AYAM Onagadori dikatakan baka ayam eksotik paling mahal ketika ini.
AYAM Onagadori dikatakan baka ayam eksotik paling mahal ketika ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Berapa yang anda sanggup bayar bagi membeli seekor ayam untuk dipelihara atau dibuat baka?

Sanggupkah anda membayar sehingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki seekor unggas berkenaan?

Harganya kedengaran tidak masuk akal, namun bagi peminat tegar, memiliki ayam baka eksotik menjanjikan kepuasan tersendiri.

Antara spesies ayam eksotik bernilai tinggi yang boleh didapati di negara ini ialah Avaucana, Black Rosecomb, Brahma, Blue Laced, Silver Sebright, Pekin, Onagadori, Ratu, Pama dan Wyandotte yang pada asalnya diimport dari pelbagai negara.

Dari segi harga, harga ayam jantan baka Onagadori dikatakan boleh mencecah RM20,000 seekor.

Presiden Persatuan Unggas Hiasan Malaysia (MOPA), Ahmad Nizam Yaacob berkata, Onagadori antara baka ayam eksotik yang termahal di Malaysia.

AHMAD Nizam
AHMAD Nizam

Kata beliau, terdapat baka lain juga yang mahal, tetapi harganya subjektif mengikut jenis baka, kualiti dan umur.

"Keistimewaan ayam Onagadori adalah ekornya yang boleh mencecah 13.5 meter.

"Seperti baka eksotik lain, harganya ditentukan oleh kualiti ketika ia dijual. Aspek kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam penentuan harga," katanya.

Menurut Ahmad Nizam lagi, ada ramai penternak baka ayam eksotik bernilai tinggi di Malaysia dan berdasarkan sambutan keahlian Mopa di laman Facebook, ia kini sudah mencecah 7,000 orang.

"Selain ayam Onagadori yang berasal dari Jepun, baka ayam eksotik lain yang bernilai tinggi adalah Parrot Beak Long Tailed Aseel, Cemani, O Shamo, Malay Game dan Indio Gigante," katanya.

Selain itu, harga ayam baka Pama dari Thailand juga boleh mencecah belasan ribu ringgit seekor.

Ayam yang sesuai untuk bertarung itu turut mendapat jolokan 'Sut Dragon' dan mempunyai ramai peminat di negara ini.

Dalam pada itu, harga pasaran semasa ayam eksotik baka Wyandotte juga bukan biasa-biasa, boleh mencecah sehingga ribuan ringgit seekor.

Unggas yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu dikagumi kerana warna dan corak bulunya yang cantik seperti lukisan.

BAKA Brahma yang bernilai tinggi di pasaran.
BAKA Brahma yang bernilai tinggi di pasaran.

Satu lagi baka dari AS yang bernilai tinggi di pasaran adalah ayam Brahma.

Ia sentiasa mendapat permintaan ramai kerana ia bertubuh besar dan memiliki bulu yang lebat dari kepala hingga hujung kaki.

Selain itu, ayam Ratu baka Leung Hang Khao (LHK) juga antara baka yang bernilai tinggi dan diminati ramai.

Berbeza dengan baka lain, ayam Ratu dikatakan memiliki bentuk badan lebih sempurna dan menjadikan nilainya boleh mencecah ribuan ringgit seekor.

Bentuk ayam Ratu sama seperti ayam laga, bagaimanapun unggas itu mendapat perhatian ramai kerana kecantikannya yang dianggap unik.

Ia memiliki ekor panjang, warna menarik selain bulu berkilat dan mempunyai kesihatan yang baik.

Sementara itu, biarpun berwarna keseluruhan hitam legam, namun ayam selasih (Cemani) juga antara unggas yang bernilai tinggi di pasaran ketika ini.

Ayam yang sukar didapati itu dikatakan berasal dari Pulau Jawa, Indonesia dan dikaitkan sebagai haiwan peliharaan golongan bangsawan suatu ketika dahulu.

AYAM Ratu baka LHK juga antara baka yang bernilai tinggi dan diminati ramai.
AYAM Ratu baka LHK juga antara baka yang bernilai tinggi dan diminati ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 6:14 AM