GEBU kucing Parsi dipelihara pasangan adik-beradik, Ayu dan Ani di kediaman mereka di Bandar Seri Putra.
GEBU kucing Parsi dipelihara pasangan adik-beradik, Ayu dan Ani di kediaman mereka di Bandar Seri Putra.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Melihat aksi salah seekor kucing Parsi peliharaan dua beradik, Suriati Ayu dan Suriani Ayu Sidek yang 'meliuk-lentuk' badannya di depan jurufoto kami, Azhar Ramli nyata mengundang rasa 'geram' penulis dengan ragamnya.

Menurut Suriati Ayu, si bulus yang diberi nama LilliePut adalah baka Parsi jantan dipercayai berasal dari susur galur baka Ukraine memiliki kelincahan dan cukup bijak bergaya di depan lensa.

Malah aksinya mengenakan pakaian dan cermin mata hitam membuatkan setiap momen merakam keletahnya sangat menghiburkan serta melucukan bagi saya dan jurufoto yang berada di kediaman pemiliknya.

"LilliePut adalah baka kucing Parsi pertama yang kami pelihara pada 2017 apabila kucing baka Bengal dipelihara sebelum itu mati pada 2013 disebabkan komplikasi usus.

"Malah LilliePut juga ketika kami mula ambil daripada pemilik lama keadaannya uzur. Lebih menyedihkan apabila kami bawanya menjalani rawatan, doktor pertama yang merawat mengatakan LilliePut tiada harapan untuk hidup lama dan kalau bertahan pun mungkin tumbesaran terbantut.

"Rupa LilliePut ketika itu dalam lingkungan umur sekitar empat bulan, kepalanya lebih besar daripada badan selain bulunya juga tidak begitu baik. Tetapi kami tidak putus asas dan pergi ke klinik lain untuk dapatkan nasihat atau pandangan kedua bagi masalah kucing peliharaan kami itu.

"Menurut doktor yang kedua mengendalikan LilliePut, haiwan itu boleh dirawat dan memberi nasihat supaya kami menjaganya terutama aspek pemakanan. Kucing parsi itu mengalami masalah pencernaan kesan komplikasi kecederaan pada tulang pinggul.

KUCING Parsi mengamalkan diet protein ayam dan alah kepada makanan laut.
KUCING Parsi mengamalkan diet protein ayam dan alah kepada makanan laut.

"Ia terpaksa makan dalam saiz hidangan yang kecil tetapi kerap, bagi memastikan dapat protein mencukupi untuk membesar dengan sihat. Selain itu perlu terus menjalani rawatan setiap minggu bagi memastikan ia dapat terus hidup dan membesar sihat seperti sekarang," katanya yang turut memiliki lima kucing baka Parsi sebagai haiwan peliharaan.

Tambahnya yang juga mesra dipanggil Ayu, penjagaan kucing baka ini remeh dan menelan belanja tinggi. Namun pelaburan itu dirasakan berbaloi apabila melihat keletah manja dan berbulu gebu.

"Memang untuk pelihara kucing baka ini sedikit mencabar berbanding pelihara kucing kampung. Penjagaan kucing ini perlu lebih terutama jenis muka leper atau 'flat face.'

"Kucing ini memiliki bulu yang panjang dan mudah gugur apabila tidak dirapikan. Jadi, rutin hantar ke pusat penjagaan dan spa kucing itu penting serta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu satu cabaran kerana tiada perkhidmatan ditawarkan.

"Mujurlah saya dan adik bekerja dari rumah, jadi ada masa untuk kami lakukan sendiri kerja-kerja merapi. Antaranya seperti memotong bulu dan membuang kuku.

COMEL LilliePut tidak kekok mengenakan kostum dan kaca mata hitam.
COMEL LilliePut tidak kekok mengenakan kostum dan kaca mata hitam.

"Kami pelajari sendiri menerusi YouTube dan itu sebenarnya banyak membantu kami menjimatkan lebih RM1,000 bagi kos menghantar enam ekor kucing ke spa setiap bulan," katanya.

Sementara itu, adiknya, Suriani Ayu atau lebih selesa dengan panggilan Ani mengakui, memelihara kucing baka Parsi ini juga banyak mengajar sesuatu di luar jangka mengenai tabiat atau penjagaan kucing terbabit.

"Sesuatu yang mengejutkan bagi kami yang selama ini pernah memelihara kucing tidak menyangka kucing baka Parsi hanya boleh makan makanan berasaskan sumber ayam.

"Selain beli makanan kering dan basah, kami turut beri ayam segar direbus setiap minggu untuk bekalkan protein mencukupi. Selain itu kami turut mendapati kucing Parsi juga tidak boleh terima diet susu meskipun susu khas untuk kucing.

"Komplikasi pada haiwan itu adalah cirit-birit dan kucing menjadi lemah serta tidak bermaya. Kalau tengok kucing ini 'melepek' dan 'monyok' maknanya ada sesuatu yang tidak kena dan perlu dibawa segera ke klinik haiwan untuk dirawat," katanya.

RUTIN Ayu dan adiknya, Ani bersama kucing kesayangan menerusi kerja merapi bulu dan kuku.
RUTIN Ayu dan adiknya, Ani bersama kucing kesayangan menerusi kerja merapi bulu dan kuku.

Sisi menarik mengenai kucing baka itu juga ialah tabiatnya setanding dengan rupanya yang cantik dan menggebu sangat sensitif dengan keadaan kotor.

"Kalau rutin harian seperti membuang air kecil atau besar, kucing ini sudah kami biasakan dengan latihan ke tandas sejak usia kecil lagi. Tempat khas 'membuang' perlu dibersihkan selalu kerana jika tidak haiwan ini akan buat perangai seperti mencakar katil.

"Begitu juga rutin harian seperti bahagian mata kucing baka Parsi perlu dibersihkan setiap hari. Telinga dan pemeriksaan bulu bahagian tertentu juga penting bagi mengelakkan ia mengalami penyakit terutama kutu dan jangkitan kulat," katanya.

Selain LilliePut, pasangan adik-beradik itu memiliki lima kucing Parsi lain dengan dua daripadanya dibeli iaitu kucing betina berwarna putih dan seekor kucing jantan baka hidung tinggi. Sementara dua lagi adalah anak hasil daripada kucing peliharaan yang dikahwinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:30 AM