Bakteria baik membantu badan memerangi pelbagai penyakit. - FOTO VITAGEN Malaysia
Bakteria baik membantu badan memerangi pelbagai penyakit. - FOTO VITAGEN Malaysia
Profesor Madya Dr Mahenderan Appukutty

KEBANYAKAN orang mengaitkan bakteria dengan penyakit dan menganggap ia tidak baik untuk kesihatan. Malah, terdapat pelbagai produk pembersih yang mendakwa sebagai produk 'anti-bakteria'. 

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa sesetengah bakteria adalah baik? 'Bakteria baik' ini, khususnya yang berada di dalam saluran gastrousus sebenarnya membantu badan kita memerangi pelbagai penyakit.

Saluran gastrousus kita, juga dipanggil sebagai usus, mengandungi trilion mikroorganisma. Komuniti mikroorganisma ini termasuklah bakteria baik dan tidak baik dan secara kolektif, mereka dikenali sebagai mikrobiota usus. 

Mikrobiota usus terdiri lebih kurang 1,000 spesis bakteria berbeza yang berpotensi mempengaruhi kematangan sistem imun dan melindungi badan daripada mikrob patogen.

Sesetengah spesis bakteria baik ini yang dikenal pasti termasuklah kumpulan Lactobacillus dan Bifidobacteriumdan bakteria ini dikenali sebagai probiotik.

Probiotik: Bakteria baik yang membantu untuk memerangi penyakit 

Terdapat peningkatan bukti klinikal menyokong keberkesanan probiotik dalam memelihara kesihatan terutamanya membantu sistem penghadaman dan imun.

Bukti terkini juga menyokong peranan probiotik (seperti Lactobaccilli) mengurangkan pelbagai kondisi berkaitan dengan gastrousus, contohnya penyakit keradangan usus (inflammatory bowel disease), sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome), cirit-birit dan sembelit. 

Beberapa kajian melaporkan bahawa persediaan probiotik yang mengandungi Bifidobacteria dikaitkan dengan pengurangan cirit-birit berkaitan antibiotik (antibiotic-associated diarrhoea) terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Terdapat juga bukti tentang kesan probiotik dalam keadaan kesihatan lain seperti mengurangkan simptom selesema, kesihatan mental, diabetes, obesiti dan isu berkaitan prestasi kesukanan.

Bagaimanakah probiotik membantu untuk memerangi penyakit?

Bak kata pepatah "segala penyakit berasal dari perut", begitu jugalah cara probiotik memerangi penyakit. 

Dengan mengambil probiotik, kondisi di dalam saluran gastrousus terutamanya usus besar, dikawal dengan baik. Jumlah bakteria tidak baik yang menyebabkan penyakit dikurangkan, sementara itu, bakteria baik di dalam sistem penghadaman ditukar ganti.

Kehadiran bakteria baik yang mencukupi meningkatkan keimunan semula jadi. Keimunan semulajadi adalah barisan pertahanan pertama perumah yang menghalang kemasukan patogen berbahaya, sebagai contoh halangan fizikal seperti kulit yang mencegah bahan berbahaya tidak diingini daripada memasuki badan.

Halangan sistem penghadaman kita adalah sebahagian daripada imuniti semulajadi . Ini membolehkan nutrien melepasi sistem penghadaman sambil mengelakkan bahan berbahaya seperti antigen, toksin dan mikroorganisma asing daripada meninggalkan sistem penghadaman dan menyerang badan. 

Lebih banyak cara untuk melawan patogen

Bakteria berbahaya boleh memasuki badan dengan melekat di permukaan lapisan usus. Mekanisma lain untuk bakteria berfungsi dengan baik ialah dengan menghalang patogen daripada melekat pada badan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan.

Probiotik juga berfungsi untuk mengehadkan tumbesaran patogen. Satu kaedah bagi perkara tersebut adalah dengan bersaing dengan patogen untuk nutrien yang digunakan bagi tumbesaran. 

Kompaun antimikrob dihasilkan oleh sesetengah probiotik juga boleh membantutkan pertumbuhan bakteria berbahaya seperti H. pylori.

Sesetengah probiotik boleh menapai jenis serat pemakanan tertentu untuk meningkatkan penghasilan asid lemak rantai pendek (short-chain fatty acids), sejenis bahan yang memainkan peranan penting dalam pertahanan dan keimunan badan dengan ciri antikanser, antikeradangan dan antioksidan serta melawan patogen penyebab penyakit.

Menyokong keimunan dan kesihatan umum dengan probiotik dan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat menggalakkan keimunan yang baik. - FOTO VITAGEN Malaysia

Pengambilan makanan kaya dengan probiotik secara teratur boleh menyokong keimunan dan kesihatan secara umum. 

Makanan ini termasuklah produk susu fermentasi yang mengandungi kultur probiotik, contohnya minuman susu berkultur dan yogurt.

Semasa memilih produk susu fermentasi dengan probiotik, anda perlu memeriksa label 'kultur probiotik' dan jenis juga perlu dinyatakan. 

Label juga harus menyatakan sama ada kultur tersebut adalah 'hidup'. Pastikan anda memeriksa jumlah kultur probiotik terkandung di dalam produk - ia tidak seharusnya kurang daripada 106 cfu/ml atau cfu/g.

Selain daripada pengambilan probiotik, tabiat gaya hidup sihat yang lain juga penting dalam menggalakkan keimunan yang baik dan kesihatan secara menyeluruh, seperti yang berikut:

Amalkan pemakanan seimbang dan sihat

Gunakan Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan untuk pemakanan yang seimbang, sederhana dan pelbagai. 

Perlu diingat untuk makan lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan atau kaya serat seperti pelbagai jenis sayur dan bijirin penuh untuk membantu mengurangkan sembelit dan memastikan kesihatan penghadaman yang lebih baik.

Makanan tinggi lemak dan minyak harus dielakkan kerana makanan ini boleh mengganggu penghasilan bakteria baik dan akan menggalakkan bakteria tidak baik.

Mengekalkan gaya hidup sihat secara fizikal dan mendapatkan tidur yang mencukupi

Gaya hidup aktif membantu untuk memastikan bahawa sistem penghadaman anda berada dalam kondisi yang optimum untuk berfungsi.

Tidur berkualiti yang mencukupi (7 hingga 8 jam setiap hari) membantu sistem penghadaman berfungsi pada tahap optimum dan memberikan sokongan lebih baik kepada sistem imun.

Probiotik sebagai panduan gaya hidup sihat

Pendekatan holistik, pengambilan probiotik, digabungkan dengan pemakanan sihat dan seimbang, senaman teratur dan tidur berkualiti, boleh membantu untuk menguatkan sistem imun kita untuk melawan penyakit. 

Pendekatan sempurna ini adalah penting bukan hanya semasa pandemik COVID-19 tetapi mengurangkan risiko kita kepada penyakit tidak berjangkit yang boleh dielakkan, seperti obesiti, diabetes, penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan kanser. 

Ketika pandemik ini, amatlah penting untuk kita mula melabur dalam kesihatan!

Dapatkan maklumat profesional daripada Program Pendidikan Probiotik anjuran Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) (http://nutriweb.org.my/probiotics/).

Artikel ini disumbangkan oleh Program Pendidikan Probiotik (PEP) oleh NSM dan disokong oleh VITAGEN Malaysia. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang aktiviti PEP, lawati www.nutriweb.org.my/probiotics

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 10:49 AM