Yusliza Yakimir Abd Talib


KEADAAN persekitaran yang dikelilingi sumber pencemaran terutama habuk dan pancaran cahaya matahari membuatkan kulit mengalami pelbagai masalah sama ada pigmentasi, jerawat serta ton kulit tidak sekata.

Oleh itu, melakukan perawatan kulit wajah mungkin antara penyelesaian masalah yang dihadapi, paling tidak dengan menggunakan pupur dan juga melakukan rawatan wajah di klinik kecantikan.

Bagaimanapun, kini terdapat rawatan wajah menggunakan teknologi tinggi yang bukan saja memberi hasil positif malah tidak menyakitkan wajah ketika prosedur.

Rawatan hydraoxyglow C antara yang disediakan di DR Medispa & Wellness Reko Sentral Kajang yang menggabungkan dua rawatan wajah iaitu ‘hydrafacial’ dan ‘oxygen-facial’.

Mudah, selamat, tidak menyakitkan, cepat dan efektif, daripada namanya saja sudah boleh dibuat kesimpulan bahawa rawatannya menumpukan kepada air.

Oleh itu, ia lebih selamat, berkesan dan seperti yang kita semua sedia maklum air memang ‘ubat’ paling mujarab untuk mendapatkan kulit yang cantik.

Menurut pengasasnya, Dr Azirawaty Mohd Tadzi, kaedah ini bukan saja boleh merawat bintik putih dan hitam, ia juga untuk mengurangkan garis halus, kulit kurang anjal, warna kulit tidak sekata, kulit kering, bekas jerawat dan pigmentasi.

Katanya, hydrafacial membabitkan proses penghidratan dan pengelupasan halus pada kulit melalui teknik pusaran sedutan.

Menggunakan alat yang berfungsi untuk menghakis kulit dan membuang kekotoran, tetapi tanpa menggunakan jarum atau teknik yang menyakitkan.

1. WAJAH disapu krim pupur.
1. WAJAH disapu krim pupur.

“Rawatan baru ini adalah inovasi daripada hydrafacial sedia ada yang turut menggunakan air dalam proses yang memakan masa 90 minit.

“Penggunaan vakum mini pula membantu menanggalkan sel kulit mati bagi membersihkan liang roma tersumbat, merangsang kulit baru yang lebih bersih dan segar,” katanya.

Menurutnya, apabila masalah kulit terus dibiarkan dan tidak dirawat dengan kaedah yang betul, sel kulit seseorang individu itu akan rosak dan proses penuaan bermula walaupun usia masih muda.

Katanya, jika sebelum ini kaedah mikro derma abrasi digunakan untuk mendapatkan kulit muka yang sihat, namun ia menyebabkan kulit merah dan pedih.

Bagaimanapun katanya, perawatan boleh dikatakan kurang risiko malah selepas rawatan, pelanggan boleh terus menggunakan alat solek seperti biasa dan keluar ke mana saja.

Menurut Dr Azirawaty, sesiapa saja boleh mencuba rawatan ini sama ada kulit sensitif, berjerawat dan apa saja jenis masalah kulit. Cuma tempoh rawatan mengambil masa yang lebih lama bagi kulit yang bermasalah untuk kesan optimum.

“Hydrafacial berfungsi menerusi proses penyingkiran sel kulit mati dan kotoran. Pada masa sama, ia membersihkan, melembap dan menyerap serum yang baik untuk kulit.

“Kebiasaannya, pelanggan akan berasa tenang, sejuk, segar dan langsung tidak menyakitkan ketika prosedur berlangsung,” katanya.

Katanya, proses perawatan bermula dengan mencuci muka dan menggunakan teknik ekfoliasi berganda. Wajah kemudiannya disapukan pupur dan diwap untuk membuka pori dengan lembut.

Selepas wajah dibersihkan, prosedur sedutan vakum dimulakan untuk membersihkan dan melonggarkan liang roma supaya mudah segala kotoran dan kulit mati keluar.

Prosedur hydrafacial dimulakan menggunakan sejenis alat bagi memudahkan resapan serum ke dalam kulit terdiri daripada campuran serum dan antioksidan yang membantu melembapkan kulit.

Bagaimanapun, katanya, campuran digunakan tidak sama bagi setiap masalah wajah yang berbeza namun bahan asasnya menggunakan air.

Selepas itu, rawatan diteruskan dengan teknik gauze berganda iaitu menyapukan gel campuran cecair daun lidah buaya dan asid hialuronik disusuli lapisan gauze. Gel disapu lagi atas gauze dan lapisan kedua gauze diletakkan di atasnya.

Selepas lapisan ditanggalkan, proses ultrasonik menggunakan alatan khas untuk merangsang sel bawah kulit, sekali gus membantu merawatnya dari dalam. Proses seterusnya oxygen-facial (menggunakan oksigen) yang bertujuan menyerlahkan dan menjadikan kulit lebih bersinar. Prosedur diakhiri dengan memasang topeng muka LED yang berfungsi mematikan kuman dan bakteria pada wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 7:31 AM