KUCING lebih selesa apabila bulu dirapikan.
KUCING lebih selesa apabila bulu dirapikan.
Nurul Husna Mahmud


AKSI viral kucing yang begitu tenang dan tidak meragam ketika menjalani proses 'trimming' atau pemotongan bulu, membuatkan penulis tertarik untuk melihat sendiri prosedur itu. Ia dijalankan di CatZonia, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Keletah seekor kucing parsi putih dipanggil 'Adik' tidak banyak ragam seawal proses ia dimandikan sehinggalah kepada kerja-kerja kemasan bulu dijalankan.

Menurut pengurus cawangan berkenaan, Nur Asyikin Abdullah, tidak semua kucing boleh bertenang melalui proses itu dan keadaan bergantung pada 'mood' kucing ketika itu.

"Lain kucing, lain ragamnya dan tidak semua kucing boleh bersikap seperti 'Adik' (kucing parsi putih) yang boleh duduk diam dan rela bulunya dipotong. Ada yang mendesir, tidak kurang juga akan lari daripada stesen 'trimming' dan paling kemuncak ialah mencakar.

"Penting bagi pengendali yang melakukan kerja merapi bulu kenal pasti keadaan kucing dan lakukan rutin pembersihan asas seperti cuci telinga serta pemotongan kuku dahulu.

"Ini akan membantu melancarkan kerja-kerja memotong bulu kucing terutama baka panjang seperti Maincoon dan kucing parsi. Selalunya baka kucing bulu panjang ini menghadapi masalah bulu bergumpal dan gugur.

BAHAGIAN bawah adalah tempat yang kerap bulu kucing bergumpal kerana susah dicapai ketika menjilat.
BAHAGIAN bawah adalah tempat yang kerap bulu kucing bergumpal kerana susah dicapai ketika menjilat.

"Bagi mengelak daripada prosedur ekstrem seperti gaya pemotongan 'lionhead', kita meminimumkan pembuangan bulu menerusi kerja merapi bulu seluruh badan," katanya.

Tambah Nur Asyikin lagi, punca masalah bulu kucing bergumpal kerana air liur kucing itu sendiri. Kucing terbabit tidak habis-habis menjilat bulu sendiri menyebab sesetengah bahagian badan bergumpal teruk.

"Bulu biasanya bergumpal apabila kucing itu tidak habis-habis menjilat. Mungkin sukar capai tempat atau sudut bulu itu berada seperti di belakang kaki atau punggung.

"Faktor lain juga ialah pemilik kurang lakukan atau hantar kucing mereka menjalani rawatan merias di pusat penjagaan haiwan. Ditambah pula pemilik tidak jalankan rutin seperti menyikat bulu haiwan kesayangan setiap hari atau dua hari sekali.

"Kucing ini ada had tertentu kemampuan mereka membersihkan diri dan bagi pemilik disarankan menjalankan rutin kemasan bulu ini sebaik usia kucing masing-masing mencecah enam bulan dan ke atas," katanya.

Kerja-kerja kemasan itu boleh juga dilakukan pada kucing bulu sederhana panjang seperti 'Scottish Short Hair' atau kucing siam membabitkan bahagian tertentu seperti bawah badan, belakang dan juga tapak kaki.

"Kucing bulu sederhana panjang biasanya tidak perlu lakukan kemasan bulu dan hanya cukup lakukan pemotongan di bahagian tapak kaki dan punggung.

CUCI telinga antara kerja awal sebelum merapi bulu.
CUCI telinga antara kerja awal sebelum merapi bulu.

URUTAN pada leher dan dagu menenangkan kucing sebelum kerja merapi.
URUTAN pada leher dan dagu menenangkan kucing sebelum kerja merapi.

POTONG kuku antara rutin awal bantu untuk memudahkan kerja merapi bulu.
POTONG kuku antara rutin awal bantu untuk memudahkan kerja merapi bulu.

"Tetapi bagi kucing berbulu panjang prosesnya lebih rumit iaitu keseluruhan badan. Diingatkan kalau lakukan kemasan pada pada tapak atau belakang kaki terutama bahagian kuku kena teliti. Saya perasan kucing sangat sensitif apabila kerja pemotongan dilakukan pada bahagian terbabit," katanya.

Kebaikan selepas kerja merapikan bulu kucing dilakukan ialah haiwan itu lebih aktif dan selesa selain menyelesaikan masalah bulu gumpal serta gugur.

"Saya selalu lihat selepas kerja merapi dilakukan membabitkan bulu panjang terutama tapak kaki, kucing ini lebih aktif dan ceria. Kucing lebih selesa untuk bermain dan bulu tampak kemas serta cantik.

"Kami sarankan apabila dibawa balik, tuannya boleh lakukan kerja menyikat untuk bantu kucing mereka memiliki bulu yang gebu dan kulit sihat," katanya.

Teknik memujuk dikongsikan Nur Asyikin dalam membantu kucing lebih relaks ialah pengendali kerja merapi itu sendiri kena bertenang dan lakukan kerja memujuk dengan cara mengusap kepala atau bawah dagu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:49 AM