PROBIOTIK sumber pemakanan penting dalam diet untuk penjagaan kesihatan ‘otak kedua’. GAMBAR hiasan
PROBIOTIK sumber pemakanan penting dalam diet untuk penjagaan kesihatan ‘otak kedua’. GAMBAR hiasan
Prof Dr Raja Affendi Raja Ali

(Pakar Perunding Perubatan & Gastroenterologi)

KENYATAAN bahawa ‘anda adalah apa yang anda makan’ mungkin lebih benar daripada disangkakan. Kesihatan usus penting untuk kesejahteraan tubuh anda. Malah, boleh dikatakan usus ialah otak kedua anda.

Kesihatan usus berkait rapat dengan sistem penghadaman, pencernaan, imun, endokrin, peredaran dan sistem saraf pusat. Malah jika ia terganggu, ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal anda.

Satu faktor utama yang menentukan kesihatan usus anda ialah mikrobiota usus, iaitu pelbagai populasi mikro organisma yang boleh ditemui di dalam usus anda. Pemeliharaan keseimbangan mikrobiota usus adalah penting untuk kesihatan usus yang optimum.

Ketidakseimbangan mikrobiota usus terjadi apabila populasi, kepelbagaian dan kandungan bakteria baik dan buruk di dalam usus anda berubah daripada nisbah normal, lalu mengakibatkan gangguan dan kerosakan pada lapisan mukosa saluran penghadaman. Ini akan menjejaskan kesihatan usus secara negatif dan seterusnya tubuh serta minda anda.

Untuk memastikan kesihatan usus berada pada tahap yang baik, anda perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil diet seimbang. Diet yang seimbang, sederhana dan pelbagai sangat penting dalam penjagaan kesihatan usus anda.

Kesihatan usus anda juga dapat dikekalkan dengan mengamalkan tabiat baik seperti senaman secara tetap dan tidur yang mencukupi, serta mengelakkan tabiat buruk, termasuk penggunaan alkohol dan antibiotik yang berlebihan.

Selain itu, ada juga makanan tertentu yang boleh membantu mengimbangkan nisbah mikrobiota baik dan buruk di dalam usus seperti probiotik, prebiotik dan serat.

Probiotik ialah mikro organisma hidup yang apabila dimakan boleh memberi manfaat kesihatan. Ia boleh dimakan dalam bentuk suplemen, produk kesihatan preskripsi atau produk makanan asli, seperti yogurt dan kimchi.

Apabila populasi mikrobiota usus tidak seimbang kerana masalah cirit-birit atau selepas rawatan antibiotik, probiotik boleh dimakan untuk memulihkan nisbah mikrobiota baik dan buruk yang normal di dalam usus.

KANAK-KANAK yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya enam bulan didapati mempunyai lebih banyak Bifidobacteria berbanding yang diberi susu formula.
KANAK-KANAK yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya enam bulan didapati mempunyai lebih banyak Bifidobacteria berbanding yang diberi susu formula.

BELAJAR MENGENAI PROBIOTIK

Ada banyak spesies mikrobiota berbeza yang dikelaskan sebagai probiotik. Ia terdiri daripada bakteria dan yis. Malah, tubuh kita mengandungi trilion bakteria, virus dan yis serta kira-kira 400 jenis bakteria probiotik yang berbeza. Antara spesies probiotik yang biasa termasuk:

a. Lactobacillus ialah kumpulan bakteria probiotik terbesar di dalam usus. Terdapat lebih daripada 50 spesies lactobasilli, seperti L. acidophilus, L. rhamnosus GG, dan L. bulgaricus. Ia boleh ditemui secara semula jadi di dalam sistem penghadaman, urinari, genital serta makanan asli dan tambahan.

Lactobacillus berpotensi untuk mencegah atau merawat cirit-birit akut (juga dikenali sebagai gastroenteritis akut yang sering disebab­kan jangkitan virus), sindrom usus rengsa (IBS), jangkitan saluran kencing (UTI), jang­kitan yis vagina, selesema, penyakit kulit, jangkitan pernafasan viral pada kanak-kanak serta mengurangkan intolerans laktosa dan paras kolesterol.

b. Bifidobacterium meliputi kira-kira 30 spesies yang berbeza, seperti B. bifidum, B. lactis dan B. longum. Ia adalah antara spesies bakteria pertama yang membiak di dalam usus bayi, terutama bayi yang diberi susu ibu dan boleh membantu menghadam susu ibu.

Penyusuan susu ibu membantu mengembangkan mikrobiota usus bayi. Kanak-kanak yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya enam bulan didapati mempunyai lebih banyak Bifidobacteria berbanding yang diberi susu formula. Bifidobacterium, sebagaimana Lactobacillus, juga digunakan untuk membantu mencegah atau merawat pelbagai masalah usus, jangkitan dan masalah kulit.

c. Streptococcus thermophilus yang boleh dijumpai di dalam usus besar, menghasilkan kuantiti enzim laktase yang banyak untuk mengurai laktosa di dalam susu menjadi asid laktik. Ia banyak digunakan dalam penghasilan yogurt dan keju.

Spesies lain genus Streptococcus, seperti S. pneumoniae, mungkin patogenik, tetapi S. thermophilus dibuktikan selamat sebagai probiotik. Suhu pertumbuhan optimumnya juga dalam julat yang sesuai untuk mikrobiota usus kita. Ia juga boleh memperbaiki penghadaman, meningkatkan keimunan dan membantu mengatasi masalah kesihatan lain.

d. Saccharomyces boulardii berbeza daripada probiotik yang disebutkan sebelum ini. S. boulardii ialah keluarga terdekat S. cerevisiae, yang dikenali sebagai yis ibu roti. Bagaimanapun, ia mempunyai suhu pertumbuhan optimum lebih tinggi iaitu pada 37 darjah Celsius dan bertahan lebih baik dalam pH berasid, membolehkannya sampai ke usus dalam keadaan aktif. Ia juga tidak perlu disimpan dalam peti sejuk.

Kerana S. boulardii ialah spesis yis, ia tidak terjejas dengan antibiotik, yang cuma menyasarkan bakteria. Oleh itu, ia sesuai untuk mengembalikan imbangan mikrobiota usus selepas rawatan antibiotik.

Kerana itu ia berguna terutama untuk merawat penyakit cirit-birit akut dan cirit-birit yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik. S. boulardii boleh ditemui di dalam makanan yang ditapai, seperti kefir atau kombucha, yang mempunyai kombinasi yis dan probiotik bakteria.

MINUMAN daripada kulit manggis baik untuk kesihatan usus.
MINUMAN daripada kulit manggis baik untuk kesihatan usus.

TAHUKAH ANDA

Saccharomyces boulardii ditemui pada awal 1920-an oleh ahli mikrobiologi Perancis, Henry Boulard, apabila dia memerhatikan orang di Indo-China yang minum minuman daripada kulit laici dan manggis tidak mengalami cirit-birit dan simptom taun ketika wabak tersebar. Strain ini dinamakan sempena namanya selepas penemuan berkenaan dan sering dijual sebagai ubat cirit-birit.

Probiotik adalah sumber pemakanan yang penting dalam diet kita untuk penjagaan kesihatan usus. Selain makanan yang disebut di atas, kita juga boleh mendapatkan probiotik daripada makanan tradisi yang ditapai seperti tempe mentah dan tapai pulut.

Probiotik juga boleh digunakan untuk mencegah atau mengurangkan simptom banyak masalah usus seperti sembelit, sindrom usus rengsa, cirit-birit akut, cirit-birit berkaitan dengan penggunaan antibiotik dan pelbagai masalah lain.

Bagaimanapun, setiap strain probiotik adalah unik apabila ada strain tertentu yang lebih berkesan merawat masalah tertentu, seperti mana setiap individu mempunyai cap jari yang unik. Adalah penting mendapat nasihat daripada doktor untuk penggunaan probiotik yang paling sesuai bagi menjamin kesihatan usus anda.

Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi rakan pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini disokong oleh geran pendidikan daripada Bioflor. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 4:30 AM