Muhammad Saufi Hassan


MUDAH dibawa, nipis, umpama peranti pintar biasa dan kepenggunaan paling mengagumkan untuk segmen peranti skrin boleh lipat.

Itu ringkasan yang boleh dibuat terhadap peranti skrin boleh lipat keluaran Honor menerusi Honor Magic V2 apabila peranti berkenaan mengubah definisi sebenar segmen berkenaan.

Sebelum ini, peranti yang mempunyai keupayaan skrin boleh lipat dibebani dengan peranti yang tebal atau 'gemuk,' berat dan jangka hayat bateri yang tidak begitu baik.

Namun, menerusi pengalaman penulis bagi peranti Honor Magic V2, peranti ini memberikan keupayaan paling maksimum dengan jangka hayat bateri yang sangat baik.

Penulis juga tidak rasa terbeban untuk membawa peranti ini kerana ia ringan, nipis dan penawaran spesifikasi yang sangat baik, sekali gus melancarkan keseluruhan aplikasi.

Untuk produktiviti, peranti ini berada pada kelasnya apabila semua kandungan, tugasan dan pelancar aplikasi sangat licin dan sistem lipatan skrin juga tidak meninggalkan kesan.

Bagi permainan mudah alih juga, peranti ini mampu memberi pengalaman yang unik kepada pengguna sama seperti pengalaman penstriman video.

Honor Magic V2 telefon boleh lipat pertama dengan ketebalan di bawah satu sentimeter (cm) apabila dilipat, menjadikan ia peranti pilihan terbaik era baru dalam rekaan telefon pintar.

PERANTI yang ringan, nipis dan mempunyai jangka hayat bateri lebih baik berbanding peranti lain.
PERANTI yang ringan, nipis dan mempunyai jangka hayat bateri lebih baik berbanding peranti lain.

Ini menandakan komitmen berterusan Honor terhadap inovasi.

Honor Magic V2 mempunyai badan ultra nipis dengan ketebalan hanya 9.9 milimeter (mm) apabila dilipat manakala 4.7 mm dalam keadaan dibuka dan berat peranti ini cuma 231 gram (g) sahaja, lebih ringan dan nipis berbanding model terdahulu.

Peranti ini turut menggunakan engsel titanium ringan, sekali gus kecanggihan teknologi pertama dalam industri pembuatan perati pintar.

Engsel berkenaan sangat ringan yang diperbuat daripada aloi titanium, sejenis material gred aeroangkasa untuk mencapai berat dan kekuatan yang seimbang.

Berbanding penutup aci aloi aluminium, aloi titanium 150 peratus lebih kukuh, sangat sesuai untuk menghasilkan telefon boleh lipat yang ringan.

Bagi meningkatkan lagi ketahanan, Honor turut menggunakan keluli proprietari Honor 'Pelindung Keluli' dalam bahagian utama engsel.

Bahan canggih itu membentuk 67 peratus daripada engsel dan diilhamkan oleh keluli digunakan dalam kerja pengorekan terowong.

Keluli proprietari berfungsi mengimbangi antara kenipisan dan ketahanan supaya engsel menahan penggunaan harian peranti.

Selain itu, Honor Magic V2 menggunakan teknologi 'mortise and tenon integral molding' yang menggabungkan penutup aci engsel dengan sempurna.

Untuk padanan teknologi dan canggih berkenaan, peranti ini menahan lebih 400,000 lipatan atau 100 kali lipatan sehari serta mempunyai jangka hayat sehingga 10 tahun.

Walaupun reka bentuk nipis, Honor Magic V2 didatangkan dengan bateri karbon silikon kapasiti besar 5,000mAh yang dimuatkan menerusi komponen pemacu paparan 'tiga dalam satu.'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:30 AM