KAKI pendek dan montel.
KAKI pendek dan montel.
Nurul Husna Mahmud


KAKI pendek dan bertubuh montel membuatkan ramai orang geram dengan susuk kucing baka Munchkin.

Begitu juga dengan peniaga dalam talian, Maizatul Azni Hussain, 38, ini apabila sanggup membelanjakan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan kucing peliharaan baka Munchkin.

Munchkin ialah baka kucing terhasil dari mutasi genetik semula jadi daripada kucing kaki normal kepada kaki yang lebih pendek.

Menurut Maizatul Azni, dia tidak dapat menahan diri daripada memiliki kucing terbabit apabila melihat keletah si bulus itu yang begitu comel dikongsi seorang pemilik haiwan terbabit di media sosial.

"Saya tertarik kepada kucing berbaka Munchkin apabila melihat satu video di TikTok berkenaan kucing Munchkin.

"Rupa fizikal yang unik (berkaki pendek depan dan belakang), tubuh yang montel dan manja menyebabkan saya tertarik dengan baka berkenaan.

"Saya mula mencari penjual kucing baka itu di media sosial dan akhirnya terjumpa satu pembiak baka kucing dan terus membelinya," katanya.

Maizatul Azni berkata, berbanding baka kucing lain, Munchkin sukar ditemui dan harganya lebih tinggi berbanding kucing Parsi.

MAIZATUL Azni dan suami bersama Tuah (kiri) dan Jebat (kanan).
MAIZATUL Azni dan suami bersama Tuah (kiri) dan Jebat (kanan).

"Saya mula membela kucing penghujung 2021 dan Munchkin yang saya beri nama Tuah memang comel.

"Pada masa sama, saya juga membeli tiga kucing Parsi. Ketika kucing Parsi dibeli keadaannya tidak dijaga dengan baik membuatkan saya ambil keputusan drastik untuk beli dan bela.

"Sebenarnya saya suka merawat kucing jalanan dan apabila sudah cantik serta sihat, saya serahkan kepada sesiapa berminat untuk bela.

"Tabiat kucing kampung dan kucing jalanan tidak sesuai kerana saya mahu rumah sentiasa dalam keadaan terjaga.

"Apabila saya tergerak hati untuk pelihara kucing, saya pilih baka Munchkin dan Parsi kerana kedua-duanya manja," katanya yang memberikan nama tertentu kepada setiap kucingnya.

SERASI walaupun berlainan baka.
SERASI walaupun berlainan baka.

Mengenai pergaulan antara Tuah, Jebat, Maneh dan Manja kata Maizatul Azni, haiwan itu mudah serasi.

"Tuah sensitif dan penakut. Jadi, ia mudah terganggu termasuk kehadiran kucing baru.

"Jebat, Maneh dan Manja juga tiada masalah sebab saya bela lebih kurang masa Tuah dijaga kami.

"Untuk kes Tuah, tuannya jaga dengan elok dan tidak memerlukan tempoh merawat berbanding tiga kucing Parsi yang saya beli," katanya.

Mengenai rutin penjagaan kucing Munchkin dan Parsi kata Maizatul Azni, kucing berbulu panjang agak rumit berbanding kucing kampung atau jalanan.

GEBU, bulu Muchkin memerlukan penjagaan setiap hari seperti mata, telinga dan berus bulu.
GEBU, bulu Muchkin memerlukan penjagaan setiap hari seperti mata, telinga dan berus bulu.

"Pengalaman saya memelihara kucing kayangan (baka Munchkin dan Persian) berbeza dengan baka kampung.

"Sifat kucing kampung lebih lasak dan agresif. Ia amat berlainan dengan kucing yang dibela sekarang.

"Kucing Munchkin dan Parsi yang saya pelihara lebih sopan dan sangat mudah diuruskan. Contohnya ketika memotong kuku, menyikat bulu, memberus gigi, makan ubat atau vitamin, haiwan itu 'merelakannya," katanya.

Sifat kucing 'kayangan' lebih mudah diurus sesuai dengan keperluan Maizatul Azni untuk memelihara kucing di rumah.

"Penjagaan rapi perlu terhadap kucing ini kerana haiwan itu berbulu panjang dan tebal. Sekiranya bulu tidak sihat, ia akan kerap menjilat dan menggaru.

KEADAAN kucing sebelum dipelihara dan dirawat.
KEADAAN kucing sebelum dipelihara dan dirawat.

"Keadaan ini akan mengakibatkan 'furball' (bulu bergumpal) dan masalah keguguran bulu boleh berlaku.

"Situasi itu menyebabkan persekitaran rumah menjadi kotor dan tidak sihat. Kucing dan tuan menjadi tidak selesa," katanya.

Kata Maizatul Azni, dia mengamalkan amalan memandikan kucing setiap satu hingga dua minggu sekali.

"Biasanya saya akan mencuci mata, telinga dan menyikat bulu setiap hari. Manakala rutin mandi pula setiap dua minggu sekali atau seminggu sekali. Kucing berwarna putih wajib dimandikan setiap minggu supaya bulu kekal berwarna putih.

"Amalkan juga pemberian ubat hama dan kutu setiap tiga bulan sekali bagi memastikan tiada masalah berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 6:20 AM