Hafiz Ithnin


Baru-baru ini seekor ular sawa batik bersaiz 220 kilogram (kg) dimiliki seorang lelaki dilaporkan mati selepas 20 tahun usianya.

Memiliki reptilia yang sinonim dengan sifat pemangsa itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi peminatnya. Malah, memberi kepuasan tersendiri!

Begitu juga dengan Safwan Azim Shukri, 30, yang mempunyai pelbagai jenis ular sawa sejak 2017 antaranya Ball python, Burmese python, Reticulated python dan Corn snake.

Ia sememangnya memberi kepuasan tersendiri kepada bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Malah, minatnya memiliki pelbagai jenis ular dikongsi bersama isteri, Noor Arifah Mohamad Yusop, 33, dan anak lelakinya, Faaeq Arian, 5, yang sedikit pun tidak gentar membela haiwan itu.

Bagi berkongsi pengalamannya kepada penulis, Safwan memilih Burmese python iaitu salah seekor ular kesayangannya.

Safwan berkata, Burmese python yang dibelinya daripada pembaka tempatan pada RM2,300 yang ketika itu haiwan berkenaan sudah berusia dua tahun dengan panjangnya mencecah 15 meter (48 inci).

"Kini selepas hampir tiga tahun memiliki Burmese python jantan, panjangnya sudah mencapai 29 meter (96 inci) dan ia adalah haiwan yang manja sebenarnya.

"Sebagai pemilik kita perlu memahami karakter haiwan eksotik yang ingin dijadikan haiwan kesayangan supaya mudah menjinak dan menjaganya," katanya.

Katanya, antara faktor dia memilih Burmese python sebagai haiwan kesayangan ialah haiwan itu mudah untuk dijaga terutama dari segi pemakanan.

BERSAMA rakan-rakan yang mempunyai minat sama menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan.
BERSAMA rakan-rakan yang mempunyai minat sama menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan.

"Burmese python ini tidak sukar untuk dijaga kerana saya hanya perlu diberi makan dua minggu sekali. Diet yang perlu disediakan adalah ayam dan arnab hidup.

"Memandangkan saya sentiasa bekerja di luar kawasan, jadi memilih haiwan yang tidak memerlukan penyelenggaraan masa makanan yang rumit amat penting," katanya.

Tambahnya, dia mempunyai sebuah bilik khas di dalam kediaman yang mempunyai sangkar ular ditempah khas mengikut keselesaan haiwan yang dimilikinya itu.

"Bilik khas ini penting supaya memberi keselesaan kepada tetamu. Pendekatan itu antara penyelesaian bagi mereka yang mempunyai rasa takut atau kurang selesa dengan reptilia berkenaan ketika bertandang ke rumah saya.

"Selain itu, dengan mempunyai bilik khas juga memudahkan saya sekeluarga menjaga semua ular itu terutama untuk membersihkannya," katanya yang aktif meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai reptilia.

Bagi ular seperi Burmese python katanya, selepas diberi makan, ia mengambil masa dua minggu untuk makan semula.

"Haiwan ini mengambil masa yang lama untuk menghadamkan makanannya. Jadi selepas makanan itu sudah dihadam, baru ia akan membuang air besar dan berlaku proses bersalin kulit. Kemudian baru ia diberi makanan semula," katanya.

Katanya, ketika proses bersalin kulit, haiwan berkenaan tidak boleh diganggu kerana ia akan bersifat agresif untuk melindungi diri.

"Selepas proses bersalin kulit itu selesai dan kita sudah pun memberi makanan, ular itu boleh dibelai seperti haiwan kesayangan yang lain.

"Ketika itu, Burmese python akan bersikap manja dengan pemilik. Selain itu, untuk mengetahui sama ada ia berada dalam keadaan selesa ataupun tidak kita perlu perhatikan pada setiap pergerakan haiwan berkenaan terutama sekali bahagian kepala," katanya.

FAAEQ masih kecil tetapi berani untuk mengendalikan burmese python.
FAAEQ masih kecil tetapi berani untuk mengendalikan burmese python.

Katanya lagi, memegang Burmese python juga perlu dengan cara yang betul dan tidak boleh diangkat dengan cara yang kasar.

"Seperti haiwan lain juga, ular seperti Burmese python perlu diangkat dengan cara yang lembut untuk kita bermain dengannya.

"Jika kita angkat dengan cara yang kasar dan seperti ingin mencederakannya, pasti mana-mana haiwan pun akan menganggap kita seperti musuh dan haiwan berkenaan akan melindungi diri daripada dicederakan," katanya yang tidak pernah dicederakan ular miliknya.

Safwan berkata, bagi memastikan Burmese phyton dan ular yang dimilikinya terhindar daripada penyakit, kebersihan tempat tinggal haiwan itu amat penting.

"Saya sekeluarga sentiasa membersihkan tempat tinggal ular terutamanya tidak membiarkan najis lama di dalam bekas dan juga memastikan tempat tinggal ular tidak terlalu lembap.

"Keadaan ini boleh menyebabkan ular seperti Burmese phyton mudah mendapat penyakit seperti jangkitan pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan kematian kepada ular," katanya.

Menerusi pembacaan penulis di exoticpetvet.com mendedahkan, Burmese phyton atau nama saintifiknya Python bivittatus berasal dari Asia Tenggara terutama di India ke selatan China termasuk Burma, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Secara amnya, Burmese phyton mampu membesar sehingga 66 meter (216 inci) panjang dan 90 kilogram atau lebih.

Sementara itu, Burmese phyton biasa mempunyai warna coklat atau coklat gelap yang digariskan dengan tanda kuning dan hitam dengan bahagian bawah berwarna putih atau krim.

Sama seperti jenis Pyton, Burmese phyton mempunyai lubang pengesan haba di bibir atas untuk mengesan dan mengenal pasti mangsa.

Dari segi saiz biasanya, betina lebih besar daripada jantan. Betina mampu mencapai panjang 73 meter (240 inci). Manakala jantan mempunyai saiz panjang 180 inci . Bagaimanapun, jantan mempunyai tunas yang lebih panjang (sisa vestigial anggota belakang di kedua-dua belah cloaca atau ventilasi) daripada betina.

Ventilasi kecil boleh diletakkan di sisi kandang atau sebahagian daripada bahagian atas yang disaring boleh ditutup untuk membolehkan kelembapan kekal sekitar 50 hingga 60 peratus.

Kelembapan adalah penting untuk tahap penghidratan ular.

Fotoperiod (kitaran cahaya) 10 hingga 12 jam kegelapan adalah penting untuk tingkah laku normal dan kesihatan keseluruhan haiwan.

Suhu sebelah siang (suhu udara) hendaklah sekitar 31 darjah Celcius. Kawasan berjemur harus disediakan dan mestilah sekitar 33 darjah Celsius.

Sekurang-kurangnya dua termometer harus dipasang di kandang 0.3 meter (satu inci) di atas lantai di hujung sejuk dan hujung sangkar yang hangat. Disyorkan juga untuk mempunyai termometer ketiga di atas

kawasan berjemur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 7:00 AM