Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

PERANTI 'pembunuh' kelas pertengahan. Itu gelaran yang boleh diberikan kepada peranti baharu keluaran Apple iaitu iPhone SE 2020 memandangkan telefon pintar berkenaan menawarkan spesifikasi paling baik dalam kelas pertengahan tambahan pula ia memiliki tanda harga mampu milik.

Bagi pengeluaran iPhone SE 2020, Apple berjaya mencipta satu peranti mampu milik dalam siri barisan produk mereka malah spesifikasinya tidak perlu dipertikaikan apabila menggunakan pemproses Apple Bionic A13 iaitu cip yang sama digunakan bagi semua peranti iPhone 11.

Kebanyakan peranti kelas pertengahan tidak menggunakan spesifikasi yang baik dan akibatnya, ia akan menjejaskan prestasi telefon pintar sekali gus memberi pengalaman yang kurang menyenangkan untuk pengguna terutama dalam aspek kefungsian pelbagai tugasan.

Namun, pujian harus diberikan kepada Apple apabila mampu untuk menghasilkan sebuah peranti yang baik dan memiliki tanda harga mampu milik untuk segmen pengguna yang tidak mampu untuk membeli siri iPhone 11.

Apple baharu melancarkan peranti ini yang boleh diklasifikasikan sebagai kelas pertengahan namun keupayaannya boleh menyamai peranti kelas mercu untuk produk keluaran syarikat lain dan ia sudah pasti satu kelebihan untuk Apple.Penulis boleh mengatakan setiap kali pengeluaran produk tertentu, Apple sentiasa memastikan tahap terbaik produk mereka dan situasi sama untuk iPhone SE 2020 ini.

IPHONE SE 2020 dikategorikan sebagai pembunuh peranti kelas pertengahan kerana menawarkan spesifikasi peranti premium.
IPHONE SE 2020 dikategorikan sebagai pembunuh peranti kelas pertengahan kerana menawarkan spesifikasi peranti premium.

Menyentuh aspek spesifikasi, peranti berkenaan menggunakan pemproses Apple Bionic A13 iaitu pemproses sama dengan siri iPhone 11 dan ia dilengkapi skrin berkeluasan 4.7 inci dengan padanan panel paparan teknologi LCD Retina.

Apple kali ini menawarkan tiga variasi iPhone SE bermula daripada kapasiti 64GB, 128GB dan 256GB mengikut kesesuaian pengguna.

Bagi tetapan kamera pula, Apple menaik taraf sistem lensa dengan kamera utama keupayaan 12 Megapiksel (MP) dan lensa depan 7MP.

Peranti ini turut mengekalkan penggunaan 'butang kembali' Home Button dengan pengimbas cap jari Touch ID sekali gus mengekalkan tahap keselamatan peranti.

Peranti iPhone SE 2020 ini mempunyai sokongan Haptic Feedback, dilengkapi dengan perlindungan kalis air IP67 dan sokongan teknologi paparan video HDR10.

Pengguna juga boleh melakukan pengecasan tanpa wayar untuk model berkenaan kerana ia turut menyokong Qi Wireless Charging.

Tanda harga untuk iPhone SE 2020 bagi pasaran tempatan adalah RM1,999 bagi model kapasiti memori 64GB dan RM2,699 untuk model 256GB. Warna yang ditawarkan adalah hitam, putih dan merah.

Versi baharu iPhone SE ini juga berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K pada 60 bingkai sesaat dan ia dilengkapi dengan teknologi penstabilan untuk memberi kualiti video mengagumkan.

Pengguna juga boleh melakukan penyuntingan video hanya menerusi peranti mereka dan ia dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu berbanding versi sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:15 AM