MEMPUNYAI bilik yang menjadi rumah kepada semua kucingnya.
MEMPUNYAI bilik yang menjadi rumah kepada semua kucingnya.
Hafiz Ithnin


APABILA dimaklumkan berkenaanbaka-baka kucing dimilikinya, penulis mula mencongak harga yang sudah dilaburkan wanita pencinta kucing ini.

Kisahnya, pemilik nama Nadira Abd Samad, 34, bukan hanya memiliki seekor kucing baka import yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tetapi lebih daripada itu.

Antaranya British Short Hair, Munchkin, Bengal dan Maine Coon.Semua baka yang dimilikinya diimport terus dari luar negara dan mempunyai surat kelahiran bagi membuktikan keaslian baka.

Mula memiliki kucing pertamanya pada 2015, kata Nadira, dia menjadi 'ketagih' untuk memiliki pelbagai baka kucing dari luar negara.

Ketika ditanya harga paling mahal pernah dibeli katanya seekor kucing Bengal berharga hampir RM15,000 seekor.

Kebiasaannya dia membeli kucing import dari Ukraine dan Rusia kerana harga yang ditawarkan lebih berpatutan dari negara lain.

"Di kedua-dua negara itu sememangnya terkenal sebagai lokasi untuk mengimport kucing pelbagai baka dari luar negara.

BAKA bengal antara baka termahal dimilikinya .
BAKA bengal antara baka termahal dimilikinya .

"Malah, terdapat pelbagai pembiak yang boleh dipercayai dan kos penghantaran juga agak berpatutan dari negara lain," katanya.

Bermula dari minat mempunyai haiwan kesayangan peribadi, Nadira mula mendapat perhatian rakan-rakan untuk mendapatkan baka kucing peliharaan yang diimport tetapi hasil kelahiran kucing yang dimilikinya.

"Jadi, pernah suatu ketika saya tidak memandulkan kucing-kucing ini kerana mendapat permintaan sehingga pernah mencapai 50 ekor.

"Tetapi, lama kelamaan memandangkan kos untuk memelihara kucing import agak tinggi terutama dari segi kos makanan dan penjagaan kesihatan, saya berhenti melakukannya.

"Ketika ini, saya hanya mempunyai sembilan ekor kucing sahaja antaranya British Short Hair, Bengal dan Munchkin," katanya.

BRITISH Short Hair dimiliki Nadira yang aktif.
BRITISH Short Hair dimiliki Nadira yang aktif.

Bercerita mengenai penjagaan kucing kesayangannya, Nadira berkata, tahap kesihatan kucing menjadi perkara paling utama.

"Saya perlu memastikan kucing-kucing ini divaksin dan menghindarkannya daripada mendapat penyakit berjangkit yang boleh membawa maut.

"Jadi, apabila mendapati salah seekor kucing mengalami masalah kesihatan perlu segera mengasingkannya dan bawa ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Tambahnya, semua haiwan kesayangannya disimpan di dalam sangkar di rumah bagi mengelakkan ia berkeliaran sehingga ke luar rumah.

"Kucing import ini mempunyai harga yang tinggi dan risiko untuk hilang sama ada sesat atau dicuri itu tinggi kerana pada hari ini orang sudah dapat mengetahui harga seekor kucing import dan boleh menjualnya semula.

"Selain itu, saya juga ingin mengelakkan kucing-kucing ini mendapat penyakit berjangkit daripada kucing lain. Kadang-kala saya lepaskan di ruang tamu untuk bermain," katanya.

NADIRA bersama kucing Maine Coon dimilikinya.
NADIRA bersama kucing Maine Coon dimilikinya.

Jelasnya, kucing kesayangannya begitu jinak dan mendengar kata sehinggakan untuk tempoh melahirkan juga menunggunya sehingga dia bersedia untuk menjadi 'bidan.'

"Mungkin suatu kebetulan perkara itu tetapi sudah beberapa kali apabila kucing saya bunting saya akan bercakap dengannya 'tunggu waktu saya pulang dari kerja jika ingin beranak' dan betul perkara itu berlaku.

"Kucing yang baru kali pertama melahirkan anaknya, saya perlu lebih berwaspada kerana kadang-kala ibu tidak tahu menjaga anaknya dan saya perlu mengelap di bahagian hidung terutamanya supaya anak kucing itu mampu bernafas," katanya.

Katanya, menjadi suatu kepuasan mempunyai kucing baka import kerana memberi kelainan dalam kalangan peminat kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:20 AM