmu.

Sebagaimana penulis kaitkan menemu ramah Jins adalah medan terbaik menguji wartawan. Kaedah ini juga penulis pratikkan ketika menjadi Pengarang Hiburan Harian Metro (2003-2010), menugaskan ‘anak-anak buah’ berjumpa Jins. Cuma situasi berbeza, Jins Shamsuddin tidaklah secengih era 1980-an dulu kerana faktor usia pada waktu statusnya selaku Senator (sejak 2004).

Wartawan hiburan, Yanie Baharom pernah ditugaskan penulis menemu ramah Jins, lalu beliau bertanya: “Siapa bos kamu?” Dijawab Yanie: “Adam Salleh!” Dibalas Jins spontan nada seperti bangga pula: “Oh...dia tu anak kawan saya.” Begitulah Jins, tidak semua wartawan hiburan boleh setuju angin kerana silap mendampingi boleh berlaga angin dengan beliau.

Sebagaimana sukarnya Jins Shamsuddin mengajak wartawan ke rumah, begitulah sukar untuk kita melihat Jins menaiki kenderaan bersama wartawan. Namun ada cerita menarik ingin penulis kongsi pada minggu depan bagaimana penulis boleh tersesat pada 1984 lalu menaiki kenderaan bersama Jins Shamsuddin dari Jalan Raja Laut ke rumah ibu bapa penulis di Kampung Klang Gate Baru.

Penulis Pengarang

Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:05 AM