IKAN Kelisa Super Red milik Hafiz.
IKAN Kelisa Super Red milik Hafiz.
Hafiz Ithnin


"KALAU tengok sisik atau badan tercalar, hati kita sebagai pemilik rasa sama tercalarnya!," kata pemilik ikan kelisa jenis Super Red ini.

Mula memiliki ikan kelisa sejak 2017, Mohd Hafiz Mohd Puazi mengakui ia satu kepuasan kerana ikan 'mahal' itu mampu memberikan ketenangan yang tersendiri kepadanya.

"Apabila kita penat balik dari kerja, tengok ikan kelisa yang berenang dengan lenggok tersendiri membuatkan perasaan begitu tenang.

"Apatah lagi, warna merah berkilauan dimiliki ikan saya ini seakan mempunyai aura positif yang begitu baik," katanya.

Sejak 2017 dia sudah membela lapan ekor ikan kelisa dari jenis Malaysian Golden dan paling disayangi sudah pasti jenis Super Red yang dimilikinya sejak empat tahun lalu.

Ketika itu, Hafiz membeli ikan kelisa kesayangannya dengan harga RM2,200 bersaiz sekitar sembilan inci dan kini membesar sehingga 20 inci.

Bagi Hafiz, menariknya di dalam urusan jual beli ikan itu ialah harga yang ditawarkan bukan di tangan penjual tetapi bakal pemiliknya.

"Bagi yang tahu menilai ikan kelisa ini mereka akan meletakkan harga yang dirasakan patut kepada pemiliknya.

HAFIZ membeli ikan kelisa super red empat tahun lalu pada harga RM2,200.
HAFIZ membeli ikan kelisa super red empat tahun lalu pada harga RM2,200.

"Disebabkan itu, ikan ini mampu dijual pada harga yang begitu tinggi kerana bakal pemilik sendiri yang meletakkan nilai pembelian untuk menghargai ikan kelisa milik mereka," katanya.

Hafiz berkata, ikan kelisa jenis Super Red yang dimilikinya sejak empat tahun lalu itu ketika ini sudah pun mempunyai bakal pembeli dan dia berhasrat untuk memiliki ikan kelisa baharu.

SISTEM saliran air ke akuarium.
SISTEM saliran air ke akuarium.

"Ikan kelisa ini ketika berada di dalam akuarium, kita tidak memerlukan aksesori lain untuk mencantikkan persekitarannya kerana ikan itu sendiri sudah mempunyai aura yang begitu menarik.

"Selain itu, kita juga tidak mahu sisiknya rosak akibat terkena aksesori di dalam akuarium seperti batu atau kayu. Apatah lagi untuk mendapatkan sisik yang sekata semula mengambil masa lama. Disebabkan itu, jika sisiknya rosak, sebagai pemilik kita sendiri akan rasa kecewa," katanya.

Hafiz berkata, perkara paling penting untuk membela ikan kelisa ialah perlu memastikan air di dalam akuarium sentiasa ditukar antara 10 hingga 20 peratus seminggu.

"Menukar air ini penting bagi memastikan keadaan di dalam akuarium bersih dan tidak dicemari kotoran yang boleh menyebabkan kematian ikan.

KATAK antara yang dijadikan makanan kepada ikan kelisa.
KATAK antara yang dijadikan makanan kepada ikan kelisa.

"Selain itu, dalam menukar air juga perlu tahu caranya bagi memastikan kualiti air bersesuaian dengan keadaan ikan, terutama jika baharu membelinya," katanya.

Jelasnya, ikan kelisa perlu 'dipuasakan' dalam beberapa hari sekiranya pemilik hendak menukar air di dalam akuarium sepenuhnya.

Bercerita mengenai pemakanan ikan kelisa miliknya, Hafiz berkata, dia memberikan cengkerik, anak katak atau anak ikan sehari sekali.

"Ikan ini tidak memerlukan kuantiti yang banyak setiap hari, cukup sehari sekali dengan memberikan makanan jenis anak katak atau cengkerik.

"Selain itu, saya juga memberi vitamin kepada ikan kelisa dengan menyuntik vitamin ke dalam anak katak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:00 AM