IBU hamil perlu mengawal pemakanan untuk mengelakkan berat badan naik mendadak.
IBU hamil perlu mengawal pemakanan untuk mengelakkan berat badan naik mendadak.
Yusliza Yakimir Abd Talib


“MAKANLAH lebih sikit, kamu kan makan untuk dua orang”. Ungkapan ini pasti sudah biasa didengar mana-mana wanita hamil daripada orang sekeliling, bahkan sebut saja makanan yang anda teringin nikmati, tidak mustahil terhidang di depan mata.

Pendek kata, sebaik saja orang sekeliling tahu anda hamil, pesta makanan pun bermula. Daripada makan sepinggan nasi, anda pula biasanya ‘diarah’ makan berganda daripada biasa.

Bagaimanapun, menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital KPJ Tawakal Dr Patricia Lim, sebenarnya anggapan wanita hamil perlu makan lebih tidak begitu tepat kerana keperluan kalori mereka hanya bertambah kira-kira 240 kalori sahaja.

Katanya, pertambahan kalori itu juga hanya berlaku selepas masuk trimester kedua, bukan pada awal kehamilan.

“Tambahan 240 kalori itu sebenarnya hanya bersamaan segelas susu, minuman coklat atau dua keping roti saja. Jadi, secara dasarnya keperluan makanan tidaklah bertambah mendadak seperti yang selalu disangkakan.

“Mungkin agak sukar untuk menolak begitu banyak hidangan enak di negara kita ini tapi sebaik-baiknya ibu hamil perlu pandai mengawal pemakanan mereka kerana bimbang jika pengambilan makanan terutama makanan tinggi gula, karbohidrat, lemak dan garam berlebihan akan menyebabkan kenaikan berat badan mendadak sepanjang kehamilan,” katanya.

Menurutnya, untuk wanita hamil yang memiliki indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 25, pertambahan berat badan sepanjang kehamilan sepatutnya antara 10 kilogram (kg) hingga 15kg saja.

Bagi kategori obesiti atau BMI melebihi 25 pula, kenaikan berat badan mereka seharusnya antara 5kg hingga 9kg saja.

Katanya, kenaikan berat semasa tempoh trimester pertama kehamilan biasanya tidak berlaku dengan ketara kerana waktu itu keperluan kalori tidak meningkat.

Kebanyakan wanita juga katanya mengalami alahan mengandung semasa trimester ini, jadi selera makan mungkin berkurang, muntah dan loya malah ada juga yang berat badannya menurun.

“Keadaan ini tidak perlu dirisaukan kecuali muntah teruk hingga memerlukan kemasukan ke hospital atau perlu dimasukkan air dalam badan. Bagaimanapun, tiada masalah jika berat hanya turun sekilo atau 2kg, mahupun berat langsung tidak naik semasa trimester pertama.

“Biasanya, kita mula memantau berat badan ibu hamil pada trimester kedua dan ketiga. Jika berlaku pertambahan berat mendadak perlu buat pemeriksaan untuk memastikan mereka tidak menghidap kencing manis.

“Selalunya kita akan buat pemeriksaan pada 24 minggu ke atas kecuali jika ibu hamil pernah ada sejarah kencing manis pada kandungan sebelum ini, mungkin memerlukan pemeriksaan dan pemantauan lebih awal,” katanya.

Ini kerana, menurutnya, ibu hamil yang menghidap kencing manis berisiko bayi terlalu besar dan apa yang membimbangkan bayi besar akan tersangkut di bahu ketika proses bersalin.

Keadaan ini amat membahayakan kerana apabila terlalu lama bayi tersangkut menyebabkan kekurangan oksigen, hingga mungkin perlu pembedahan kecemasan.

Akibat paling teruk menyebabkan masalah IQ rendah, cerebral palsy mahupun kematian jika keadaan ini berlanjutan.

Dr Patricia turut menasihatkan agar ibu hamil mengawal peningkatan berat badan semasa mengandung dengan makan makanan seimbang dan mengandungi semua zat makanan yang diperlukan ibu dan bayi.

Katanya, ibu hamil juga perlu makan sikit-sikit tapi kerap dan bijak memilih makanan yang perlu saja. Perlu diingatkan bahawa tiada tambahan yang banyak dalam kalori makanan semasa mengandung mahupun persepsi ‘perlu makan berganda untuk dua orang’.

“Pengalaman saya merawat ibu hamil, memang ramai di kalangan mereka yang bertambah berat badan mendadak pada kehamilan pertama. Ini mungkin disebabkan mereka tiada pengalaman atau apabila mengandung anak pertama mulalah semua orang di sekelilingnya akan suruh ibu ini makan berlebihan.

“Saya pernah tangani 10 pesakit yang mengandung anak pertama dengan kenaikan berat badan lebih 20kg. Salah seorang daripanyada mempunyai bayi seberat 4.2kg hingga terpaksa dilakukan pembedahan Caesarean,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kebanyakan wanita hamil juga menganggap mereka perlu banyak berehat dan tak boleh lakukan kerja berat menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada bersenam, berjalan dan naik tangga.

Sebaliknya beliau berkata, senaman ringan seperti berenang, berjalan cepat, joging ringan dan yoga amat digalakkan semasa hamil malah antara cara mengawal berat badan daripada naik mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 5:01 AM