IBU hamil perlukan makanan seimbang.
IBU hamil perlukan makanan seimbang.
Intan Mas Ayu Shahimi

Berita kehamilan lazimnya membuai perasaan ramai wanita berkahwin. Selain menanti kelahiran cahaya mata, tempoh ini dianggap waktu terbaik untuk mereka menikmati pelbagai sajian enak tanpa dibebani rasa bersalah.

Sepanjang tempoh ini, suami dikatakan lebih prihatin terhadap selera pasangannya. Alasan utama adalah untuk memenuhi keinginan bayi dalam rahim, di samping menghargai susah payah isteri mengandung selama lebih sembilan bulan.

Tidak kira apa pun alasan diberi, kehamilan sebenarnya adalah tempoh kritikal untuk menentukan masa depan bayi dan tahap kesihatan jangka panjang bagi ibu itu sendiri.

Ramai wanita menganggap mereka perlu makan untuk dua orang sepanjang tempoh hamil, namun sebenarnya pendapat itu tidak tepat dan boleh dianggap mitos semata-mata.

Menurut Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Tropicana, Ginny Tan Gin Wei, konsep makan untuk dua orang sebenarnya boleh membawa kesan buruk terhadap ibu dan bayi.

“Biasanya, wanita yang mengamalkan konsep pemakanan sebegini cenderung terlebih makan. Apabila ini berlaku, berat mereka akan naik terlampau banyak dan mendatangkan risiko komplikasi kepada diri.

“Ibu mungkin boleh mendapat penyakit kencing manis ketika mengandung (diabetes gestasi), hipertensi dan praeklampsia pada trimester ketiga. Sebab itulah perihal pemakanan ibu mengandung perlu diberi perhatian serius,” katanya.

1,000 Hari pertama

Kata Ginny, kesedaran mengenai diet sihat sepanjang tempoh hamil menarik ramai wanita untuk lebih mencari jawapan tepat mengenai makanan terbaik bagi mengelakkan risiko berat berlebihan.

“Ada konsep yang kita sebut sebagai 1,000 hari pertama bayi. Ia bermula daripada hari pertama janin, melewati tempoh kehamilan selama 40 minggu dan berakhir apabila bayi berkenaan mencecah usia dua tahun.

“Tempoh ini amat penting untuk tumbesaran bayi. Semua nutrisi yang diambil ibu sepanjang kehamilan dan diberi kepada bayi, sangat penting. Seribu hari pertama inilah yang menentukan sejauh mana perkembangan otak dan fizikal anak-anak,” katanya.

Jelas Ginny, ibu hamil sepatutnya memastikan pengambilan diet seimbang dan pelbagai untuk mengekalkan kesihatan diri serta menyokong perkembangan bayi di dalam rahim.

GINNY menerangkan mengenai pemakanan sihat wanita hamil.
GINNY menerangkan mengenai pemakanan sihat wanita hamil.

“Ada sesetengah makanan yang kita ketahui memang sangat bagus, kaya nutrisi, berkhasiat dan tinggi vitamin. Bagaimanapun, ia tidak perlu diambil dalam kuantiti yang banyak atau kerap. Ini kerana tidak kira sebagus mana makanan berkenaan, jika terlebih makan, ia mungkin tidak memberi manfaat yang optimum.

“Sebab itu pentingnya pengambilan makanan seimbang secara sederhana. Jika kita berpegang kepada kedua-dua ini, sudah pasti kesannya bagus. Bagaimanapun, ramai yang kurang faham mengenai maksud seimbang.

“Hidangan seimbang perlu ada variasi makanan. Contohnya, sumber karbohidrat boleh jadi nasi, mi atau bihun. Protein pula daripada ayam, ikan dan tauhu. Kemudian, pilih sayur, buah dan produk tenusu.

“Berbeza dengan wanita lain, ibu memerlukan sumber tenusu untuk pengambilan kalsium harian. Jadi, sekiranya mahu tempoh kehamilan berjalan lancar, pastikan ibu mengamalkan diet seimbang dan mempunyai variasi dalam setiap kumpulan makanan,” katanya.

Katanya, sesetengah sumber nutrien perlu diambil lebih tinggi berbanding biasa, seperti kalsium. Namun tidak bermakna ibu perlu menggandakan saiz hidangan atau makan dengan banyak.

“Satu atau dua hidangan dalam saiz yang kecil sudah memadai untuk menampung keperluan mereka. Bagi mendapatkan cadangan pemakanan sihat untuk ibu hamil, kita boleh merujuk kepada Amalan Pinggan Sihat Malaysia iaitu, suku-suku-separuh.

“Suku pinggan adalah sumber karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin dan ubi kentang; suku lagi protein ikan, ayam dan kekacang; separuh adalah sayur dan buah. Ini yang dikatakan diet seimbang.

“Jika bertanya saya mengenai pengambilan lemak, ia biasanya terkandung dalam cara masakan seperti menggoreng, merebus dan sebagainya,” katanya.

Kalori tambahan

Kembali kepada mitos makan untuk dua, Ginny berkata, keadaan itu biasanya berlaku ketika wanita sudah mencapai tempoh kehamilan trimester kedua dan ketiga.

“Bagi wanita hamil, mereka memerlukan antara 1,500 ke 1,800 kalori sehari. Jadi, apabila sampai trimester kedua, mereka biasanya memerlukan tambahan 300 kalori sehari dan trimester ketiga pula 500 kalori sehari.

“Ada yang beranggapan awal kehamilan, ibu perlu makan dalam kuantiti yang banyak. Sebenarnya, ia bergantung kepada gaya hidup masing-masing. Awal kehamilan mungkin agak sukar bagi golongan ibu yang mengalami alahan, tetapi mereka masih perlu mengamalkan diet seimbang.

“Apabila alahan sudah reda, beri perhatian kepada keperluan kalori tambahan untuk trimester kedua dan ketiga. Untuk 300 kalori tidak memerlukan makanan yang banyak. Hanya semangkuk mi sup (sup jernih) atau secawan setengah yogurt atau sepinggan badam.

“Manakala 500 kalori boleh jadi sepinggan laksa atau semangkuk mi wantan. Kalori tambahan ini boleh diambil dalam bentuk satu hidangan lengkap atau makan secara kerap dalam kuantiti yang sedikit. Ambil satu perempat bahagian yang diperlukan pada waktu sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

“Ibu boleh memilih sama ada sepaket biskut, kekacang dan sebagainya. Perlu diingat bahawa bahagian makanan yang perlu diambil tidaklah sebanyak yang disangka,” katanya.

HADKAN pengambilan kafein.
HADKAN pengambilan kafein.

Ginny berkata, pengambilan diet tidak sihat mungkin tidak menunjukkan kesan luaran yang ketara, tetapi ia boleh menjejaskan tumbesaran bayi. Antara risiko adalah bayi mungkin dilahirkan tidak cukup bulan atau terlalu besar hingga mengganggu proses kelahiran.

“Mungkin ramai ibu tidak tahu, jika bayi dilahirkan bersaiz besar, dia cenderung menjadi berdepan masalah berat berlebihan apabila dewasa kelak. Justeru, penting untuk ibu mengekalkan kenaikan berat badan sihat semasa tempoh mengandung.

“Elakkan risiko diabetes semasa hamil. Jika penyakit ini tidak kawal dengan baik, diabetes gestasi boleh bertukar menjadi diabetes jenis kedua (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) walaupun selepas bayi dilahirkan,” katanya.

Mitos lama

Dalam pada itu, Ginny turut menjelaskan beberapa andaian berhubung pemakanan yang dilarang sepanjang tempoh kehamilan. Antaranya adalah berkaitan dengan tabiat minum ais, makan nanas, kicap dan serta sumber soya.

“Kalau hendak diikutkan, memang banyak pantang larang orang dulu-dulu yang masih disampaikan dari mulut ke mulut hingga hari ini. Perlu dijelaskan bahawa tidak ada kesan saintifik yang mengatakan minum ais dan makan makanan masam boleh menjejaskan kehamilan.

“Makanan tidak akan menyebabkan keguguran bayi. Ia lazimnya berlaku disebabkan kecacatan janin. Begitupun, keguguran masih boleh berlaku disebabkan pengambilan bahan tenusu yang tidak dipasteur.

“Susu, keju atau apa saja produk tenusu yang tidak dipasteur berkemungkinan mengandungi bakteria listeria. Bakteria ini boleh menjejaskan plasenta, sekali gus memberi kesan buruk kepada bayi. Kesan jangkitan mungkin boleh menyebabkan kelahiran pramatang, keguguran, keracunan dalam darah dan sebagainya.

“Begitu juga dengan daging mentah atau telur separuh masak. Sebaiknya, cuba elak makanan yang tidak dimasak sepenuhnya kerana ia mungkin mengandungi bakteria samonella dan listeria.

“Makanan mentah bahaya kepada ibu hamil kerana boleh menyebabkan cirit-biri, keguguran dan risiko penyakit respiratori dalam kalangan bayi baru lahir,” katanya.

Berbeza pula dengan nanas, Ginny berkata, buah tropika itu sebenarnya tidak berbahaya kepada kandungan mahupun ibu hamil sekiranya diambil dalam kuantiti sederhana.

“Apa yang dibimbangkan adalah kandungan komponen yang disebut bromelain. Ia adalah sejenis enzim yang boleh menyebabkan leher rahim lemah dan berlakunya kontraksi.

“Keadaan ini bagaimanapun berlaku jika ibu mengambilnya dalam jumlah yang sangat banyak. Jika sedikit, biasanya ia tidak memberi sebarang kesan,” katanya.

Menjawab sama ada pengambilan soya, kopi dan kicap boleh mempengaruhi warna kulit bayi, sebagaimana selalu diingatkan kepada ramai ibu bapa muda, Ginny menolak teori berkenaan mentah-mentah.

“Itu mitos! Sebenarnya, warna kulit bayi ditentukan oleh genetik. Kalau ibu bapa berkulit gelap, tidak mungkin sumber soya boleh menjadikan kulit bayi mereka cerah.

“Ada juga ibu bapa yang cerah, tetapi mereka dapat anak berkulit gelap. Ini berlaku disebabkan gen resesif. Anak itu akan dilahirkan dengan kulit yang lebih gelap. Sama ada soya, kopi atau kicap, anak tidak akan terjejas dengan makanan sebegini. Makanan bukan penentu warna kulit bayi.

“Cuma, penting diingatkan ibu perlu mengehadkan pengambilan minuman mengandungi kafein kepada 200 miligram saja sehari. Kata mudahnya, hanya secawan kopi atau teh sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:16 AM