BARISAN jawatankuasa yayasan diketuai Budiman (tiga dari kanan).
BARISAN jawatankuasa yayasan diketuai Budiman (tiga dari kanan).
BUDIMAN bertanyakan khabar kanak-kanak pesakit kanser dalam lawatan YKM ke Hospital Kuala Lumpur.
BUDIMAN bertanyakan khabar kanak-kanak pesakit kanser dalam lawatan YKM ke Hospital Kuala Lumpur.
Zaitie Satibi

Sokongan ahli keluarga kepada pesakit kanser bukan sahaja meringankan beban mereka, malah memberi impak kepada pesakit untuk cepat sembuh dan bersemangat meneruskan kehidupan.

Tanpa sokongan dan bantuan ahli keluarga, sudah tentu agak sukar bagi penghidap kanser menguruskan kehidupan mereka.

Sehubungan itu, Yayasan Kanser Malaysia (YKM) yang ditubuhkan lima tahun lalu bertujuan menyantuni pesakit kanser termasuk ahli keluarga mereka dengan kata-kata perangsang untuk mengembalikan semangat dan kekuatan bagi meneruskan kehidupan.

Pengerusinya, Budiman Mohd Zohdi berkata, sokongan moral dan tanggungjawab sosial masyarakat kepada pesakit kanser khususnya kanak-kanak amat diperlukan berikutan saat ini mereka bertarung nyawa berdepan penyakit, oleh itu sokongan masyarakat amat diharapkan supaya tabah mengharung cabaran.

Menurutnya, masyarakat berpeluang mendekati pesakit kanser menerusi program Sentuhan Kasih iaitu aktiviti amal yayasan itu yang bertujuan memberi sumbangan dan motivasi kepada pesakit kanser di hospital.

“Pihak yayasan bergerak aktif melaksanakan program ini di beberapa hospital seluruh negara khususnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Selain ziarah dan bertanya khabar, pengisian aktiviti turut membabitkan persembahan khas badut bagi memberi keceriaan dan kegembiraan terutama pesakit kanser kanak-kanak, di samping sumbangan hamper keperluan harian,” katanya.

Pembabitan secara aktif Budiman dalam kepemimpinan yayasan ini dilihat sebagai langkah positif bagi menggerakkan aktiviti kesedaran kanser khususnya kepada golongan belia negara ini.

Pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan, aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan menjadi aset penting bagi memacu YKM untuk membantu memperjuangkan hak dan kebajikan pesakit kanser serta memberi kesedaran kanser kepada rakyat Malaysia.

Malah, pengalaman peribadi pemergian bapanya akibat kanser paru-paru menguatkan iltizamnya untuk terbabit secara langsung dalam program memberi kesedaran kanser kepada rakyat Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman sendiri melihat orang tersayang pergi akibat kanser, saya mengambil inisiatif menggerakkan kempen Jom Bebas Nikotin di platform media sosial peribadi bagi menggalakkan golongan belia dan lelaki dewasa untuk berhenti tabiat merokok.

“Saya sendiri berhenti merokok sebagai langkah awal menggerakkan kempen ini. Selain itu, saya turut menekankan kempen ini dalam setiap jemputan yang saya hadiri. Malah, saya juga dalam fasa akhir menyiapkan buku berkaitan pengalaman sendiri dan beberapa individu lain bagaimana kami berjaya berhenti merokok,” katanya.

Katanya, beliau turut berharap lebih banyak syarikat dan orang ramai tampil membantu pesakit kanser serta ahli keluarga mereka bukan saja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga sokongan moral.

“Perasaan pesakit kanser sangat sensitif sehingga ada yang tidak dapat menerima tekanan dan ini mengurangkan peluang mereka untuk sembuh. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk belajar memahami dan menyelami hati kecil mereka.

“Sebenarnya ketika inilah pesakit sangat memerlukan perhatian dan sokongan sama ada dari keluarga atau masyarakat. Persediaan dari segi mental dan emosi juga perlu ditanam dalam diri penjaga seperti ibu bapa dan pasangan supaya mereka dapat membina emosi yang stabil,” katanya.

Budiman berkata, pihak yayasan juga bakal menggerakkan program sukarelawan di institut pengajian tinggi di seluruh Malaysia supaya lebih ramai dapat tampil membantu dan memberi gambaran bahawa pesakit kanser tidak akan berseorangan dalam mengharungi perjalanan melawan penyakit yang menggerunkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:38 AM