MAKANAN kucing mempunyai diet khusus untuk kucing.
MAKANAN kucing mempunyai diet khusus untuk kucing.
Hafiz Ithnin

KADANGKALA apabila melihat kucing mendekati kita ketika menjamu selera, pastinya ada segelintir yang tidak lokek untuk berkongsikan makanan kepada si comel itu.

Malah, perasaan dapat berkongsi rezeki bersama kucing terasa puas apabila melihat si comel itu turut sama berselera menikmatinya.

Bagaimanapun, adakah makanan manusia ini sesuai untuk diberikan kepada kucing?

Doktor Veterinar iVet PETCARE, Dr Natrah Abd Razak menjelaskan, pertama sekali perkara perlu diketahui adalah kucing adalah karnivor, bermaksud kucing akan hadam makanan yang berunsurkan protein daripada haiwan sahaja.

Katanya, kandungan bahan di dalam makanan manusia bukanlah semuanya sesuai dengan keperluan badan kucing. Namun, kucing domestik ini lebih berevolusi dan beradaptasi dengan makanan manusia.

MEMBERI makanan manusia kepada kucing boleh memberi kesan sampingan kepada si comel anda.
MEMBERI makanan manusia kepada kucing boleh memberi kesan sampingan kepada si comel anda.

Natrah berkata, lebih merisaukan jika kucing itu mengalami cirit-birit yang berpanjangan. Jika ia terjadi maka pemilik kucing perlu segera membawa kucing berkenaan ke klinik.

Katanya, makanan yang menjimatkan tetapi bagus untuk kucing adalah makanan yang dibuat sendiri atau 'homemade' oleh pemilik.

"Kandungan bahan yang digunakan dapat dikawal dan pemilik sendiri mengetahui sumber digunakan untuk diberikan pada kucing mereka.

"Sebagai contoh menu yang boleh pemilik di luar sana ikut adalah ayam labu rebus lenyek. Pemilik hanya perlu rebus ayam dan labu dalam beberapa minit sahaja dan kisar sehingga menjadi seperti 'wet food.'

"Ia sangat bagus, segar dan berkhasiat kerana labu itu sendiri mempunyai tinggi vitamin B dan folic acid yang membantu menaikkan selera, memberi tenaga dan tekstur labu itu bantu mengeraskan najis. Sangat sesuai berikan kepada kucing cirit," katanya.

Katanya, pemilik juga boleh menyimpan selebihnya di dalam peti sejuk untuk mengelakkan berlakunya kerosakan kepada makanan berkenaan. Ayam pula adalah sumber protein yang bagus dan sesuai untuk karnivor seperti kucing.

"Tidak semua makanan manusia selamat untuk kucing. Antaranya coklat, anggur, kismis, oren, bawang dan sebagainya. Ia kerana makanan seperti ini akan menyebabkan buah pinggang kucing akan mengalami masalah," katanya.

Ditanya mengenai air kelapa dan minyak kelapa dara bagus untuk memulihkan kucing jika si comel itu demam, katanya, boleh sahaja jika ingin berikan air kelapa kepada kucing, tidak menjadi racun sekiranya kucing minum air berkenaan.

Dr Natrah.
Dr Natrah.

"Air kelapa tidak memulihkan demam kucing, ia sebenarnya lebih memberi tenaga tambahan kepada kucing untuk jangka masa yang pendek.

"Tidaklah bantu secara mutlak bagi memulihkan demam. Sebagai contoh, kucing anda demam pada sebelah malam dan tiada klinik yang buka. Jadi air kelapa ini membantu kucing itu lebih bertenaga dan menghilangkan hidrasi sebelum dibawa ke klinik pada keesokan hari," katanya.

Tegasnya, pemilik perlu ingat bahawa air kelapa tidak boleh diberikan secara serentak bersama ubat kerana ia boleh menyebabkan ubat menjadi neutral. Jadi air kelapa boleh diberikan sebelum datang ke klinik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:30 AM