ASHERA dilaporkan menjadi kucing termahal di dunia.
ASHERA dilaporkan menjadi kucing termahal di dunia.
Hafiz Ithnin


BAGI peminat anak 'bulus' pastinya tidak kisah soal harga untuk memilikinya. Malah, ada yang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki kucing idaman.

Baka, kesukaran mendapatkan, keunikan rupa bentuk dan kenakalan sudah pasti menjadikan kucing bernilai tinggi sentiasa menjadi rebutan peminatnya.

Justeru dalam Kubela pada kali ini kami kongsikan lapan baka kucing termahal di dunia yang disenaraikan oleh portal The Scotsman.

1. Ashera

Baka kucing ini dilaporkan mempunyai harga paling mahal di dunia dengan harga jualan USD125,000 atau kira-kira RM587,760.

Ashera adalah baka campuran African Serval, Asian Leopard dan kucing domestik. Beratnya pula boleh mencapai sehingga 14 kilogram.

SAVANNAH menduduki tangga kedua sebagai kucing termahal di dunia.
SAVANNAH menduduki tangga kedua sebagai kucing termahal di dunia.

2. Savannah

Kucing ini adalah baka kucing domestik terbesar yang mempunyai kacukan antara baka domestik dan kucing Afrika bertelinga besar.

Harga yang dilaporkan USD50,000 atau kira RM235,104 seekor. Antara keunikan Savannah adalah corak unik pada bulu dan mempunyai telinga panjang dan 'capang.'

BENGAL mempunyai corak yang unik menjadi buruan peminat kucing untuk menjadikan haiwan kesayangan.
BENGAL mempunyai corak yang unik menjadi buruan peminat kucing untuk menjadikan haiwan kesayangan.

3. Bengal

Baka ini antara yang sering menjadi idaman ramai peminat kucing di negara ini kerana rupanya yang unik dan corak bulu yang menarik.

Ia adalah kacukan kucing domestik termasuk Egyption Mau dengan Asian Leopard Cat. Nama bakanya datang daripada nama taksonomi kucing leopard.

Harga jualan bagi seekor Bengal mencecah USD25,000 atau RM117,552.

KUCING parsi bergitu popular sebagai kucing yang berwajah comel.
KUCING parsi bergitu popular sebagai kucing yang berwajah comel.

4. Persian

Memiliki wajah yang bulat dan bulu yang panjang serta kelihatan empuk sudah semestinya menjadikan kucing ini antara yang popular untuk peminat kucing.

Malah, boleh dilihat ia banyak ditayangkan di kaca televisyen sebagai haiwan kesayangan. Justeru, bagi baka Persian yang asli dilaporkan berharga USD5,500 atau kira-kira RM25,861 seekor.

PETERBALD berasal dari Rusia.
PETERBALD berasal dari Rusia.

5. Peterbald

Baka asli kucing ini dilaporkan berharga USD5,000 atau kira-kira RM23,510 seekor. Peterbald adalah kucing baka dari Rusia yang dikatakan mempunyai kebijaksanaan seperti seekor anjing.

Peterbald dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 15 tahun juga mempunyai keunikan seakan-akan tidak berbulu dan mempunyai telinga yang agak besar.

KUCING baka sphynx asli dilaporkan mempunyai harga mencecah kira-kira RM14,000 seekor.
KUCING baka sphynx asli dilaporkan mempunyai harga mencecah kira-kira RM14,000 seekor.

6. Sphynx

Baka kucing yang hampir tidak berbulu ini dilaporkan mempunyai harga USD3,000 ke atas atau kira-kira RM14,106 seekor. Berasal dari Toronto, Kanada, kucing ini dilihat begitu unik kerana hampir tidak berbulu.

SCOTTISH fold mempunyai muka yang bulat.
SCOTTISH fold mempunyai muka yang bulat.

7. Scottish Fold

Sesuai dengan hujung namanya iaitu 'berlipat,' Scottish Fold boleh dikatakan mempunyai rupa yang amat comel kerana bentuk muka yang bulat, telinga kecil dan seperti terlipat ke bawah.

Scottish Fold yang asli dilaporkan dijual pada harga sehingga USD3,000 atau kira-kira RM14,106 seekor. Kucing ini dilaporkan berasal dari Scotland dan disebabkan itu juga diawal namanya juga sempena negara asalnya.

8. Russian Blue

Harga yang dilaporkan mencecah USD3,000 atau RM14,106 seekor. Memiliki mata hijau, bulu pendek dan wajah kelihatan seperti tersenyum mungkin menyebabkan kucing ini dijual pada harga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 6:30 AM