CAGE pernah berhabis untuk memiliki haiwan eksotik yang unik.
CAGE pernah berhabis untuk memiliki haiwan eksotik yang unik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Selain pembelian aset seperti hartanah dan barangan perhiasan mewah, ramai selebriti barat juga 'gilakan' haiwan peliharaan.

Penyanyi terkemuka, Taylor Swift umpamanya, sanggup berhabis duit bagi memastikan tiga kucing miliknya menjalani kehidupan mewah dan selesa.

Tiga kucing berkenaan masing-masing dua daripada baka Scottish Folds dinamakan Olivia Benson dan Meredith Grey manakala seekor lagi daripada baka Ragdoll dinamakan Benjamin Button.

Olivia, Meredith dan Benjamin juga sering menghiasi laman sosial selebriti popular itu yang mempunyai ratusan juta pengikut selain menjadi teman setianya di karpet merah.

Pelakon terkenal, Nicolas Cage pula sanggup membayar USD80,000 (kira-kira RM356,040) untuk seekor ular unik berkepala dua.

Bagaimanapun, tidak lama selepas membelinya, Cage mendapati haiwan eksotik itu akan saling berlawan untuk berebut makanan dan sukar untuk dipelihara.

Ia kemudian diberikan kepada New Orleans Audubon Zoo dan ular itu mati di usia 14 tahun pada tahun lalu.

Selain itu, Cage juga memiliki beberapa kucing, kura-kura dan burung gagak dalam koleksi haiwan peliharaannya.

Bintang Filem Mamma Mia dan Mean Girls, Amanda Seyfried juga tidak boleh berenggang dengan dengan anjing kesayangan yang diberi nama Finn.

AMANDA miliki banyak haiwan peliharaan dan satu daripadanya adalah kambing.
AMANDA miliki banyak haiwan peliharaan dan satu daripadanya adalah kambing.

Namun, selain Finn, Amanda juga memiliki banyak haiwan peliharaan lain seperti kambing, kuda, kuda belang, rusa, keldai dan ayam yang dibela di rumah ladangnya di Catskill.

Menurut Amanda, Finn dan semua haiwan peliharaan di rumah ladang itu adalah 'teman setianya' dan sebagai terapi melepaskan tekanan selepas menghabiskan sesuatu penggambaran filem yang panjang.

"Haiwan dan rumah ladang yang jauh dari kesibukan kota adalah tempat di mana saya dapat mendekatkan diri kepada alam semula jadi dan kembali segar apabila tidak bekerja.

"Semua orang memerlukan sesuatu untuk berasa selamat dan bagi saya, itu tempatnya," katanya yang sering memuat naik hantaran mengenai haiwan peliharaannya di media sosial.

Aktres Salma Hayek pula mengambil seekor burung hantu dari sebuah pusat perlindungan haiwan untuk dihadiahkan kepada suaminya sempena Hari Valentine.

Namun, suaminya memulangkan burung hantu yang diberi nama Kering kepada Salma kerana tahu isterinya sangat menyukai haiwan yang berjaga malam itu.

"Kami memiliki rutin tertentu sebelum tidur. Selain itu, jika saya menonton televisyen dengan iPad, Kering biasanya akan berdiri atas iPad itu," katanya yang sering merakam momen lucu bersama haiwan peliharaannya itu.

Sementara itu, seperti individu biasa, selebriti popular juga obses dengan haiwan kesayangan hingga ada yang sanggup membuat akaun media sosial khas untuk haiwan itu.

SALMA memilih burung hantu sebagai haiwan peliharaannya.
SALMA memilih burung hantu sebagai haiwan peliharaannya.

Paris Hilton antaranya yang sanggup membuka akaun Instagram khas dengan nama Hilton Pets untuk berkongsi video dan gambar pelbagai jenis haiwan peliharaannya.

Lebih menarik, beliau juga membina rumah agam khas dua tingkat yang dilengkapi dengan pendingin hawa, pemanas udara, perabot berjenama dan lampu chandelier mewah untuk anjing kesayangannya.

Paris juga membuat akaun Tik Tok untuk haiwan peliharaannya sejak Julai 2020 dan kini, akaun media sosial haiwan itu turut mendapat pengikut yang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:23 AM