ULAR peliharaan perlu diberi perhatian dari segi kesihatannya.
ULAR peliharaan perlu diberi perhatian dari segi kesihatannya.
Hafiz Ithnin

ULAR antara haiwan eksotik yang mendapat perhatian peminatnya untuk dijadikan peliharaan kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

Malah, terdapat pemilik ular peliharaan yang berlesen mempunyai ilmu pengetahuan begitu baik dari segi diet dan penjagaan supaya haiwan kesayangan mereka itu kekal sihat.

Pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, terdapat kira-kira 3,000 spesies ular berbeza di serata dunia kecuali di Antartika, Iceland, Ireland, Jerman dan New Zealand.

Jelasnya, ada beberapa spesies yang biasa dijadikan sebagai peliharaan seperti 'ball phyton', 'corn snake', 'king snake' dan 'rat snake'.

"Ular peliharaan biasanya tidak agresif dan mudah dipelihara. Contohnya, 'ball phyton' menetas dengan saiz kira-kira 0.3 meter (satu kaki) dan akan membesar sehingga saiz 0.9 meter (tiga kaki) pada usia tiga tahun.

"Seterusnya, boleh membesar antara 1.5 meter (lima kaki) hingga 1.8 meter (enam kaki). Bergantung pada cara penjagaan mereka, ular ini boleh hidup 10 hingga 20 tahun," katanya.

Akuinya, sejak kebelakangan ini minat golongan muda terhadap haiwan eksotik semakin meningkat.

ULAR yang aktif menandakan kesihatan yang baik.
ULAR yang aktif menandakan kesihatan yang baik.

"Sepanjang bekerja sebagai doktor veterinar, saya dapat lihat peningkatan permintaan untuk pemeriksaan terhadap haiwan eksotik antaranya ular.

"Kebanyakan klinik haiwan di Malaysia juga kini mula menyediakan kemudahan untuk merawat haiwan eksotik," katanya.

Tambahnya, kebiasaannya ular yang dibawa oleh pelanggan adalah ular yang tidak berbisa. Maka isu berkenaan amat jarang berlaku.

"Cuma, seperti juga haiwan lain cara untuk menguruskan dan kelengkapan ular berkenaan dengan betul amat penting bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Jelasnya, antara aduan utama apabila membawa ular ke klinik adalah ular tidak mahu makan seperti biasa, terdapat luka di bahagian badan ular, kelihatan seperti ular susah untuk bernafas (open mouth breathing), penurunan berat badan yang ketara dan tidak aktif seperti biasa.

"Antara penyakit yang biasa dilihat pada ular adalah masalah penyalinan kulit secara sempurna. Pada asasnya kulit ular bertukar sepenuhnya sekali gus.

"Malangnya terdapat sesetengah ular yang mengalami masalah ketika bersalin kulit dan menyebabkan haiwan itu sangat tidak selesa dan sakit," katanya.

Tambahnya, antara faktor yang boleh mengundang masalah itu ialah persekitaran yang terlalu kering dan jangkitan pada kulit.

MASALAH tidak mahu makan antara masalah kesihatan ular yang perlu dirujuk kepada doktor.
MASALAH tidak mahu makan antara masalah kesihatan ular yang perlu dirujuk kepada doktor.

"Antara langkah untuk kenal pasti ular mempunyai masalah ini, kita boleh lihat kawasan bertompok-tompok atas badannya.

"Selain itu, masalah lain pada ular yang sering dirujuk ialah luka pada badannya. Hal ini kadangkala boleh berlaku kerana persekitaran yang disediakan tidak berapa sesuai dan terdapat serpihan objek tajam dalam sangkar.

"Jadi, bagi mengelakkan masalah ini dari berlaku saya cadangkan anda menyediakan kawasan kurungan yang sesuai dan pastikan tiada objek tajam di dalamnya," katanya.

Dr Muhammad Naim menambah, jangkitan pada mulut (infectious stomatitis) juga berlaku hingga menyebabkan ular tidak mahu makan dan berat badan semakin merosot.

"Antara tanda-tanda klinikal yang sering dilihat ialah bintik-bintik kemerahan di bahagian mulut ular, kelihatan lendiran yang pekat pada gusi dan sering juga terdapat nanah yang keras di bahagian mulut.

"Bagi keadaan yang lebih serius mulut ular kelihatan bengkak dan kelihatan susah untuk bernafas iaitu mulutnya terbuka setiap kali bernafas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:20 AM