RUSILAWATI (kiri) dan ibunya, Halimah menunjukkan sebahagian pes masakan tradisional Melayu yang dihasilkan.
RUSILAWATI (kiri) dan ibunya, Halimah menunjukkan sebahagian pes masakan tradisional Melayu yang dihasilkan.
Rosman Shamsudin

Walaupun bergelar ibu tunggal yang sibuk menguruskan anak dan kehidupan seharian namun tidak menghalang Guru Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kampung Choh, Bidor, Perak, ini menghasilkan produknya sendiri iaitu pes masakan tradisional orang Melayu.

Rusilawati Said, 41, pemilik Ijazah Sarjana Muda Kebudayaan Melayu daripada Universiti Malaya dan Sarjana Bimbingan dan Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewarisi ilmu masakan tradisonal daripada ibunya, Halimah Ismail, 65.

Dia tidak menyangka pes masakannya itu mula mendapat perhatian masyarakat tempatan.

Semuanya bermula apabila beliau sibuk belajar di peringkat sarjana dan pada masa sama perlu memasak pes untuk hidangan keluarga.

Lebihan pes dimasukkan dalam peti ais untuk disimpan dan digunakan apabila ingin memasak semula masakan itu.

Cara beliau menguruskan keluarga sebagai ibu tunggal mula menimbulkan persoalan dalam kalangan rakannya.

Dia memberitahu, pes itu banyak membantunya menyediakan masakan secara lebih mudah meskipun sibuk dengan kerjaya dan tugasan di universiti.

RUSILAWATI (tengah) mengadakan demonstrasi masakan menggunakan pes yang beliau hasilkan.
RUSILAWATI (tengah) mengadakan demonstrasi masakan menggunakan pes yang beliau hasilkan.

Keadaan itu mencetuskan idea untuk menjual pes masakan secara kecil-kecilan kepada rakan sekuliah hinggalah turut menerima tempahan daripada pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

“Antara pes yang diusahakan ialah pes rendang pedas, rendang hitam, rendang tok, asam pedas sambal tumis, sambal jawa kering dan pecal.

“Istimewanya produk ini tidak menggunakan bahan pengawet atau perasa untuk memastikan kualiti pes tradisional orang Melayu dahulu terpelihara.

“Dahulu, dalam seminggu saya hanya boleh menghasilkan kira-kira 60 bungkusan pes pelbagai masakan. Tapi, kini mampu mengeluarkan kira-kira 200 bungkusan pes pelbagai masakan.

“Ini selepas menerima bantuan mesin pengisan rempah ratus moden daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim, baru-baru ini,” katanya.

Dia berkata permintaan makanan itu semakin meningkat apabila diberikan peluang menjual produknya setiap minggu di Dataran Ladies Lane Muallim, sempena program Bantu Nita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Perak.

PES masakan asam pedas mempunyai rasa tersendiri mendapat perhatian ramai pelanggan.
PES masakan asam pedas mempunyai rasa tersendiri mendapat perhatian ramai pelanggan.

“Pes ini resipi ibu yang diperbuat menggunakan rempah ratus tempatan bermutu tinggi. Suri rumah dan wanita berkerjaya digalakkan untuk membeli bahan ini kerana ia mudah dan menjimatkan masa dalam penyediaan makanan keluarga.

“Membuat pes ini bukan tugas mudah kerana penyediaan setiap pes mengambil masa kira-kira 10 jam bagi memastikan ia tahan lama,” katanya.

Katanya lagi, tiada istilah berehat dalam kamus hidupnya kerana seharian sibuk mencari rezeki demi memastikan dua anak lelakinya Mohd Danial Irfan Mohd Nor Azli, 12 dan Mohd Danial Zikri, 14, mendapat kehidupan selesa serta pendidikan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:55 PM