PERMATA Seni Terbilang karya Hidir.
PERMATA Seni Terbilang karya Hidir.
HIDIR menziarahi pusara Nordin  di Singapura.
HIDIR menziarahi pusara Nordin di Singapura.
Adam Salleh

Sekitar 2008, seorang anak muda saran FINAS agar terbitkan buku seniman Nordin Ahmad (kini Allahyarham). Malangnya idea anak jati Darul Ehsan itu tidak menarik minat pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional itu dengan alasan tiada bahan. Menyedari tidak nampak kesungguhan FINAS membukukan riwayat hidup hero tersohor filem Melayu itu, pemuda bernama Hidir Ali Razali ini mengambil inisiatif sendiri, mencari duit lalu membuat kajian bagi menghasilkan buku Permata Seni Terbilang (PST) bagi mengenang ketokohan Nordin Ahmad.

Nasib Hidir sebenarnya pernah dialami penulis lima tahun lalu. Ketika itu penulis berjumpa sendiri pihak penerbitan buku FINAS, lalu mencadangkan menerbitkan buku seniwati Datuk Rosnani Jamil (Mak Nani). Penulis pun mengeluar wang saku sendiri sanggup mengikut Mak Nani pulang ke tanah tumpah darahnya di Padang, Indonesia.

Apa nak dikata pihak FINAS tidak minat dengan kisah Mak Nani itu, sebaliknya pihak itu mencadangkan nama seniwati lain. Barangkali FINAS tiada bajet untuk hasilkan buku tokoh perfileman tanah air, berbanding dana berjuta-juta ringgit FINAS yang mudah ‘dilabur’ untuk ‘disakau’ produser dan pengarah tempatan menghasilkan filem tetapi tiada yang untung.

Lain dulu, lain sekarang kerana FINAS kini dibawah pentadbiran Pengerusi, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah baru, Datuk Fauzi Ayod diharap lebih toleran dan rasional. Bagi Hidir pula, kesungguhannya menulis buku Nordin Ahmad kerana minat mendalam pada filem Melayu sejak di era kegemilangan di Singapura dan Nordin Ahmad pula mulai diikuti ketika usianya 10 tahun selepas menonton filem Lanchang Kuning. Itu pun kerana dia tertarik aksi Nordin Ahmad berpencak silat dengan aktor jahat, Haji Arshad dalam filem arahan M Amin itu.

Jika kita berkunjung ke Kompleks FINAS di Hulu Klang ada diabadikan nama Nordin Ahmad di Layar Bintang dengan catatan 1932-1971. Tarikh 1932 juga tercatat dalam Wikipedia malah banyak tulisan di akhbar dan media sosial turut mencatatkan 1932 sebagai tarikh kelahiran Nordin Ahmad yang dipercayai memetik apa dicatat FINAS sebagai pihak yang dipercayai.

Walhal kata Hizir hasil kajiannya puluhan tahun tarikh kelahiran Nordin Ahmad yang dipaparkan FINAS itu tidak betul. Sebaliknya Nordin Ahmad yang popular dengan watak Damak dalam Sri Mersing dilahirkan pada 4 Ogos 1929 di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Prai, Pulau Pinang, dan meninggal dunia akibat sakit kuning pada 15 Jun 1971 di Singapura.

Hayat Nordin Ahmad sekitar 42 tahun saja dan yang menariknya Hizir menziarahi sendiri pusara Nordin Ahmad di Pusara Abadi, Singapura. Satu usaha terpuji kerana selama ini kita dan pihak berwajib di sini tidak pernah tahu pusara di mana pusara Nordin Ahmad? Kesempatan di Singapura, memberi peluang pada Hidir menemuramah ketiga-tiga anak angkat Allahyarham iaitu Asman, Tuah dan Asnor di Singapura yang berusia antara 58 hingga 70 tahun. Turut ditemuramah adik beradik Nordin Ahmad iaitu Sidek Ahmad, 81, dan Rokiah Ahmad, 74.

Adik beradik Nordin Ahmad majoriti menetap di Pulau Pinang. Untuk menghasilkan PST ini, Hidir sudah membelanjakan RM30,000 bagi mencari bahan dan kajian termasuk wawanca sahabat handai seperti M Amin dan Datuk Mustapha Maarof. Proses cetak pula, Hidir mengeluarkan RM35,000 dan sebagai cetakan pertama sebanyak 1,000 naskhah akan dicetak.

Permata Seni Terbilang akan dijual RM100 senaskhah dan dijangka memasuki pasaran pertengahan 2017 nanti. Bila peminat mempunyai inisiatif murni begini, seharusnya diberi galakan dan sokongan umpamanya penyediaan dana kerana jika mengimbau sejarah perfileman tanah air, tidak banyak riwayat hidup tokoh perfileman dibukukan.

Untuk memastikan jualan buku itu mendapat sambutan, Hizir mendapat jaminan Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik yang mempunyai lebih 10,000 ahli. Kelab diterajui Ahmad Fauzee ini galak berkongsi maklumat mengenai seniman dan seniwati veteran di media sosial. Bahkan banyak gambar nostalgia yang eksklusif disiar untuk dikongsi sesama mereka.

Mungkin juga sebaik buku Nordin Ahmad ini diterbitkan, pihak Finas boleh berkolaborasi dengan Hizir cara bagaimana mengatur strategi bagi membolehkan buku ini mendapat tempat di pasaran. Selama kajian dibuat, kata Hizir barulah dia tahu melalui cerita M Amin dalam filem Jebat arahan Hussein Hanif watak Tuah itu disaran oleh penjaga makam Hang Jebat agar dipegang oleh Mahmud Jun, sementara M Amin menjadi Patih Karma Wijaya dengan alasan M Amin kurang mengusai persilatan. Sebaliknya watak Jebat itu tetap sesuai dengan Nordin Ahmad.

Nordin Ahmad mencipta nama awal di filem terbitan Malay Filem Production (MFP) milik Shaw Brothers, berpindah ke Cathay Keris Filem sesudah mendapat nasihat P Ramlee. “Din, hang pi, di sini penuh pancaroba, tiada apa yang lebih baik dapat kuberikan padamu di sini,” begitulah antara pesan P Ramlee agar Nordin mencuba nasib di studio baru.

Nyata perpindahan Nordin Ahmad berbaloi kerana lakonan hebat yang ditampilkan dalam Sri Mersing arahan Salleh Ghani dan Jebat, meletak namanya antara hero ternama yang memberi saingan pada P Ramlee. Jika menghayati lakonan Nordin Ahmad, nyatalah beliau aktor berkarisma; permainan emosinya cukup tinggi, lontaran dialognya jelas hingga membawa kita seolah-olah hidup dalam zaman Damak dan Jebat. Moga Permata Seni Terbilang dapat menjadi khazanah berharga buat generasi akan datang ke arah menghargai tokoh filem tanah air.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:46 AM