CLINIQUE perkenalkan francais Turnaround Revitalizing yang membantu membaiki kulit secara semula jadi dengan menekankan aspek pembaharuan sel.
CLINIQUE perkenalkan francais Turnaround Revitalizing yang membantu membaiki kulit secara semula jadi dengan menekankan aspek pembaharuan sel.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Letih sering dijadikan alasan untuk culas menjaga penampilan. Letih juga kerap diletakkan sebagai punca kepada kegagalan penjagaan wajah dan tubuh yang sepatutnya diberikan perhatian khusus setiap hari.

Letih kerana penat bekerja, letih kerana menjaga si kecil dan letih kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari. Lantaran itu, faktor keletihan seterusnya diangkat sebagai punca malas untuk menitikberatkan penjagaan dan kesihatan diri.

Bak ungkapan ikonik Helena Rubinstein, legenda kecantikan dunia, tiada wanita hodoh di dunia cuma yang malas saja cukup menerang­kan bahawa wanita tampil tidak berseri dan kurang menarik apabila malas mula menguasai diri.

Benar, faktor keletihan itu perlu diambil kira sebagai tunjangnya malah barisan pakar tidak menafikan keletihan yang dialami setiap hari membuatkan seseorang wanita itu hilang tenaga untuk terus tampil menawan.

Ketidakupayaan atau hilang tenaga inilah yang kemudian membuatkan wanita mula mengabaikan rejim penjagaan diri khususnya wajah lalu menyebabkan munculnya tanda awal penuaan.

Seperti apa yang dipersembahkan oleh Clinique kepada media Asia sempena sesi pengenalan rangkaian Turnaround Revitalizing di Hong Kong baru-baru ini, faktor keletihan dan tekanan menjadi antara penyumbang utama kepada masalah ini yang biasanya membuatkan kulit menjadi kusam serta tidak bermaya.

Tidur tidak terkecuali memainkan peranan penting bagi mengembalikan kesihatan kulit. Kurang tidur atau tekanan boleh mempengaruhi tahap aktiviti adrenal seterusnya kesihatan kulit.

Apabila tubuh kekurangan tidur, tahap kelembapan kulit akan berkurangan, seterusnya akan merosakkan struktur kulit, menjadikan kulit lebih kering, kasar dan berkedut.

Justeru, tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari dapat memastikan kulit sihat dan bermaya setiap pagi.

Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin, jamu, ginseng dan sebagainya dapat membantu membekalkan tenaga yang diperlukan tetapi pada masa sama ia perlu seiring dengan usaha semula jadi.

Jelas Pengarah Eksekutif Fisiologi dan Farmakologi Kulit Clinique Dr Tom Mammone, kebanyakan wanita menyatakan kulit kusam dan tidak bermaya sebagai salah satu daripada kebimbangan utama mereka membabitkan kulit wajah.

Tidak kurang pula yang mengatakan keadaan kusam itu lebih merujuk kepada masalah penampilan berbanding faktor keadaan atau masalah kulit yang dialaminya.

“Tanda ketara kelesuan seperti kulit kusam dan kasar berupaya membuatkan penampilan wajah tampak keletihan, kurang bertenaga dan tidak bermaya.

“Ada pelbagai faktor yang menyebabkan kulit keletihan seperti pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan, kurang air, kurang tidur, kurang rehat dan tekanan luar yang membuatkan proses pemulihan sel kulit menjadi perlahan,” katanya.

Glukosamina, asid salisilik, ekstrak bran beras dan ekstrak clary sage antara bahan utama yang digunakan dalam rangkaian Turnaround Revitalizing ini.

Kombinasi semua bahan itu memberikan kulit dos tenaga yang diperlukan tiga tahap penting dalam proses pembaharuan sel seperti yang ditekankan dalam penghasilan rangkaian ini.

Secara umumnya, wujud tiga tahap penting dalam proses pembaharuan sel iaitu divisyen sel, kematangan dan pendeskuaman (desquamation).

Pembahagian sel atau divisyen sel adalah proses di mana lapisan kulit baru dihasilkan. Ini berlaku setiap 24 jam dan direka untuk menukar sel yang rosak kepada yang sihat.

Pada peringkat kematangan, sel kulit menjadi lebih khusus yang membolehkannya melaksanakan fungsi biologi dengan lebih efektif untuk mengekalkan kulit yang sihat dan berseri.

Pendeskuaman pula ialah proses menanggalkan sel luar epitelium, terutama daripada kulit atau membran mukus dalam bentuk sisik dan kadangkala kepingan kecil.

“Setiap hari kulit kita akan mengharungi peringkat ini. Sel kulit yang tidak sihat akan jatuh kerana ia tak mampu lagi melakukan tugasannya.

“Satu lapisan sel baru terbentuk di pangkal epidermis dan menolak sel kulit lama ke permukaan yang ia akhirnya mengelupas sama ada secara kita sedari atau tidak.

“Dan di sinilah pentingnya mengamalkan rejim penjagaan wajah yang membabitkan pembersihan, pe­ngelupasan dan pelembap dua kali sehari agar kulit kelihatan lebih sihat serta berseri,” tambahnya.

Kulit berseri dengan enam langkah

Menerusi rejim penjagaan wajah yang teratur, ia dapat membantu mengurangkan masalah terbabit, sekali gus memberikan penampilan kulit yang sihat dan berseri.

Seperti apa yang dipersembahkan Clinique menerusi rangkaian Turnaround Revitalizing ini, keadaan kulit diperbaiki secara semula jadi menerusi teknologi terkini yang menekankan pembaharuan sel.

Menurut Naib Presiden Kanan, Pembangunan Produk Global Clinique Janet Pardo, francais Turnaround Revitalizing ini sesuai untuk semua tanpa mengenal usia dan jenis kulit.

“Walaupun ia lebih kepada pemulihan dan penjagaan wajah bersifat antipenuaan, rangkaian Turnaround Revitalizing ini sesuai untuk semua. Berdasarkan keadaan kulit individu, kami syorkan diadakan rundi­ngan dengan pakar terlebih dulu agar rejim khusus dapat diberikan bagi memenuhi keperluan kulit individu itu.

“Rangkaian baru ini mempunyai produk menarik seperti losen berair dan minyak wajah yang sebelum ini jarang diberi perhatian oleh Clinique.

“Kami berusaha menghasilkan produk inovasi de­ngan mengenal pasti trend dan memahami tabiat peng­guna global. Apabila kami lakukan kaji selidik di Asia, khususnya beberapa negara yang mempu­nyai pasaran penjagaan wajah terbesar dunia, kami dapati wanita­nya cenderung meng­gunakan purata tujuh ke lapan produk penjagaan kulit wajah.

“Produk seperti losen berair dan mi­nyak rawatan menjadi sebahagian daripada ritual ini. Hasil inspirasi daripada penjagaan wajah wanita Asia yang ekstensif ini, kami adaptasi konsep itu lalu menghasilkan produk yang mudah disesuaikan dalam apa jua rejim penjagaan wajah,” katanya.

Enam produk diberikan penekanan untuk mendapatkan hasil optimum ia­itu losen, minyak rawatan, pe­lembap siang, pelembap malam, serum dan pembersih wajah.

Turnaround Revitalizing Lotion mengambil inspirasi daripada ritual kecantikan wanita Asia yang keba­nyakannya menggunakan losen cecair selepas membersihkan wajah.

Losen dengan formula bebas alkohol dan bebas minyak ini dicipta untuk meningkatkan tenaga dalaman kulit menerusi proses metabolik pembaharuan sel semula jadi.

Turnaround Revitalizing Treatment Oil dihasilkan bagi menggalakkan pemulihan tekstur kulit agar lebih berseri.

Buat pertama kali, asid salisilik digunakan dalam minyak rawatan dan ia membantu melegakan kekeringan kulit. Dengan penggunaan berterusan, pertahanan lembapan kulit dapat dipertingkatkan.

Turnaround Daytime Revitalizing Moisturizer ialah pelembap untuk kegunaan waktu siang yang memberikan lembapan diperlukan tanpa membebankan kulit. Dirumus bebas minyak, ia membantu meningkatkan pancaran optik kulit lalu menjadikan ton kulit lebih sekata dan berseri.

Sementara Turnaround Overnight Revitalizing Moisturizer memulihkan struktur dalaman kulit ketika kita tidur, selain membantu membekalkan lembapan berterusan dan menggalakkan proses pembaharuan sel menerusi teknologi berpaten RNA Fragments.

Tidak dilupakan Turnaround Revitalizing Serum yang membantu melicinkan tiga proses pembaharuan terbabit - divisyen sel, kematangan dan pendeskuaman - dengan kandungan bahan aktif seperti kafein, ekstrak clary sage, ekstrak buah berangan dan ekstrak ­saccharomyces lysate.

Dan Turnaround Revitalizing Instant Facial pula bertindak seperti pupur yang membantu memberikan penampilan lebih bertenaga pada kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:45 AM