RADHA (belakang tiga dari kanan) bersama Matti Pullinen (belakang tiga dari kiri) pada majlis pelancaran jam Suunto Ambit3.
RADHA (belakang tiga dari kanan) bersama Matti Pullinen (belakang tiga dari kiri) pada majlis pelancaran jam Suunto Ambit3.

Kuala Lumpur: Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd (UFL) pengedar rasmi barangan sukan mengunjurkan jualan bernilai RM3.3 juta dalam tempoh setahun bagi model terbaru jam tangan Suunto yang berada di pasaran Malaysia sejak September lalu.

Tampil dengan dua model iaitu Suunto Ambit3 Peak dan Suunto Ambit3 Sport, pihak syarikat optimis dapat mencapai sasaran apabila kedua-duanya dilengkapi dengan ciri khusus bagi sukan lasak termasuk larian, renang dan berbasikal.

Pengarah Urusannya Datuk Radha Krishnan berkata, model ini akan menjadi pilihan ramai khususnya penggemar sukan kerana dilengkapi ciri flesksibelnya.

“Suunto Ambit3 Peak dan Suunto Ambit3 Sport adalah model pertama mempunyai sambungan Bluetooth yang mana ia membenarkan pengguna menerima teks dan panggilan telefon selain dilengkapkan dengan Suunto Movescount App bagi iPhone dan iPad.

“Aplikasi yang masih terhad bagi produk Apple itu membolehkan pengguna merakam gambar dan video menerusi ‘Suunto Video’ dan ia juga mempunyai ciri ‘Suunto Smart Sensor’ bagi kadar bacaan denyutan jantung,” katanya kepada Bisnes Metro.

Hadir sama, Duta Besar Finland ke Malaysia Matti Pullinen, Pengurus Produk (Finland) Suunto Ambit Markus Kemetter dan Pengarah Perniagaan Rantau Apac Suunto Takau Okamoto dan Pengarah Komersial Amer Sports Malaysia Sdn Bhd Sharmin Photographer.

Beliau berkata, ketika ini jenama Suunto menyumbang lima peratus perolehan syarikat pada tahun lalu dan angka berkenaan dijangka meningkat antara sembilan hingga 10 peratus dalam tempoh sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM