CLINIQUE hasilkan rangkaian penjagaan wajah Turnaround Revitalizing bagi membantu menjana semula sel dalaman kulit.
CLINIQUE hasilkan rangkaian penjagaan wajah Turnaround Revitalizing bagi membantu menjana semula sel dalaman kulit.
Oleh Nor Faizah Mohamed

(Yang mengikuti kunjungan media Asia ke Hong Kong atas undangan Clinique)

Apakah definisi wajah berseri bagi anda? Bagi penulis, tidur atau rehat yang cukup bersama rutin penjagaan wajah teratur, juga olesan krim BB dan solekan ringkas menjadi definisi terutama saat diri menjangkau usia ke tiga siri.

Sememangnya faktor usia dan persekitaran boleh mengakibatkan perubahan pada penampilan kulit khususnya pada wajah.

Tekanan dan faktor keletihan turut menyumbang kepada masalah ini yang biasanya membuatkan kulit menjadi kusam serta tidak bermaya.

Tidur tidak terkecuali memainkan peranan penting bagi mengembalikan kesihatan kulit. Kurang tidur atau tekanan boleh mempengaruhi tahap aktiviti adrenal, seterusnya kesihatan kulit.

Apabila tubuh kekurangan tidur, tahap kelembapan kulit akan berkurangan, seterusnya akan merosakkan struktur kulit, menjadikan kulit lebih kering, kasar dan berkedut.

Justeru, tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari dapat memastikan kulit sihat dan bermaya setiap pagi.

Beberapa rakan turut menggalakkan pengambilan makanan tambahan seperti vitamin supplemen, jamu dan ginseng.

Dalam masyarakat kita, makanan tambahan ini bukan lagi perkara asing terutama jamu dan ginseng yang diamalkan sejak zaman dulu.

Ginseng dan jamu ini sering dijadikan penjana tenaga saat diri mulai lesu, selain membantu mengekalkan kesihatan dalaman tubuh.

Di samping itu, amalan jamu dan ginseng ini turut dikatakan berupaya membantu menzahirkan penampilan kulit yang lebih menarik, bebas jeragat serta antipenuaan.

Bagaimanapun, bagi penulis yang culas membancuh jamu sendiri, selain tidak begitu mahir memilih ginseng yang sesuai untuk kulit, rutin penjagaan wajah yang seimbang jadi pilihan.

Seakan-akan mengambil jamu atau ginseng, penjagaan wajah menggunakan rangkaian Turnaround Revitalizing daripada Clinique ini membantu menjana semula sel dalaman kulit.

Menerusi sesi pengenalannya kepada media Asia di Hong Kong, baru-baru ini, Clinique tampil dengan teknologi terkini bagi membantu memberikan hasil penampilan kulit yang sihat, berseri dan bebas cela.

Tanpa mengenal usia dan jenis kulit, rangkaian penjagaan wajah Turnaround Revitalizing ini menekankan pembaharuan sel yang lazimnya berlaku secara semula jadi ketika tidur.

Jelas Pengarah Eksekutif Fisiologi dan Farmakologi Kulit Clinique Dr Tom Mammone, wujud tiga tahap penting dalam proses pembaharuan sel iaitu divisyen sel, kematangan dan pendeskuaman (desquamation).

“Pembahagian sel atau divisyen sel adalah proses di mana lapisan kulit baru dihasilkan. Ini berlaku setiap 24 jam dan direka untuk menukar sel yang rosak kepada yang sihat.

“Pada peringkat kematangan, sel kulit menjadi lebih khusus yang membolehkannya melaksanakan fungsi biologi dengan lebih efektif untuk mengekalkan kulit yang sihat dan berseri.

“Pendeskuaman pula ialah proses menanggalkan sel luar epitelium, terutama daripada kulit atau membran mukus dalam bentuk sisik dan kadangkala kepingan kecil.

“Setiap hari kulit kita akan mengharungi peringkat ini. Sel kulit yang tidak sihat akan jatuh kerana ia tak mampu lagi melakukan tugasannya.

“Satu lapisan sel baru terbentuk di pangkal epidermis dan menolak sel kulit lama ke permukaan yang ia akhirnya mengelupas sama ada secara kita sedari atau tidak.

“Jadi untuk meningkatkan lagi proses ini, kami gunakan bahan tambahan untuk menggalakkan pembaharuan sel lalu mengurangkan masalah kulit rosak, kusam dan sebagainya,” katanya.

Glukosamina, asid salisilik, ekstrak bran beras dan ekstrak clary sage adalah antara bahan utama yang digunakan dalam rangkaian Turnaround Revitalizing.

“Walaupun ia bukanlah bahan baru dalam industri kecantikan, kombinasi semua bahan ini memberikan kulit dos tenaga yang diperlukan tiga tahap penting dalam proses pembaharuan sel.

“Contohnya penggunaan asid salisilik dalam Turnaround Revitalizing Treatment Oil iaitu cecair berminyak yang mengatasi masalah kulit kering.

“Ia antara cabaran bagi pasukan pembangunan produk dan penyelidikan kerana kami perlu menggabungkan kepekatan asid salisilik yang sekata untuk memastikan keberkesanannya sementara pada masa sama mengekalkan tekstur atau sifat lembut daripada formula terbabit kerana ini pertama kali kami gabungkan asid salisilik dalam minyak,” tambahnya.

Tenaga selular dikenali sebagai ATP turut diuji bagi melihat sama ada kombinasi bahan terbabit dapat memberikan kesan maksimum pada setiap produk.

Penggalak ATP ini digunakan secara meluas bagi meningkatkan lapangan semula jadi elektrik lalu menggalakkan proses penghidratan dan peremajaan kulit.

FRANCAIS TURNAROUND REVITALIZING - CLINIQUE

Tekanan, kekangan masa dan faktor alam sekitar menjadi antara punca yang membuatkan penampilan kulit menjadi kusam, tidak bermaya serta mudah mengalami masalah cela.

Menerusi rejim penjagaan wajah yang teratur, ia dapat membantu mengurangkan masalah terbabit, sekali gus memberikan penampilan kulit yang sihat dan berseri.

Seperti apa yang dipersembahkan Clinique menerusi rangkaian Turnaround Revitalizing, keadaan kulit diperbaiki secara semula jadi menerusi teknologi terkini yang menekankan pembaharuan sel.

Enam produk diberikan penekanan untuk mendapatkan hasil optimum iaitu losen, minyak rawatan, pelembap siang, pelembap malam, serum dan pembersih wajah.

Turnaround Revitalizing Lotion

Inspirasi daripada ritual kecantikan wanita Asia yang kebanyakannya menggunakan losen cecair selepas membersihkan wajah.

Losen dengan formula bebas alkohol dan bebas minyak ini dicipta untuk meningkatkan tenaga dalaman kulit menerusi proses metabolik pembaharuan sel semula jadi.

Turnaround Revitalizing Treatment Oil

Clinique sedar pentingnya penghasilan sel baru untuk kulit yang lebih menarik dan sihat. Minyak rawatan ini dihasilkan bagi menggalakkan pemulihan tekstur kulit agar lebih berseri.

Buat pertama kali, asid salisilik digunakan dalam minyak rawatan dan ia membantu melegakan kekeringan kulit. Dengan penggunaan berterusan, pertahanan lembapan kulit dapat dipertingkatkan.

Turnaround Daytime Revitalizing Moisturizer

Keadaan kulit yang tidak sihat dan bermasalah akan mudah dilihat apabila diri mengalami tekanan, kurang rehat serta dehidrasi.

Pelembap untuk kegunaan waktu siang ini memberikan lembapan yang diperlukan tanpa membebankan kulit. Dirumus bebas minyak, ia membantu meningkatkan pancaran optik kulit yang menjadikan ton kulit lebih sekata dan berseri.

Turnaround Overnight Revitalizing Moisturizer

Masa terbaik untuk kulit memulihkan struktur dalamannya ialah ketika tidur kerana saat itu ia bebas daripada tekanan dan ancaman persekitaran.

Pelembap untuk sapuan pada waktu malam ini membantu membekalkan lembapan berterusan dan menggalakkan proses pembaharuan sel menerusi teknologi berpaten RNA Fragments.

Turnaround Revitalizing Serum

Tingkatkan proses penghasilan kulit baru dengan tiga tahap penting dalam proses pembaharuan sel iaitu divisyen sel, kematangan dan pendeskuaman.

Serum yang boleh digunakan bersama rejim penjagaan wajah tiga langkah yang menjadi tanda pengenalan Clinique ini membantu melicinkan tiga proses pembaharuan terbabit dengan kandungan bahan aktif seperti kafein, ekstrak clary sage, ekstrak buah berangan dan ekstrak saccharomyces lysate.

Turnaround Revitalizing Instant Facial

Cuma lima minit diperlukan untuk memanjakan kulit dengan pembersih wajah ini. Ia digunakan seperti pupur yang membantu memberikan penampilan lebih bertenaga pada kulit.

Ekstrak bran beras dan ekstrak buah berangan membantu mengekang radikal bebas sementara pada masa sama menenangkan kulit serta mengurangkan masalah keradangan atau kemerahan yang sering berlaku disebabkan selaran matahari setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 2:24 PM