KELETAH si bulus peliharaannya bukan sekadar curi perhatian golongan pencinta haiwan, malah selebriti terkenal tanah air.
KELETAH si bulus peliharaannya bukan sekadar curi perhatian golongan pencinta haiwan, malah selebriti terkenal tanah air.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Bagi peminat kucing baka di negara ini, nama Johan Eskandar Mohamad Najib, 29, (Johan and His Cats) memang sudah tidak asing lagi terutama pengguna media sosial.

Johan dikenali ramai kerana sering berkongsikan panduan dan kesedaran bahawa kucing di negara ini walau apa baka sekalipun perlu dibela di dalam rumah (indoor).

Pemuda ini juga pernah membuka studio menempatkan 40 ekor kucing untuk orang ramai yang pertama di Malaysia dan turut diiktiraf di peringkat dunia pada 2016 di Shah Alam, Selangor.

Kucing yang dibela Johan bukan calang-calang kerana hanya baka terpilih seperti Scottish Fold, British Fold, Maine Coon, Selkirk Rex, Cornich Rex, Munchkin, American Bobtail, Sacred Birman dan Sphynx yang menjadi pilihan.

Namun disebabkan mendapat terlalu banyak sambutan hingga menjejaskan kesihatan kucing peliharaannya, dia terpaksa menutup studio itu dan kini memberi tumpuan kepada pembiakan baka kucing secara eksklusif.

Kecomelan kucing yang dibiak pemuda ini bukan sahaja diminati ramai pengguna media sosial malah turut dibeli beberapa selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hanis Zalikha dan Nelydia Senrose.

TIDAK sanggup berjauhan dengan kucing kesayangannya.
TIDAK sanggup berjauhan dengan kucing kesayangannya.

Nama yang diberi kepada kucing berkenaan juga unik iaitu Jellybean, Momofuku, Cupcake, Sugar, Pulut, Milkshake, Cheezels, Truffle, Waffle, Pudding, Pretzel, Bonbon, Chiffon, Popcorn, Biscoff serta Meatball yang semuanya diinspirasikan daripada makanan pencuci mulut.

Pemilik Furvit Pet Industries Sdn Bhd dan bakal membuka studio kucing baharu Cats Are Dessert dengan peraturan lebih ketat, tidak lama lagi itu berkata, kebanyakan kucing peliharaannya dibeli dari Poland dan Rusia sebelum dibiak serta dijual kepada peminat kucing import di negara ini.

Kata Johan, di Malaysia terdapat ramai pembiak bertauliah yang berdaftar di bawah naungan Kelab Kucing Malaysia (KKM).

Menurutnya, selaku pembiak kucing baka yang berdaftar dan bertauliah, dia tidak boleh membiak secara suka hati kerana ada peraturan yang perlu diikuti bagi menjaga kualiti baka haiwan berkenaan.

COMEL antara kucing yang dibela oleh Johan.
COMEL antara kucing yang dibela oleh Johan.

"Kucing itu kebanyakannya adalah genetik yang sudah mutasi tapi ia boleh dibiak dengan peraturan yang betul.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, minat rakyat Malaysia terhadap kucing baka semakin meningkat dan ketika ini baka yang paling mendapat sambutan adalah jenis Munchkin dan Golden British Shorthair.

"Ciri-ciri fizikal kucing berkenaan yang berkaki pendek dan bulat (Munchkin) selain warna bulu yang oren kekuningan (Golden British Shorthair) sememangnya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Johan lagi, cintanya terhadap haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu berputik pada 2011 ketika dia baharu sahaja tamat pengajian Diploma Bahasa Inggeris di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

KUCING baka Munchkin.
KUCING baka Munchkin.

Bermula dengan seekor kucing jalanan, Johan kemudian membeli seekor kucing betina baka jenis British Shorthair berharga RM10,000 dari Rusia selepas menyedari potensi pasarannya di negara ini.

"Sejak itu, saya membeli pelbagai jenis kucing baka dari luar negara untuk dibiakkan dan ramai yang mahu memilikinya termasuk dari Singapura dan Indonesia.

"Minat terhadap kucing comel itu menyebabkan ada pembeli sanggup menunggu lama (sampai setahun) untuk mendapatkan anak kucing yang dilahirkan," katanya yang bakal mengeluarkan produk makanan tambahan kucing yang berdaftar dengan Jabatan Veterinar, tidak lama lagi.

Dalam pada itu, kemesraan Johan dengan kucing-kucingnya memang dicemburui dan dia turut membahasakan dirinya sebagai 'papa' selain mengakui tidak boleh berenggang walau satu hari.

ANTARA baka yang diminati ramai penggemar kucing di negara ini.
ANTARA baka yang diminati ramai penggemar kucing di negara ini.

"Saya tidak boleh berjauhan dengan kucing-kucing ini, jika balik kampung untuk beraya pun hanya sehari dua kerana fikiran tidak tenang apabila meninggalkan mereka.

"Memelihara kucing juga insya-Allah akan membawa lebih banyak rezeki kepada kita dan melihat keletah serta muka mereka yang comel, hilang semua masalah yang ada," katanya.

Mengakhiri perbualan, Johan sempat berpesan supaya jangan sesekali membela kucing hanya disebabkan minat yang sementara.

Ini kerana kata Johan, memelihara kucing tidak kira baka tempatan mahupun import, memerlukan komitmen yang berpanjangan dan ia tidak ubah seperti menjaga bayi.

KUCING baka Sphynx yang turut dibela Johan.
KUCING baka Sphynx yang turut dibela Johan.

"Selain itu, seperti haiwan bernyawa lain, kucing juga perlukan penjagaan, perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya daripada pemiliknya.

"Kucing juga tidak boleh tertekan kerana keadaan itu boleh menjejaskan kesihatannya.

"Paling penting, kewangan perlu kukuh kerana kos menjaga kucing terutama baka import boleh memakan ribuan ringgit sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:20 AM