PONTIAC anjing kesayangan yang menemani Betty sepanjang hayatnya. - FOTO Google
PONTIAC anjing kesayangan yang menemani Betty sepanjang hayatnya. - FOTO Google
Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus


TAHUKAN anda, selain ahli keluarga atau yayasan kebajikan, ada golongan bangsawan dan jutawan yang meninggalkan harta serta wang ringgit mereka kepada haiwan peliharaan?

Bunyinya memang tidak masuk akal namun dek kerana sayang dan ingin membalas kesetiaan haiwan itu, semuanya tidak mustahil.

Mendiang Betty White misalnya, turut meninggalkan USD5 juta (kira-kira RM20.95 juta) kepada anjing kesayangannya, Pontiac.

Wang dalam bentuk yayasan amanah itu diwasiatkan pelakon siri Hot In Cleveland berkenaan bagi memastikan kebajikan anjing baka Golden Retriever terbabit, terjaga.

Anjing putih baka Maltese Terrier, Trouble pula menjadi sebutan apabila pemiliknya, Leona Helmsley mewasiatkan USD12 juta (kira-kira RM50.27 juta) kepada haiwan itu.

Leona yang juga pemilik rangkaian hotel di Amerika Syarikat (AS) meninggal pada tahun 2007 namun ahli keluarganya tidak dinamakan dalam wasiatnya.

Selepas kematian Leona, Trouble terus menikmati kehidupan mewah, dipelihara di rumah agam mewah, ke sana-sini dengan menaiki limosin.

Namun selepas ahli keluarga Leona membuat tuntutan undang-undang, harta warisan Trouble dikurangkan kepada USD2 juta (RM8.38 juta) atas alasan pemiliknya itu tidak waras ketika menulis wasiat terbabit.

Selain kucing dan anjing, ayam juga turut bertuah mendapat warisan harta daripada pemiliknya.

TROUBLE terus menikmati kehidupan mewah, dipelihara di rumah agam mewah, ke sana-sini dengan menaiki limosin. - FOTO Google
TROUBLE terus menikmati kehidupan mewah, dipelihara di rumah agam mewah, ke sana-sini dengan menaiki limosin. - FOTO Google

Gigoo adalah ayam betina milik penerbit terkenal British, Miles Blackwell yang mewarisi harta pemiliknya.

Selepas Blackwell dan isteri meninggal dunia pada tahun 2001, kebanyakan harta diwasiatkan kepada pihak kebajikan selain RM62.84 juta kepada

ayam betina kesayangan mereka, Gigoo.

Dalam pada itu, nasib seekor kucing jalanan, Tomasso, berubah sekelip mata apabila ia bertemu dengan balu warga Itali, Maria Assunta.

Sebelum kematiannya, Maria membuat wasiat meninggalkan harta kekayaan bernilai USD13 juta (RM54.46 juta) kepada Tomasso dan pihak kebajikan haiwan yang menjaganya.

Maria yang tidak memiliki anak adalah balu kepada usahawan pembinaan berjaya di Itali, beliau meninggal pada tahun 2011.

Dalam pada itu, siapa kata kucing hitam membawa malang?

Blackie, kucing hitam antara haiwan terkaya dunia selepas mewarisi harta bernilai USD12.5 juta (RM52.37 juta) daripada pemiliknya, Ben Rea yang meninggal dunia pada 1988.

Berdasarkan buku rekod dunia Guinness, peniaga barangan antik itu membuat wasiat berkenaan kepada Blackie, satu-satunya daripada 15 kucingnya yang masih hidup.

CHOUPETTE turut mewarisi harta peninggalan Lagerfeld. - FOTO Google
CHOUPETTE turut mewarisi harta peninggalan Lagerfeld. - FOTO Google

Anjing baka Chihuahua, Conchita, sebelum ini digelar anjing paling dimanjakan di dunia meskipun sebelum kematian pemiliknya, Gail Posner.

Selepas Gail meninggal dunia pada tahun 2010, Conchita mewarisi USD3 juta (RM12.57 juta) dana amanah dan sebuah rumah agam bernilai USD8.3 juta (RM34.77 juta) di Pantai Miami.

Conchita, yang turut digelar sebagai 'The Boss' sering dipakaikan dengan koleksi pakaian mewah, rantai leher Cartier dan bergaya dengan beg Louis Vuitton.

Choupette, kucing kesayangan ikon fesyen terkenal Karl Lagerfeld juga dikatakan mewarisi harta pemiliknya yang bernilai jutaan ringgit.

Selepas kematian Lagerfeld, Choupette dijaga dua orang gaji.

Sementara itu, haiwan paling kaya ketika ini adalah anjing baka German Shepherd, Gunther IV yang mewarisi kekayaan keseluruhan bernilai USD375 juta pada bapanya, Gunther III.

Gunther III sebelum itu mewarisi harta USD106 juta (RM444 juta) daripada pemiliknya, Karlotta Lieberstein dan ia meningkat hasil pelaburan oleh barisan pemegang amanahnya.

Dikhabarkan, Gunther IV memiliki vila di Bahamas, sebuah rumah agam di Miami, AS selain menikmati makan malam dengan hidangan mewah seperti kaviar, truffles putih dan daging stik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 6:43 AM