JENAMA Suunto tidak hanya dikenali untuk jam sukan sebaliknya mempunyai pelbagai jenis perkakas.
JENAMA Suunto tidak hanya dikenali untuk jam sukan sebaliknya mempunyai pelbagai jenis perkakas.
Hafiz Ithnin

Perkembangan teknologi pintar memberi kesan kepada banyak pemain industri untuk mengembangkan segmen produk yang lain, tetapi masih berada dalam ruang lingkup yang menjadi kepakaran mereka.

Antara yang dilihat semakin berkembang adalah industri sukan yang mula mengaplikasikan teknologi pintar dalam produk keluaran mereka.

Jika dahulu mungkin segmen sukan hanya tertumpu kepada pakaian dan perkakasan yang menjurus kepada keselesaan pengguna untuk beraktiviti, tapi kini mengembangkan kepada segmen hiburan.

Paling ketara pastinya jenama jam sukan antarabangsa, Suunto yang dikenali sebagai pengeluar peranti pintar untuk aktiviti sukan dan lasak, turut mengembangkan produknya kepada segmen hiburan dengan memperkenalkan model fon kepala pertamanya sejak pertengahan Oktober tahun lalu dan baru-baru ini memperkenalkan model keduanya, Suunto Sonic.

PERANTI boleh pakai fon kepala memberikan kebebasan kepada pengguna untuk mendengar muzik atau sebagainya.
PERANTI boleh pakai fon kepala memberikan kebebasan kepada pengguna untuk mendengar muzik atau sebagainya.

Pengurus Pemasaran dan e-dagang bagi Eksport APAC, Ivy Leong berkata, pemilik Suunto baharu, Liesheng Group iaitu sebuah syarikat elektronik pengguna teknologi terkemuka China memperkenalkan segmen baharu itu untuk menjadikan Suunto mempunyai pelbagai rangkaian produk untuk aktiviti lasak yang sinonim dengan identitinya.

Jelasnya, faktor jenamanya menerokai segmen baharu itu bersandarkan kepada pengguna sukan yang semakin berkembang dan dinamik.

"Meskipun jenama kami begitu sinonim dengan jam tangan sukan, kami melihat koleksi peranti fon kepala dapat memenuhi keperluan pengguna sukan dan mengikut arus kini pasaran.

"Segmen produk baharu ini juga dijangka dapat meningkatkan penguasaan pasaran jenama kerana kami menyasarkan pengguna yang lebih meluas," katanya.

Tambahnya, segmen baharu itu memberikan peluang baharu kepada jenamanya untuk menerokai pengguna yang lebih luas iaitu di luar peminat sukan dan kecergasan tradisional.

"Ia juga boleh menjadi strategi untuk kami memanfaatkan bahagian pasaran yang lebih besar dan meneroka keperluan pengguna yang berbeza.

"Kami berhasrat mencipta pengalaman pengguna holistik dengan menambahkannya dalam ekosistem kami sendiri," katanya.

Mengulas mengenai teknologi fon kepala itu, katanya, teknologi telinga terbuka fon kepala Suunto membolehkan pengguna mendengar muzik dan pada masa sama masih mendengar persekitaran.

"Berbanding fon kepala dalam telinga tradisional, Suunto Wing dan Sonic duduk di tulang rahang pengguna. Jadi, saluran telinga terbuka untuk terus mengetahui keadaan sekeliling demi keselamatan ketika beraktiviti.

"Ia bukan sahaja untuk motivasi dan hiburan, malah untuk berhubung dengan orang lain. Fon kepala ini mempunyai mikrofon ganda dan algoritma pembatalan bunyi untuk menangkap panggilan suara yang lebih jelas walaupun berangin atau ketika berbasikal," katanya.

Tambahnya, bersandarkan teknologi penangkap bunyi yang jelas (CVc) dapat berfungsi membatalkan bunyi walaupun kelajuan angin kira-kira 30km/jam untuk Suunto Wing dan 15km/jam untuk Suunto Sonic.

"Produk ini bukan hanya menawarkan hiburan, malah dapat mengintegrasikan dengan jam pintarnya untuk diakses dengan mudah seperti mengakses data.

"Ciri-ciri lain yang ada pada peranti ini juga adalah kalis air dan habuk. Selain itu, ia mempunyai ciri-ciri jangka hayat bateri yang panjang sehingga 40 jam dengan penggunaan sistem penentududukan sejagat (GPS). Jangka hayat bateri ini penting terutama bagi mereka yang terbabit dalam aktiviti sukan yang mengambil masa lama seperti larian jarak jauh, berbasikal atau mendaki gunung," katanya.

PERKAKAS ini sesuai dipakai untuk pencinta aktiviti lasak.
PERKAKAS ini sesuai dipakai untuk pencinta aktiviti lasak.

Katanya lagi, reka bentuk ringan dan ergonomik yang ada pada fon kepala itu penting bagi tidak mengganggu keselesaan atau semasa prestasi sukan.

"Tidak ketinggalan pastinya, ciri-ciri keselamatan yang menjadi nilai tambah bagi atlet sukan untuk terus mengetahui persekitaran melalui teknologi audio telus atau ciri lain yang membolehkan mereka tetap waspada terhadap persekitaran.

"Fakta menarik penyelidikan menunjukkan bahawa muzik dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan motivasi untuk atlet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 6:30 AM