Muhamaad Razis Ismail


Tenang. Demikian perasaan yang boleh digambarkan melihat kelibat sekumpulan ikan 'glofish' milik Tajul Fikran Tajudin berenang di dalam akuarium.

Sesuai dengan namanya, tarikan ikan hiasan ini pasti pada warna yang mampu mencuri perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

Bersaiz duit syiling 20 sen, ikan ini dilihat sangat menarik apatah lagi aktif berenang secara berkumpulan.

Penggunaan lampu putih dan biru dalam akuarium, dapat menyerlahkan warna ikan yang terdiri daripada pelbagai warna termasuk merah, kuning, hijau dan sebagainya.

Lebih menarik, sentuhan seni landskap akuarium atau lebih dikenali sebagai akuaskap menggunakan tumbuhan akuatik, tunggul kayu dan batu oleh pemiliknya menjadikan seolah-olah ikan ini sedang berenang di sebuah taman air.

Melihat ikan ini berenang memberi terapi dan ketenangan yang cukup berkesan sehingga tidak menyedari masa berlalu dengan pantas.

Jadi tidak hairanlah, kini glofish menjadi pilihan dalam kalangan peminat ikan sebagai terapi dan sebahagian pelengkap dekorasi rumah.

PENJAGAAN air perlu dititikberatkan.
PENJAGAAN air perlu dititikberatkan.

Tajul berkata, pembabitan awal dengan ikan glofish ini bermula dengan minatnya terhadap akuaskap sebagai hobi mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Daripada situ, saya melihat ikan glofish adalah yang paling sesuai untuk mencantikkan akuaskap kerana saiz yang kecil dan memiliki warna menyerlah.

"Bermula daripada situ, saya mula berjinak-jinak dengan ikan ini dan sehingga kini sedang memelihara lebih 200 glofish," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

LAMPU biru menyerlahkan warna 'glofish'.
LAMPU biru menyerlahkan warna 'glofish'.

Menurutnya, dia tertarik dengan ikan ini kerana warnanya yang sangat menyerlah berbanding ikan lain.

"Apabila menggunakan lampu berwarna biru, kecerahan warna ikan ini seolah-olah dapat 'dinaikkan' lagi. Sementara lampu putih pula membantu ikan ini dapat memantulkan kembali cahaya itu.

"Ikan ini mempunyai lapan warna iaitu hitam, putih, hijau, kuning, ungu, merah jambu, biru dan merah. Paling sukar ditemui adalah merah, merah jambu dan ungu," katanya.

TAJUL sentiasa memastikan ikan dalam keadaan sihat.
TAJUL sentiasa memastikan ikan dalam keadaan sihat.

Selain itu, ikan ini mempunyai karakter yang 'suka berkawan' dan sering bergerak aktif secara berkumpulan.

Jelasnya, penjagaan ikan ini juga sangat mudah namun kebersihan air perlu dititikberatkan supaya ikan aktif dan sihat.

"Air perlu bebas daripada klorin dan kawalan amonia dan nitrat perlu dilakukan dengan menggunakan bakteria baik yang diletakkan di dalam penapis.

"Selain itu, akuaskap yang menggunakan tumbuhan akuatik sebagai hiasan seperti anubias, java fern dan cabomba dapat membantu menyerap amonia ini dan mengurangkan kekerapan menukar air," katanya.

Mengulas lanjut, untuk makanan, dia menggunakan palet yang diberikan dua kali sehari bergantung kepada jumlah ikan.

"Dengan saiz ikan yang kecil, ia tidak makan banyak. Oleh itu, kekerapan memberi makanan perlu dikawal untuk mengelakkan lebihan (makanan) membentuk amonia sekali gus memberi kesan kepada air dan kesihatan ikan," katanya.

'GLOFISH' mampu menjadi terapi kepada pemiliknya.
'GLOFISH' mampu menjadi terapi kepada pemiliknya.

Pada masa sama, saiz akuarium yang digunakan juga perlu diambil kira bergantung kepada jumlah ikan yang dipelihara.

"Saiz akuarium dan jumlah ikan yang tidak sesuai boleh menyebabkan peningkatan amonia. Saya nasihatkan akuarium bersaiz 0.6 meter sesuai dengan maksimum 20 ikan 'glofish," katanya.

Jelasnya, ikan ini juga tidak terlepas daripada serangan penyakit seperti 'white spot' dan 'drop eye.'

"Antara puncanya adalah suhu air terlalu sejuk sehingga mengakibatkan pertumbuhan alga yang boleh beri kesan kepada ikan.

"Apabila melihat ikan tidak aktif, saya akan asingkan sebelum diberikan ubat dan dikuarantinkan sehingga ia pulih sepenuhnya," katanya.

Kini selain memelihara, dia turut menjual ikan berkenaan ke seluruh negara berikutan mendapat permintaan menggalakkan sebagai pendapatan sampingan.

"Pada masa sama, saya sedang dalam proses membiakkan ikan ini untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 7:00 AM