PASTIKAN kucing dalam keadaan bertenang ketika kuku dipotong.
PASTIKAN kucing dalam keadaan bertenang ketika kuku dipotong.
Hafiz Ithnin


APABILA mempunyai kucing kesayangan, pastinya si pemilik yang peka akan membawa anak 'bulus' mereka ke salun untuk sesi mendandan diri.

Tidak kurang juga, terdapat pemilik yang menguruskan kecantikan kucing mereka kerana mungkin merasa lebih puas.

Dalam aktiviti mendandan si bulus itu, antara bahagian yang sering diberi perhatian pastinya kuku kerana jika terlalu panjang akan memberi masalah kepada si pemilik dan orang terdekat. Antaranya merosakkan perabot.

Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, lebih membimbangkan dan merbahaya apabila kuku kucing boleh mencederakan pemilik atau anak-anak kecil.

Jelasnya, kecederaan disebabkan kuku kucing bukan sahaja menyebabkan luka, malah boleh juga mengakibatkan transmisi penyakit yang dipanggil 'cat scratch disease'.

"Penyakit ini boleh menyebabkan demam yang berpanjangan dan kelenjar lympha bengkak. Pasti sekali anda tidak mahu wujudnya masalah ini apabila membela kucing.

"Langkah pencegahan yang paling digalakkan adalah untuk memotong kuku kucing sehingga tumpul," katanya.

Dr Muhammad Naim berkata, pemotongan kuku kucing perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Hal ini kerana, pemotongan kuku terlalu pendek atau dengan cara yang salah boleh menyebabkan kecederaan kepada kuku dan jari kucing.

DR Muhammad Naim
DR Muhammad Naim

"Kucing mempunyai empat jari yang jelas kelihatan dan jari yang ke lima tersorok sedikit ke dalam. Jari ini dipanggil dewclaw.

"Kuku kucing sering tidak kelihatan kerana terdapat ligament (elastic ligament) yang sentiasa menarik kuku ke dalam," katanya.

Jelasnya, dalam keadaan yang memerlukan penggunaan kuku tindak balas pantas akan berlaku dan kuku akan dikeluarkan untuk mencengkam atau menyerang musuh.

"Kuku kucing bersambung dengan tulang jari terakhir dan diperbuat daripada lapisan-lapisan keratin yang sangat kukuh dan tajam.

"Bentuk kuku kucing adalah seperti bentuk sabit dan mempunyai hujung yang sangat tirus serta tajam. Bentuk sabit ini membenarkan kucing mempunyai cengkaman yang lebih kukuh dan berkesan.

"Antara fungsi kuku kucing adalah untuk memanjat, menggali lubang, memberi daya tarikan yang lebih stabil Ketika berlari, mempertahankan diri ketika berhadapan dengan musuh dan menangkap mangsa," katanya.

Katanya, anatomi penting yang perlu di teliti ketika memotong kuku kucing adalah bahagian 'quick' di mana terdapat banyak salur darah kecil yang boleh menyebabkan pendarahan semasa memotong kuku.

"Pemotongan kuku kucing sering jadi cabaran yang besar buat pemilik kucing, ada yang mungkin tercedera ketika cuba untuk memotong kuku kucing mereka.

KUKU kucing sering menyebabkan kerosakkan perabot si pemilik kerana dicakar.
KUKU kucing sering menyebabkan kerosakkan perabot si pemilik kerana dicakar.

"Memang tidak dinafikan ada kucing yang agak rimas atau takut ketika kuku di potong. Pertama sekali, pastikan kucing ada berada dalam keadaan yang tenang, bukan dalam mood sedang bermain-main atau ketika haiwan itu sedang tidur.

"Kedua, tekan pawpad kucing anda untuk mengeluarkan kuku mereka tekan perlahan-lahan bagi mengelakkan rasa kurang selesa pada kucing. Apabila kuku sudah terkeluar, potong menggunakan alatan yang betul seperti pemotong kuku kucing," katanya.

Tambahnya, elakkan menggunakan pemotong kuku manusia kerana pemotong kuku kucing mempunyai lekuk khas bagi memastikan potongan dilakukan lebih kemas.

"Lakukan pemotongan kuku untuk semua kuku kucing dan pastikan tiada pendarahan yang berlaku. Paling utama, cara memegang kucing yang betul dan selasa perlu dilakukan supaya memudahkan proses pemotongan kuku dan memastikan keselamatan kita lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata, ramai yang bertanya mengenai pemotongan kuku kucing adakah ia salah? Pertama sekali kita perlu faham kehidupan kucing di rumah dan kucing di luar sangat berbeza.

"Kucing rumah dilindungi dengan baik di dalam rumah, tidak perlu memburu untuk mendapatkan makan dan jarang-jarang sekali akan bertemu dengan keadaan yang perlu menggunakan kuku yang tajam.

"Tujuan utama kita memotong kuku adalah untuk menumpulkan kuku itu. Ia penting untuk diperjelaskan kerana pembuang kuku secara kekal (declaw) adalah salah dari segi kebajikan kucing.

"Dengan menumpulkan kuku kucing kita mampu mengawal kerosakan dan kecederaan yang tidak disengajakan oleh kucing kita.

"Hal ini amat perlu bagi membentuk persekitaran yang baik untuk kita dan kucing. Seterusnya, kuku yang panjang juga boleh mendatangkan kecederaan buat kucing itu sendiri. Sering saya lihat kuku kucing patah dan menyebabkan kesakitan padanya," katanya.

Tambahnya, declaw adalah prosedur membuang kuku kucing secara tetap. Kuku kucing diasingkan dari tulang menyebabkan kuku kucing tidak akan tumbuh lagi.

"Hal ini salah daripada etika kebajikan kucing kerana ia menjejaskan tabiat asal kucing untuk menggunakan kuku. Selain itu, prosedur ini juga boleh menyebabkan kesakitan kepada kucing kerana tapak kaki sentiasa terdedah kepada tekan ketika berjalan.

"Jangkitan kuman, juga boleh menjadi komplikasi dalam prosedur ini. Tekanan perasaan, boleh dilihat terhadap kucing yang telah dibuang kuku secara tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:22 AM