IDAYU. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
IDAYU. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
Sudirman Mohd Tahir


Keputusan bekas bintang Akademi Fantasia musim ketiga Idayu menyertai program AF Megastar dianggap berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai juara.

Lebih manis apabila kemenangan Idayu atau nama sebenarnya Nor Farah Idayu Yaakub, 32, itu mengubat kekecewaan 12 tahun lalu apabila dia tersingkir pada minggu keempat.

Kejayaan yang diraih itu juga sekali gus menepis stigma segelintir masyarakat yang menjadikan rupa dan penampilan sebagai sandaran utama untuk bergelar penyanyi.

Jika dahulu bakat Idayu dinafikan akibat mangsa dan permainan undian, tidak pada AF Megastar lalu apabila juri lebih memandang tinggi bakat lulusan muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

“Apa yang berlaku dulu biarlah tinggal kenangan. Malah ketika AF3 saya belajar banyak perkara. Setiap satunya pengalaman yang lebih mematangkan saya. Jika tidak, saya takkan berada di kedudukan sekarang.

“Sejujurnya, saya sedih apabila tersingkir. Sebabnya saya nak juga merasa sampai peringkat akhir. Soal menang atau kalau, bukan perkara utama. Namun kekalahan itu sama sekali tidak buat saya mengalah atau patah semangat.

“Saya terus mencuba dengan menghasilkan beberapa single dan sebuah album. Sekali lagi bukan rezeki saya.

“Jadi, apabila bersetuju bertanding dalam AF Megastar, dalam fikiran saya hanyalah ingin memberikan persembahan terbaik. Dahulu saya tidak berpeluang menonjolkan bakat sebenar. Jadi, AF Megastar adalah pentas terbaik saya. Bukan nak mendabik dada atau menunjukkan diri bagus tetapi lebih kepada untuk membuktikan kemampuan diri,” katanya.

Idayu yang dikenali dengan teknik vokal ‘whistle’ menyifatkan segala diterima sekarang adalah peluang kedua untuknya.

“Semua penyanyi yang bertanding pada AF Megastar sememangnya bukan calang-calang. Mereka terpilih daripada puluhan bekas bintang AF yang ada.

“Apabila saya menang, ini yang dikatakan rezeki. Jadi, saya sangat bersyukur memperoleh peluang kedua bagi merencana karier dengan lebih baik.

“Sekurang-kurangnya, saya hadir semula dengan sedikit ilmu. Saya sudah tahu selok-belok dunia seni meski sudah lama menyepi. Paling penting, saya belajar apa yang boleh dilakukan serta apa yang tidak,” katanya.

IDAYU. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
IDAYU. FOTO Nizar Hafiz Mustafa

Apa yang pasti, kemunculan semula Idayu dalam bidang nyanyian sememangnya ditunggu ramai.

Peminat yang dahulu turut hilang kini kembali memberi sokongan kepada Idayu. Misi mereka hanya satu iaitu ingin meletakkan Idayu sebaris dengan penyanyi hebat sedia ada.

“Sebenarnya ramai gembira apabila saya muncul dalam pertandingan ini. Jika dahulu mereka kecewa, sekarang tidak lagi. Jadi, saya dapat mengumpul peminat semula.

“Saya boleh nampak bagaimana keterujaan mereka. Bagi saya, program ini satu platform yang bagus untuk saya membuat kemunculan semula,” katanya.

Menariknya mengenai Idayu, dia menjadi satu-satunya penyanyi dan peserta program realiti di Malaysia yang mendapat ‘standing ovation’ daripada pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS sepanjang kerjayanya.

Harap cahaya mata

Idayu yang muncul dengan single Selamanya ciptaan rakan seangkatannya dalam AF3, Amelya berkata dia kini giat mempromosikan lagu itu.

“Fokus saya sekarang adalah karier. Kalau boleh saya nak menghasilkan sebuah album penuh sebagai hadiah buat peminat. Kalau ada peluang, saya mahu melancarkan semula album yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Jadi, dengan peluang yang diberikan ini ada baiknya saya fokus menyanyi daripada mencuba nasib dalam lakonan. Saya kena buat betul-betul kali ini,” katanya.

Menyentuh sisi peribadinya, Idayu yang sudah berkahwin selama tiga tahun dengan suami tercinta, Shahrul Fadzil, 33, sentiasa berdoa dikurniakan cahaya mata.

“Siapa yang tidak mahukan anak, cuma belum rezeki kami. Saya dan suami sentiasa berdoa dikurniakan zuriat. Lambat atau cepat, ia ketentuan Allah.

“Sejak membuat kemunculan, ramai yang bertanya saya sudah ada berapa anak. Mungkin disebabkan saiz badan saya mereka bertanyakan soalan berkenaan. Saya tak terasa pun. Cuma selalu meminta mereka mendoakan yang terbaik untuk saya dan suami,” katanya.

Pada masa sama, suami Idayu bertindak sebagai pengurusnya sementara mencari pengurus dan syarikat rakaman.

“Buat masa ini, saya selesa diuruskan suami apatah lagi sekarang sedang mengumpul material album baru.

“Perancangan untuk mencari pengurus dan label rakaman memang ada, cuma belum dapat kata putus lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 2:20 AM