CARA mendekatkan kanak-kanak dengan kucing perlu dipelajari ibu bapa.
CARA mendekatkan kanak-kanak dengan kucing perlu dipelajari ibu bapa.
Hafiz Ithnin


Melihat telatah si bulus yang gebu dan semangat, kanak-kanak mana yang tidak geram melihatnya. Malah, ada yang menerkam kucing yang mempunyai tahap kecomelan luar biasa di mata mereka.

Pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, dia sering kali menerima pertanyaan berkenaan 'hubungan' si kecil dengan kucing.

Jelasnya, bakal ibu bapa kepada bayi yang sebelum ini membela kucing sering risau keadaan cahaya mata baharu mereka dengan kucing.

"Selain itu, ibu bapa yang merancang untuk membela kucing sering juga bertanya sama ada selamat untuk membela kucing di rumah sedangkan mereka mempunyai anak kecil.

"Banyak stigma yang sering saya dengar dalam kalangan masyarakat berkenaan isu ini. Antara yang paling biasa kita dengar kucing adalah kotor, kucing bawa penyakit atau kucing boleh memberi penyakit kepada anak mereka," katanya.

Tambah beliau, malangnya disebabkan pemikiran ini ada juga ibu bapa membuang kucing mereka yang dibela kerana risau dengan tanggapan negatif masyarakat mengenai isu itu.

KUCING boleh menjadi rakan karib kanak-kanak.
KUCING boleh menjadi rakan karib kanak-kanak.

"Pada masa kini kajian dan perubatan sudah pun maju hingga memberi kita ruang hidup seperti sekeluarga dengan kucing kesayangan kita tanpa perlu risau mengenai jangkitan penyakit (dari kucing kepada kanak-kanak) dan sebagainya.

"Malah, banyak juga kesan positif dari aspek kesihatan, emosi dan kelakuan yang dapat dilihat dalam kalangan anak-anak yang berdampingan dengan si comel ini pada usia yang kecil," katanya.

Katanya, pertama sekali kucing yang hendak dibela di rumah perlu mendapatkan pemeriksaan awal dari doktor veterinar.

"Hal ini bagi memastikan kucing yang kita ambil, beli atau jumpa sihat serta tiada tanda-tanda penyakit 'zoonotic' (penyakit haiwan yang boleh berjangkit kepada manusia).

"Secara amnya doktor veterinar akan memeriksa keadaan fizikal kucing, meneliti jika ada tanda-tanda klinikal luka yang mampu membahayakan kita dan keluarga," katanya.

Malah katanya, doktor veterinar juga menjelaskan penjagaan asas yang perlu diberikan kepada kucing supaya kesihatannya terjamin. Sekali gus memberi keselamatan kesihatan kepada tuannya.

"Antara penjagaan yang selalu saya titik beratkan adalah kepentingan memberi ubat cacing, ubat kutu dan vaksinasi kucing terbabit.

KUCING boleh mendidik jiwa kanak-kanak untuk lebih penyayang.
KUCING boleh mendidik jiwa kanak-kanak untuk lebih penyayang.

"Seterusnya, tidak dapat dinafikan jika kucing berada dalam keadaan yang takut, rimas, terancam dan sakit, haiwan itu akan 'membalas' dengan serangan yang kita tidak jangka seperti mencakar atau menggigit.

"Hal ini sama sekali dapat dielakkan jika kita perkenalkan kucing dengan betul kepada anak kita. Pertama, sebagai ibu bapa kita perlu beri kefahaman kepada anak kita bahawa kucing juga mempunyai perasaan seperti takut, sakit dan gelisah," katanya.

Ajar mereka tanda-tanda awal untuk mengenali gerak-geri kucing. Contohnya, jika kucing mengeluarkan suara yang kuat atau mula untuk menepis tangan, bersedia untuk berjauhan daripada haiwan itu atau berikan masa untuknya bertenang.

"Selain itu, apabila kucing berada dalam keadaan berjaga-jaga jangan bermain atau dukung ia pada masa itu.

"Membantu anak kita memahami atau peka dengan tanda-tanda awal kucing rasa kurang selesa mampu menghindari insiden yang tidak diingini dari berlaku dan mampu memberi kesan yang positif kepada perhubungan antara anak dan haiwan itu," katanya.

Katanya, perhubungan antara anak dan kucing di rumah memang sering dilihat comel selain kadangkala mencuit hati.

"Antara langkah yang perlu diberi perhatian apabila anak bermain dengan kucing adalah faktor keselamatan anak dan kucing.

"Kucing sering juga yang menjadi mangsa keadaan apabila anak kita bergurau kasar dengan haiwan itu. Secara peribadi banyak juga kes patah, luka sesak nafas yang berpunca daripada gurauan kasar kanak-kanak yang pernah saya lihat," katanya.

KUCING antara haiwan kesayangan yang sesuai untuk kanak-kanak.
KUCING antara haiwan kesayangan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Tambah beliau, keadaan ini sebenarnya memberi ruang kepada ibu bapa untuk memupuk sikap, perasan kasih sayang dan memahami erti kesakitan kepada anak kita.

"Ibu bapa sentiasa perlu pantau tingkah laku anak ketika bermain dengan kucing dan jika mengesan gurauan itu menjadi kasar kita perlu menjelaskan bahawa haiwan berkenaan juga mempunyai perasaan dan rasa sakit jika cara bermain tidak betul.

"Seterusnya, bagi memastikan kucing supaya tidak membahayakan anak kita, pastikan kuku haiwan itu sentiasa dipotong pendek, melatih supaya tidak mudah menggigit tangan atau benda lain di rumah," katanya.

Dr Muhammad Naim berkata, dia juga sering melihat apabila kucing berusia dua atau tiga bulan pemiliknya sering berasakan tindakan memberi tangan untuk anak kucing gigit adalah sesuatu yang 'comel.'

Malangnya perkara itu boleh menjadi tabiat buruk dan mengajar kucing itu supaya mudah menggigit manusia kelak apabila dewasa.

Katanya lagi, kanak-kanak yang memiliki kucing sebenarnya mampu memupuk sikap tanggungjawab.

"Seterusnya, mengajar anak erti kasih sayang, hal ini sering dilihat apabila kucing dan anak sudah membina perhubungan yang akrab.

"Selain itu, kanak-kanak yang diberikan kucing sebagai teman dilihat kurang bergantung kepada gajet seperti telefon pintar dan televisyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 7:00 AM